Friday, February 22, 2008

Tulisan blog masih sembrono..?

Contohnya Raja Petra Kamaruddin (RPK) menulis dalam Malaysia Today dengan penuh keyakinan bahawa Menteri Pelancongan, Tengku Adnan Tengku Mansor tidak akan bertanding lagi di Putrajaya. Tempatnya akan digantikan oleh Azim Zabidi (lihat The New Member of Parliament for Putrajaya, Azim Zabidi).

JIKA anda mengikuti tulisan-tulisan dalam blog, banyak ramalan penulis blog mengenai calon-calon pilihan raya umum (PRU) ke-12 meleset.
Contohnya Raja Petra Kamaruddin (RPK) menulis dalam Malaysia Today dengan penuh keyakinan bahawa Menteri Pelancongan, Tengku Adnan Tengku Mansor tidak akan bertanding lagi. Tempatnya akan digantikan oleh Azim Zabidi (lihat The New Member of Parliament for Putrajaya, Azim Zabidi).
Tulisan RPK itu lebih menumpukan kepada menyerang peribadi Azim (Bendahari UMNO dan Pengerusi BSN). Begitu yakinnya RPK yang merupakan suara propembangkang paling lantang dalam dunia blog Malaysia.
Ini hanyalah salah satu contoh betapa tidak boleh dipercayai ramalan Nujum Pak Belalang dalam dunia blog. Tetapi janganlah mereka sahaja yang layak diberi gelaran Nujum Pak Belalang. Beberapa akhbar arus perdana juga membuat ramalan meleset. Ada yang menyenaraikan bilangan menteri yang tidak akan dicalonkan semula, tapi nama-nama itu akhirnya masuk senarai juga.
Walaupun media arus perdana turut membuat ramalan yang meleset menjelang PRU 12, mereka tidak menceritakan perkara-perkara yang tidak patut ditulis mengenai nama-nama berkenaan. Bezanya media arus perdana lebih berdisplin dan beretika daripada blog.
Seorang penulis blog, Kamal Amir (bekas pemberita Utusan Malaysia) melontarkan satu teori konspirasi yang boleh memecah perpaduan dan kekuatan UMNO. Tulisannya berjudul “Musim Khairy sembelih Najib” mengandaikan bahawa senarai calon-calon BN ditapis oleh `tingkat empat’ pejabat Perdana Menteri.
Malah Kamal Amir mendakwa bahawa jawatankuasa penilai itu dipengerusikan oleh Khairy Jamaluddin dan anggotanya terdiri daripada Datuk Anwar Zaini (Pengerusi Bernama), Datuk Shagul Hamid, Datuk Kalimullah Hassan (bekas Ketua Pengarang NST), Vincent Lim dan Kamaluddin Abdullah (anak Perdana Menteri).
Tulisan itu turut disiarkan dalam Malaysia Today di bawah ruangan Guest Columnist.
Bayangkan jika ahli-ahli UMNO mempercayai teori konspirasi dan dakwaan Kamal Amir itu. Mereka akan beranggapan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak berfungsi lagi sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri kerana segalanya ditentukan oleh tingkat empat.
Jika dipercayai, tuduhan itu boleh mewujudkan dua kem dalam UMNO dan melaga-lagakan mereka supaya berperang sama sendiri pada pilihan raya kali ini.
Sebaliknya, jika kita meneliti senarai calon yang telah diumumkan ternyata ia banyak berdasarkan perhitungan politik Abdullah sendiri untuk memastikan BN terus menang dengan majoriti lebih dua pertiga di bawah pimpinannya.
Kamal Amir juga menyenaraikan Tengku Adnan akan digugurkan, selain Datuk Syed Abdul Hamid Albar, Datuk Rais, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Azmi Khalid. Datuk Noor Muhamad Yaakub yang menjadi Menteri Kewangan Kedua atas kapasiti Senator, juga dilaporkan tidak akan bertanding. Ternyata beliau banyak tersasar.
Mengikut teori yang dikemukakan oleh beberapa penulis blog, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Zulhasnan tidak akan dikekalkan dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo akan bertukar kawasan dari DUN ke Parlimen kerana mereka tidak ngam dengan Khairy. Ini juga tidak menjadi kenyataan.
Kesimpulannya, blog-blog pada musim PRU 12 memang ketara semakin dilayari sebagai saluran media alternatif kepada media arus perdana yang menyokong BN. Namun kredibiltinya sebagai sumber maklumat yang boleh dipercayai masih jauh daripada dapat menandingi kredibiliti media arus perdana.
Media arus perdana mungkin berat sebelah, tetapi mereka masih sangat berhati-hati dalam menentukan hanya cerita yang benar boleh disiarkan. Dan mereka tidak begitu mudah untuk membuat tuduhan liar dan sembrono yang hanya bersumberkan gosip warung. – Malaysiaaktif.com

No comments: