Monday, March 31, 2008

Khir Toyo Blogger?


Dr Mohamad Khir Toyo meneruskan perjuangan menerusi Blog


Bukan satu yang pelik pun bila Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mula menulis blog. Cuma persoalannya kenapa sekarang? Kenapa tidak sewaktu masih menduduki kerusi Menteri Besar? Mungkin kerana keadaan diri beliau yang tidak sesibuk dulu, jadi banyak masa terluang untuk meluahkan segala yang terpendam. Walaupun agak terlewat, usaha beliau ini wajar disokong dan mungkin beliau juga mulai sedar tentang penangan laman blog sebagai senjata kempen paling berkesan dalam pilihan raya umum lalu.


Kemunculan laman blog beliau yang boleh dilayari di drkhir.blogspot.com mendapat reaksi positif berdasarkan komen-komen yang dihantar. Walaupun sesetengah komen yang dihantar kata beliau agak mengecewakan dan melukakan hati, beliau tabah menerima dan akan terus berjuang kerana bagi beliau jatuh bangun dalam politik adalah perkara biasa.
Seperti kata beliau, kitaran hidupnya kini telah lengkap – dari seorang anak kampong yang tidak punya apa-apa, menjadi pemimpin sebuah negeri dan kembali semula seperti dulu. Tapi kembalinya beliau hari ini penuh dengan pengalaman yang akan mematangkan beliau untuk menjadi seorang yang lebih terbuka dan memahami kehendak rakyat.
Dua penggal sebagai Menteri Besar, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Pengerusi Barisan Nasional dan Badan Perhubungan UMNO Selangor sebelum melepaskan jawatan, hari ini suara beliau akan kedengaran sebagai ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Bersediakah beliau untuk berdepan dengan semua ini?
Dalam politik jatuh bangun perkara biasa. Banyak yang jatuh tetapi bangkit semula dengan kekuatan. Belajar dari pengalaman dan mengambil iktibar daripada kesilapan sebagai satu pengajaran. Bukan mudah untuk menerima semua itu tetapi tentu ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya.
Seperti kata beliau dalam salam perkenalan kepada pengunjung laman blog beliau, menyalahkan atau menunding jari tidak memberi sebarang makna. Apa yang beliau perlukan sekarang ialah cadangan-cadangan bagaimana untuk kita sama-sama mengariskan haluan masa depan yang lebih konkrit untuk memastikan negara tidak terjerumus dalam kancah yang menghancurkan Wawasan 2020.
Jika ini yang menjadi matlamat perjuangan beliau, penyertaan Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo ke dalam dunia penulisan blog amat dialu-alukan. Juga tidak mustahil beliau bakal mempunyai pengikut sendiri seperti mana pemimpin politik lain tetapi perlulah lebih serius kerana penulisan blog juga menuntut komitmen tinggi, bukan sekadar suka-suka atau melepas batuk ditangga. - malaysiaaktif

Goblok : alahai...Datuk baru sekarang nak mula..kena sentiasa update la, kalu tak abislaa..

No comments: