Saturday, March 8, 2008

Kuasa Di Tangan Rakyat


KUASA DI TANGAN RAKYAT


HARI ini bukanlah hari biasa. Sebagai pengundi, hari ini anda berkuasa menentukan masa depan negara, masa depan kita semua.
Justeru, melangkahlah dengan minda yang tenang ke pusat pengundian dan berfikirlah semasak-masaknya sebelum memuktamadkan siapa yang anda akan pilih. Walaupun hanya satu undi, ia amat berharga.
Selepas 13 hari mendengar janji-janji dan rayuan parti-parti politik pada majlis-majlis ceramah, kempen dari rumah ke rumah dan melalui media, kini pilihan mutlak di tangan anda.
Ingatlah, hari ini anda adalah salah seorang daripada lebih 10.9 juta pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab bagi menentukan kerajaan.
Sebanyak 214 daripada 222 kerusi Parlimen menjadi taruhan bagi menentukan parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan. Sebanyak 501 daripada 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula menjadi rebutan untuk membentuk kerajaan negeri yang baru, kecuali Sarawak.
Barisan Nasional (BN), sekali lagi dijangka menang dengan majoriti dua pertiga, selain berusaha untuk merampas Kelantan yang dikuasai Pas selama 18 tahun.
Parlimen dibubarkan pada 13 Februari manakala penamaan calon berlangsung pada 24 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka 7,950 pusat pengundian dengan 21,822 tempat mengundi, kebanyakannya membabitkan sekolah, dewan pelbagai guna dan rumah panjang, akan dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang.
Bagaimanapun, pengundian di beberapa kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak akan ditutup lebih awal, dijadual pada pukul 1 tengah hari memandangkan jumlah pengundi yang kecil selain faktor geografi. Antara kawasan itu ialah Baram, Lawas dan Hulu Rejang yang hanya boleh dimasuki menggunakan helikopter dan bot.
Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, suruhanjaya itu menjangkakan 75 peratus pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
BN sudah pun memenangi lapan kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN tanpa bertanding manakala pembangkang memenangi satu kerusi DUN menerusi Pas di Kijang, Kelantan.
BN menang kerusi Parlimen Selangau, Kanowit, Tanjung Manis, Kapit dan Igan (Sarawak), Kalabakan dan Pensiangan (Sabah) dan Pengerang (Johor) manakala kerusi DUN bagi Bugaya dan Gum Gum (Sabah) dan Sementa (Selangor).
BN yang menaungi 14 parti, bertanding di kesemua 214 kerusi Parlimen manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) di 97 kerusi, Pas (66 kerusi) dan DAP (47 kerusi).
Pada pilihan raya umum 2004, BN yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menang besar apabila menguasai 199 daripada 219 kerusi Parlimen dan 453 kerusi DUN. Terdapat tiga kerusi baru, kesemuanya di Sarawak kali ini.
Walaupun terdapat 10,922,139 pengundi, termasuk 221,085 pengundi pos, pengundian esok hanya menyaksikan 10,607,874 pengundi melaksanakan hak mereka itu.
Ini kerana anggota polis dan tentera telah menunaikan undi pos minggu ini dan sejumlah 93,180 pengundi dari lima kawasan Parlimen yang menang tanpa bertanding di Sarawak, tidak perlu keluar mengundi memandangkan pilihan raya DUN tidak diadakan di negeri itu.
SPR yang memperuntukkan RM200 juta bagi mengurus pilihan raya kali ini dengan menggerakkan 200,000 kakitangannya, memperkenalkan peti undi lut sinar bagi menggantikan peti besi hitam lama serta tidak mencetak nombor siri pengundi pada kertas undi.
Rancangan SPR bagi menggunakan dakwat untuk dicalit pada jari pengundi, bagaimanapun dibatalkan pada saat akhir atas sebab-sebab keselamatan awam dan masalah undang-undang.
Walaupun kempen pilihan raya kali ini secara relatifnya bebas daripada sebarang kejadian yang tidak diingini, polis tidak memandang mudah dan telah meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan pengundi keluar mengundi tanpa rasa bimbang.
Selain polis biasa, anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) juga ditugaskan, terutama di kawasan yang dianggap “panas”.

(Utusan Malaysia,8 Mac 2008)

No comments: