Thursday, April 10, 2008

Tun Mahathir tolonglah diam!

Maulana Arrif

9 April 2008



MARILAH kita berterus terang dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Cukuplah Tun, cukuplah dan jangan lagi mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara. Cukuplah apa yang Tun telah hamburkan begitu banyak. Apa yang yang Tun lakukan sekarang lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Mengikur ajaran Islam, jika sesuatu yang kita lakukan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan, wajib ia dihentikan.

Tun telah menyatakan segala apa yang Tun hendak nyatakan. Tun telah menyatakan Pak Lah tidak layak lagi menjadi pemimpin. Itu Tun telah ucapkan berkali-kali. Malah itulah antara faktor yang menyebabkan BN kalah di lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Ketika Tun mula-mula menyerang Pak Lah dulu, kebanyakan orang memihak kepada Tun. Kemudian apabila cakap yang sama diulang-ulang, sebahagian orang yang menangguk-angguk kepala mulai menggeleng.

Beberapa orang pemimpin UMNO pernah berkata, Tun hanya mengaibkan diri Tun jika tidak berhenti daripada menyerang kerajaan dan Pak Lah.

Sekarang bukan sahaja orang UMNO mulai naik menyampah terhadap Tun, malah Karpal Singh pun turut menegur gelagat Tun.

“Bersaralah dengan penuh kehormatan dan maruah, dan janganlah lagi mengkritik Perdana Menteri sekarang,” kata Pengerusi DAP itu.

Apa perlunya Karpal masuk campur dalam urusan ini? Adakah beliau mempunyai agenda politik untuk menyokong supaya kepimpinan Pak Lah tidak diganggugugat? Barangkali beliau mahukan Pak Lah terus menjadi Perdana Menteri yang`menguntungkan Pakatan Rakyat (PR).’ Untung dengan andaian bahawa jika Pak lah terus mempimpin negara, PR mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangi pilihan raya akan datang di peringkat pusat.

Bagaimanapun, itu hanya satu andaian. Barangkali Karpal benar-benar turut berasa meluat melihat tingkah laku Tun Mahathir. Kita semua tahu bahawa Karpal adalah salah seorang pemimpin politik yang sering menyatakan apa yang tersurat di hatinya, sekalipun pandangannya sangat tajam dan mudah mencetuskan kontroversi.

Tanpa mempedulikan niat Karpal, apa yang penting ialah hakikat bahawa suara muak dengan gelagat Tun Mahathir kini tidak lagi terbatas dalam UMNO. Malah di warung-warung teh pun sudah ramai yang bercakap buruk terhadap Tun Mahathir.

Kita berharap Tun mengetahui bahawa semakin ramai orang yang menggeleng kepala melihat gelagatnya sekarang. Malangnya, akan ada kaki-kaki pembodek yang menyokong tindakannya atas apa jua niat mereka. Sebilangan besar mereka adalah orang yang memang anti-Pak Lah, dan sebilangan lagi adalah orang-orang yang suka melihat Tun Mahathir berperangai buruk.

Mereka akan menganjurkan majlis untuk membolehkan Tun bercakap di khalayak ramai. Sudah tentu ramai yang mahu mendengar Tun bercakap kerana beliau suka menghentam orang lain. Ini memang lumrah manusia. Mereka suka mendengar cakap yang memburuk-burukkan orang lain.

Apatah lagi Tun sekarang tidak lagi diberi pentas untuk banyak bercakap macam dulu semasa masih menjadi Perdana Menteri. Selepas bersara, media arus perdana juga amat kurang memberikan ruang kepada Tun. Entah apa sebabnya, hanya selepas PRU 2008 kelihatan ruang media dibuka lebih luas sedikit untuk beliau.

Barangkali ini juga menjadi faktor pemangkin kepada Tun untuk terus bercakap. Kritikannya terhadap Pak Lah semakin lantang. Akhirnya orang ramai mulai menyampah.

Tanda-tanda semakin ramai yang menyampah ialah semakin banyak kritikan yang dilempar terhadap Tun Mahathir pula setelah mereka jemu mendengar kata-nesta terhadap Pak Lah. Semakin banyak perkara-perkara tidak betul yang Tun lakukan dulu dibongkar dan didedahkan kepada umum.

Jika Tun mahu, teruskanlah mengaibkan orang lain. Kelak Allah s.w.t. akan mendedahkan pula keaiban Tun. Inilah yang mula berlaku. - malaysiaaktif.com

Goblok: alahai Tun dengar-dengarlah...;-)

No comments: