Thursday, May 15, 2008

BPR kena siasat pendedahan YB Rahman

Bashir Ahmad
14 Mei 2008


ADA dua perkara yang sangat menarik berlaku di Parlimen semalam.

Pertama Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjawab segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sekian lama. Tuduhan berhubung komisen pembelian kapal selam Scorpene; tuduhan komisen pembelian jet Sukhoi dan tuduhan kononnya Timbalan Perdana Menteri itu terlibat dalam pembunuhan Altantuya yang kesnya masih dalam perbicaraan.

Najib mengambil kesempatan untuk menjawab dengan panjang lebar di Dewan Rakyat kerana tuduhan-tuduhan itu dibangkitkan oleh pembangkang semasa perbahasan titah diraja. Semua orang tahu bahawa tuduhan-tuduhan tersebut turut dijadikan modal pembangkang untuk menyerang BN semasa pilihan raya lalu, dan dalam pilihan raya Machap dan Ijok sebelumnya.

Selepas pilihan raya umum, serangan terhadap Najib berhubung tuduhan-tuduhan tersebut telah ditingkatkan dalam blog-blog yang propembangkang. Kelihatan seperti agenda mereka ialah untuk membunuh kewibawaan bakal Perdana Menteri itu selepas mereka berjaya melumpukan karakter Pak Lah.

Di kalangan para pemimpin pembangkang, semua arif siapa yang paling kerap dan lantang menggunakan tuduhan-tuduhan ini untuk menyerang Najib, UMNO dan BN.

Najib agak konsisten dalam jawapannya berhubung tuduhan-tuduhan ini. Misalnya beliau enggan mengulas panjang tuduhan berhubung Altantuya kerana katanya kes berkaitan masih dalam perbicaraan.

Oleh kerana Najib telah membuat penjelasan, maka tuduhan-tuduhan itu tidak boleh diulangi. Apatah lagi jika dibuat di luar Parlimen, sama ada dalam blog atau di pentas ceramah. Najib perlu mengambil tindakan saman malu terhadap mereka yang mengulangi tuduhan terhadapnya. Jika tidak, umum akan terus beranggapan bahawa tuduhan-tuduhan itu berasas.

Percayalah bahawa pembangkang tidak akan menerima jawapan dan penafian Najib kerana mereka akan menanggung kerugian besar dari segi politik kerana membuat tuduhan palsu atau memfitnah.








Perkara kedua yang lebih menarik ialah pendedahan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa beliau menerima tawaran wang yang sangat besar supaya berpaling tadah dan melompat ke kem pembangkang.



Katanya, nilai yang ditawarkan membolehkan ``hidup senang-lenang tiga generasi." Ini membuatkan kita mencongak angka dalam ringgit Malaysia. RM3 juta atau lebih lagi? Katakan RM3 juta. Jika Pakatan Rakyat perlukan sekurang-kurangnya 30 orang Ahli Parlimen BN untuk membentuk kerajaan, bermakna pihak yang membuat tawaran perlu menyediakan kira-kira RM90 juta (RM3 juta x 30).

Jumlah tersebut adalah sangat besar. Dari mana wang itu diperoleh? Adakah daripada sumber kewangan dalam negeri atau daripada luar negara? Jika daripada luar negara, bermakna pihak yang membuat tawaran sudah `dibeli' oleh kuasa luar. Bagaimana kerajaan yang mahu dibentuk itu dapat berfungsi secara bebas dan berdaulat sedangkan ia berada dalam kocek kuasa luar? Ini satu kerja sabotaj yang boleh mengancam kestabilan dan keselamatan negara kita.

Siapakah petualang di belakang kerja jahanam yang boleh menggadai negara ini? Tanpa menyebut nama, semua orang boleh membuat andaian.

Jika benar bagai dikata, apa yang berlaku adalah juga satu kes rasuah paling serius yang tidak boleh dimaafkan. Badan Pencegah Rasuah mestilah menyiasat dan mengambil tindakan. Menurut Abdul Rahman ketika membuat pendedahan kepada wartawan di lobi Parlimen, beliau kenal siapa yang membuat tawaran. - malaysiaaktif.com

No comments: