Tuesday, May 20, 2008

Dulu Tunku keluar UMNO kerana Mahathir

Bashir Ahmad
19 Mei 2008

SEORANG rakan menghantar mesej SMS kepada saya berbunyi:``Kasihan Tun...''

Lima belas minit kemudian, seorang lagi rakan menelefon dan bercakap tentang Tun Mahathir Mohammad yang baru sahaja mengumumkan keluar daripada UMNO tengah hari ini.

Kata Tun, beliau hanya akan kembali ke UMNO selepas Pak Lah berundur daripada jawatan pemimpin parti dan kerajaan. Betapa marahnya Tun kepada Pak Lah.

Kepada si rakan yang menelefon saya, diceritakan betapa penulis ini teringat kepada ramalan seorang rakan yang dibuat pada Disember 1990, beberapa hari selepas kematian Almarhum Tunku Abdul Rahman. Ketika itu kami sedang bercerita mengenai Tunku dan sejarah politiknya.

Turut dibangkitkan tentang Tunku yang boleh dianggap sebagai salah seorang pengasas UMNO, tapi Almarhum meninggal dunia semasa tidak lagi menjadi ahli UMNO.

Almarhum meletakkan jawatan selepas peristiwa 13 Mei 1969 atas desakan dari dalaman parti. Antara yang mendesak ialah Dr. Mahathir Mohamad yang telah menulis sepucuk surat meminta Tunku meletakkan jawatan kerana bertanggung jawab terhadap banyak kepincangan yang berlaku, yang sedikit sebanyak menjadi punca peristiwa 13 Mei.

Ekoran tindakannya, Mahathir dipecat daripada UMNO pada 26 September 1969. Semasa dalam buangan, Mahathir nyaris-nyaris menyertai Pas tapi atas pujukan beberapa orang rakan beliau membatalkan niatnya. Antara mereka yang kuat memujuknya ialah Tan Sri Hussin Ahmad dan Allahyaraham Datuk Harun Idris.

Mahathir menyertai semula UMNO pada 1972 pada zaman Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan presiden parti itu.

Apabila Mahathir menjadi Perdana Menteri, tiba pula giliran Tunku menjadi pengkritik kuatnya. Tunku yang kemudiannya memiliki The Star turut menjadikan akhbar itu sebagai suara mengkritik Mahathir. Akibatnya Mahathir mengharamkan The Star seketika pada 1987. Tindakan itu menyebabkan perpecahan dalam UMNO sehingga akhirnya parti itu diharamkan.

Ekorannya Tunku dan seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn cuba menubuhkan parti UMNO Malaysia. Bagaimanapun Mahathir berjaya menghalang dan menubuhkan UMNO baru. Kalangan ahli-ahli UMNO yang menentang Mahathir menubuhkan pula parti Semangat 46 yang diketuai Tengku Razaleih Hamzah. Almarhum Tunku turut menyertai Semangat 46 hingga ke akhir hayatnya.

Begitulah sejarah hubungan Tunku dan Mahathir, menurut si rakan penulis itu. Beliau menambah dengan meramalkan bahawa apa yang berlaku kepada Tunku juga akan berlaku kepada Mahathir kemudian kelak.

Begitu hukum alam. Apa yang dialami oleh Tun Mahathir pada hari ini mempunyai sedikit persamaan dengan apa yang berlaku ke atas Tunku. Mahathir mengkritik dan meminta Pak Lah meletakkan jawatan. Disebabkan Pak Lah masih berada di jawatan Perdana Menteri, Tun Mahathir terpaksa memilih jalan keluar daripada UMNO sebagai langkah politik seterusnya untuk menjatuhkan Pak Lah.

Tunku pada tahun-tahun terakhir hayatnya juga menjadi penentang utama Mahathir yang tidak berundur sehinggalah akhirnya beliau sendiri yang membuat keputusan untuk bersara. Beliau memilih Pak Lah sebagai pengganti, dan akhirnya beliau pula yang menjadi pengkritik utama Pak Lah.

Apa yang berlaku ternyata mengeruhkan lagi keadaan. Apakah UMNO boleh bertahan sebagai parti utama orang Melayu selepas gelora demi gelora yang berlaku? - malaysiaaktif.com

Goblok: wajarkah Che Det buat keputusan macam ni??

No comments: