Tuesday, May 6, 2008

Taatilah kerajaan Pakatan Rakyat!

Maulana Arrif
6 Mei 2008


RAMAI orang menyangka isu pertukaran 24 jam Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury selesai apabila Sultan Perak menitahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan berkenaan. Apatah lagi MB kerajaan Pakatan Rakyat itu turut menyatakan beliau akan memohon maaf kepada baginda.

Kebanyakan orang Melayu berpendapat Mohammad Nizar tersilap langkah kerana membuat perhitungan yang berbau politik. Dikatakan bahawa beliau mahu menukar jawatankuasa masjid di seluruh Perak. Jamry enggan melaksanakan arahan MB daripada parti Pas itu kerana urusan pentadbiran masjid adalah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dengan perkenan Sultan selaku Ketua Agama Islam Perak, bukan urusan kerajaan negeri.

Apabila Mohamad Nizar memohon maaf, itu tandanya beliau mengakui telah melakukan kesilapan. Kesilapan beliau mudah untuk dimaafkan kerana beliau masih baru menjadi ketua eksekutif negeri dan pastinya ada perkara yang belum difahami. Jamry tidak silap dan memang tidak patut ditukar sama ada dengan notis 24 jam atau sebulan.

Maka orang Melayu tidak boleh memaafkan apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata bahawa Sultan Perak tidak berhak campur tangan dalam hal ini kerana kerajaan Pakatan Rakyat berhak menukarkan mana-mana pegawai kerajaan (sila lihat laporan NST http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Sunday/National/2230997/Article/index_html).

Dalam masa yang sama Exco Kerajaan Negeri Perak (DAP), Datuk Ngeh Koo Ham dilaporkan dalam berita tersebut sebagai berkata:

``Saya menyeru mereka (kakitangan kerajaan) supaya menghormati keputusan rakyat yang memilih kami (Pakatan Rakyat) membentuk kerajaan. Semua kakitangan kerajaan yang enggan bekerjasama patut meletakkan jawatan supaya dasar kerajaan begeri boleh dilaksanakan dengan berkesan."

Jelas bahawa Karpal dan Ngeh bercakap atas sentimen politik DAP. Oleh kerana isu ini melibatkan MB dari parti Pas dan isu mengenai urusan agama Islam, komen seumpama sepatutnya datang daripada pemimpin-pemimpin tinggi Pas seperti Datuk Seri Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz.

Apa fasal Karpal pula yang menyibuk? Selain menunjukkan bahawa Karpal memang celupar mulut, ia juga menggambarkan sikap DAP yang tidak menghormati Sultan. Karpal juga tidak menghormati MB daripada Pas yang telah mengakui tersilap. dan Karpal juga memang sentiasa mencari peluang untuk membelasah Pas, walaupun kedua-dua parti itu sekarang berada dalam bot yang sama.

Janganlah buat-buat lupa bahawa Karpal pernah berkata ``langkah mayat saya dulu jika Pas mahu melaksanakan pemerintahan Islam."

Wahai para penyokong Pas dan para pengundi Melayu di Perak amnya, masihkah anda semua tidak kenal siapa DAP dan para pemimpin DAP? Bukankah Karpal tidak habis-habis menghentam Pas dan ideologi ulama Pas. Apakah anda semua mahu membiarkan mereka tidak menghormati Sultan pula sekarang?

Dan wahai semua kakitangan kerajaan di Perak, ingatlah bahawa anda semua mesti menghormati kerajaan negeri yang diketuai MB daripada Pas tetapi dikuasai oleh DAP. Jika tidak silalah letak jawatan kerana anda telah diberi amaran oleh Datuk Ngeh. Anda semua kakitangan kerajaan dan orang Melayu di Perak kena patuh dan taat kepada kerajaan baru Pakatan Rakyat kerana anda telah memilih mereka dalam pilihan raya lalu. - malaysiaaktif.com

Goblok : Harap pengajaran kot bagi mereka yang mengundi Pakatan Rakyat ni... tak tau laa apa lagi ;-)

No comments: