Monday, June 30, 2008

Pertahankan suara orang Melayu

Goblok: Melayu jangan mudah Lupa...

Maulana Arrif
28 Jun 2008


MEMBACA Utusan Malaysia hari ini, terubat sedikit gundah-gelana memikirkan tentang asakan terhadap hak-hak Melayu dan Islam yang semakin berani dan lantang, jika tidak kurang ajar dalam beberapa tahun kebelakangan.

Disiarkan di muka depan berita bertajuk ``Syor papan tanda turut guna bahasa Mandarin, Tamil.'' Di bawah berita berkenaan ialah berita utama berjudul ``Pemberian dipersoal - Status hak milik tanah kekal 999 tahun kepada kampung baru di Perak.''

Di muka 4 akhbar berkenaan disiarkan berita ``Ketuanan Melayu: Motif Majlis Peguam disoal.''

Bagi penulis, sebagai pengibar bendera Syarikat Utusan Melayu, akhbar Utusan Malaysia masih tegak di atas landasan asal penubuhannya yang antara lain ialah untuk mempertahankan kedudukan orang Melayu dan Islam yang menjadi agama orang Melayu. Jika Utusan Malaysia lari daripada tanggung jawab ini, maka akan bertepuk tanganlah mereka yang mahu menghapuskan sejarah Melayu dari bumi Malaysia ini.

Malangnya ketika ini Utusan Malaysia bukan sahaja dibenci oleh sebilangan ahli politik bukan Melayu, tetapi juga oleh orang Melayu sendiri. Pakatan Rakyat telah melancarkan kempen boikot Utusan Malaysia. Kerajaan negeri Perak pimpinan seorang Melayu dari parti Pas telah menyahut seruan Pakatan Rakyat supaya memboikot akhbar ini. Ada orang berpendapat bahawa Menteri Besar Perak memboikot Utusan Malaysia

Dalam masa yang sama, Menteri Besar Kedah yang juga orang Pas tidak pula memboikot Utusan Malaysia. Pendiriannya dikongsi oleh Datuk Mustafa Ali. Bagaimana pendirian Datuk Seri Haji Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz?

Pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu ditanya kerana sejak tahun 1998, gerakan Reformasi pimpinannya telah menganjurkan kempen boikot Utusan Malaysia kerana tidak menyokong perjuangannya. Isterinya yang memimpin Parti Keadilan Rakyat adalah orang yang pertama menyuarakan seruan kempen boikot terhadap Utusan Malaysia sekarang. Itulah suara Anwar.

Sekadar catatan supaya kita tidak melupai sejarah, suatu masa ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, Anwar telah meletakkan orang-orangnya untuk menguasai Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3. Hanya laporan yang mengangkat martabat Anwar sahaja menjadi agenda media berkenaan.

Sekarang Anwar mengatakan bahawa media itu dan media ini tidak adil, berat sebelah malah membohong. Semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu tidak timbul sedikit pun soal tidak adil dan tidak tepat. Itulah Anwar yang berjuang hanya untuk kepentingan politik dirinya. Masihkah rakyat Malaysia mahu mempercayainya?

Dan apa hairannya DAP memusuhi Utusan Malaysia. Inilah parti serpihan PAP, parti yang dilahirkan oleh Lee Kuan Yew yang pernah mengharamkan akhbar jawi Utusan Melayu dan mengusirnya dari Singapura ke Semenanjung. Sekarang Utusan Melayu yang merupakan abang kepada Utusan Malaysia, hanya menjadi sisipan mingguan dalam kandungan adiknya. Jika orang-orang Melayu sendiri memusuhi Utusan Malaysia, siapa lagi yang akan mempertahankan orang Melayu. The Star, The Sun, NST, Malaysiakini, Malaysia Today...?

Penulis tidak berniat untuk bersifat perkauman, tapi dalam menghadapi asakan terhadap orang Melayu dan Islam, kita perlu berterus terang atas nama hak yang dipersetujui bersama dalam Perlembagaan Persekutuan semasa kita membentuk negara Malaysia yang merdeka dulu.

Akhir kalam, penulis peturunkan pojok Awang Selamat dalam Utusan Malaysia pada hari ini (28 Jun 2008).

``Seperti yang kerap Awang bangkitkan, pasca pilihan raya umum ke-12 menyaksikan banyak pihak mencabar semangat perlembagaan dan kontrak sosial.

Saban hari ada sahaja usaha digerakkan untuk menggugat prinsip-prinsip asas negara ini terutama dari segi kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu dan hak keistimewaan Melayu.

Terbaru seorang ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mencadangkan supaya semua papan tanda jalan utama di Pulau Pinang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu. Alasan yang diberikan kononnya untuk memberi kemudahan kepada pelancong asing.

Reaksi Awang mudah - tanah air ini bukan China mahu pun India. Soal kemudahan untuk pelancong tidak berbangkit kerana hampir kesemua negara di dunia menggunakan bahasa kebangsaan mereka untuk papan tanda jalan.

Awang ingin mengingatkan bahawa kedudukan bahasa Melayu sudah terjamin dalam perlembagaan dan jangan cuba disamakan dengan bahasa lain.

Lagipun adalah tidak wajar semua hal di Malaysia mesti mempunyai tiga set bahasa. Cukuplah sekadar aliran sekolah, siaran televisyen, radio dan akhbar. Itupun boleh dipersoalkan jika kita mahu.'''
Setahu penulis Awang Selamat datang dan pergi, silih berganti, tapi suaranya tetap sama.Jika suara Awang Selamat mulai berubah, ia tanda berakhirnya Utusan.

Dirgahayu Utusan! - malaysiaaktif.com

No comments: