Tuesday, June 3, 2008

Ringankan beban rakyat keutamaan kerajaan

Goblok: Semua harus ambil iktibar dan harus terima dengan rasional apa-apa tindakan yang dibuat oleh kerajaan...


HARGA minyak akan naik minggu ini? Spekulasi mengenai kenaikan itu sebenarnya sudah bertiup kencang sejak awal tahun lagi, namun Kerajaan Persekutuan masih belum membuat pengumuman kenaikan yang memang tidak lagi boleh dielak oleh mana-mana negara dunia.

Sebaliknya, kerajaan menghebahkan isu subsidi minyak dan usaha untuk mengurangkan subsidi yang menjangkau angka RM56 bilion.

Sejak beberapa minggu terakhir ini kerajaan terus mencari formula terbaik untuk memastikan kenaikan harga minyak yang tidak dapat dielakkan itu tidak membebankan rakyat dan pada masa sama meninjau langkah terbaik mengurangkan jumlah subsidi yang tidak pernah diletakkan siling.

Perbincangan dan perdebatan bukan lagi sekadar di kalangan pembuat dasar, malahan turut dibincang serius pelbagai lapisan masyarakat.

Pelbagai cadangan dikeluarkan, daripada penggunaan kupon sehingga memberi subsidi hanya kepada golongan yang dikenal pasti. Namun, cadangan ternyata amat senang dibuat, tetapi sukar untuk menggubal mekanisme bagi penyaluran bantuan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Agaknya disebabkan semakin bingung untuk mencari pendekatan yang boleh meringankan beban rakyat, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam turut meminta ketua jabatan dan kakitangan awam membantu kerajaan memikir dan mengemukakan cadangan kaedah mengatasi penambahan subsidi berikutan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Perdana Menteri mahu penyertaan mereka untuk memberi idea kepada kerajaan supaya dapat mengambil pendekatan terbaik bagi mengatasi krisis selain membantu langkah jimat cermat. Hakikatnya ialah kenaikan harga minyak memang tidak dapat dielakkan.

Dengan pengeluaran minyak semakin kurang dan Malaysia sendiri sebagai negara pengeluar, mungkin akan hilang status sebagai pengeluar dalam tempoh kurang lima tahun, seluruh rakyat perlu sama-sama membantu kerajaan untuk meleraikan isu yang melanda seluruh dunia.

Tindakan awal kerajaan mengurangkan kerugian yang ditanggung terutama dengan mengharamkan penjualan minyak pada rakyat negara jiran, masih tidak cukup besar untuk menghalang kenaikan harga minyak daripada berlaku tahun ini.

Kerana itu, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Inflasi yang bermesyuarat hari ini menjadi tumpuan kerana ia akan menasihatkan kerajaan mengenai langkah terbaik menangani krisis kenaikan harga minyak yang sedang berlaku.
Dalam kata lain, harga minyak baru mungkin akan dibuat oleh jawatankuasa ini. Beberapa pakar ekonomi berkata Malaysia sebenarnya boleh menaikkan harga minyak antara 30 sen hingga 40 sen seliter, tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara ini.

Profesor Danny Quah, anak kelahiran Malaysia yang kini mengetuai Kolej Ekonomi dan Sains Politik London, dipetik sebagai berkata sistem subsidi yang diberi kepada rakyat selama ini bukan saja menyembunyikan harga sebenar sumber tenaga yang semakin pupus itu, bahkan gagal menggalakkan rakyat negara ini daripada mencari alternatif tenaga lain.

Katanya, setiap kali harga minyak dunia naik, kerajaan Malaysia akan terus memberi subsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,, Datuk Shahrir Samad, ketika ditemui berkata sistem subsidi yang diberi kepada rakyat Malaysia selama ini, tidak pernah mempunyai siling.

“Setiap kali harga minyak dunia meningkat, kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak di dalam negara, setiap kali itu pula jumlah subsidi ke atas minyak terpaksa ditambah.

“Perbincangan di kalangan kumpulan pemikir, malah rakyat sejak akhir-akhir ini mencadangkan beberapa penyelesaian dan antaranya subsidi hanya diberi kepada mereka yang menerima pendapatan tertentu atau pengenalan sistem kupon.

“Tetapi apa yang tidak dibincangkan ialah mekanisme untuk menyalurkan bantuan, mengenal pasti kelayakan penerima bantuan dan tempoh pemberian subsidi ini. Untuk memberi kupon, sama seperti pemberian diesel, ia boleh dijual. Untuk memberi bantuan kepada kereta yang berkuasa kecil, macam mana nak tahu penerima ini layak,” katanya mengenai isu yang perlu dileraikan jika subsidi hanya layak diberi kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Golongan akademik seperti Quah yang melihat dari sudut realiti, menegaskan subsidi minyak perlu dikurangkan secara berperingkat bagi membolehkan rakyat menyesuaikan diri dengan harga minyak yang lebih mahal.

Katanya, perbelanjaan yang dijimatkan daripada subsidi terbabit boleh disalurkan semula kepada golongan miskin dengan lebih berkesan dan golongan ini yang bakal turut menerima kesan daripada penghapusan subsidi perlu difahamkan bahawa mereka akan menerima bantuan dalam cara lain.



Dalam hal ini, Shahrir, seorang ahli politik veteran yang kini kembali ke dalam Kabinet, menjelaskan tujuannya hanya satu iaitu mencari jalan terbaik bagi meringan beban rakyat yang turut menerima kesan daripada krisis makanan dan minyak yang sedang melanda dunia.

“Fokus utama saya ialah bagaimana untuk meringankan beban rakyat sekiranya harga minyak terpaksa dinaikkan dan sekiranya subsidi perlu dikurangkan, bagaimana cara terbaik membantu golongan kurang mampu.

“Kerajaan memperuntukkan subsidi minyak sebanyak RM56 bilion tahun ini. Harga minyak dunia terus meningkat, kerajaan tidak lagi mampu untuk menanggung kos tinggi ini,” katanya.

Walaupun menyatakan tidak mampu, rakyat masih lega kerana kerajaan belum lagi mengumumkan sebarang usaha ke arah penghapusan subsidi, kecuali mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan penyelewengan tertentu yang dilakukan penerima subsidi.

Kerana itu dalam memahami kemelut yang dialami kerajaan, rakyat cuma berharap sebarang kenaikan harga minyak yang akan berlaku pada bila-bila masa ini, tidaklah mencatat peningkatan yang terlalu membebankan.

Kenaikan 30 sen tahun lalu sudah cukup memeritkan. Sebarang angka yang lebih daripada itu sudah pasti membuatkan lebih ramai rakyat ‘ikat perut’ - bukan kerana tidak boleh isi minyak kereta, malah kerana tidak mampu menanggung beban harga pelbagai barang serta perkhidmatan yang bakal naik seiring dengan kenaikan harga minyak.

Berita Harian 3 Jun 2008
Oleh Jamhariah Jaafar

No comments: