Wednesday, July 23, 2008

Anwar Ibrahim dalam ilusi


Goblok: Anwar..oh anwar....



ARTIS Amerika yang merancang untuk berpisah walaupun belum berkahwin, penyanyi atau pelakon yang sering dilihat berdua-duan atau melahirkan anak memanglah mendapat perhatian meluas di media apatah lagi jika ia melibatkan selebriti dari Hollywood.

Namun, ibarat artis yang sentiasa dikejar paparazzi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga mendapat perhatian rapi bukan saja media antarabangsa berpangkalan di AS, terutama CNN malah hampir semua saluran berita elektronik dunia seperti Aljazeera dan British Broadcasting Corporation (BBC).

Malangnya mantan Timbalan Perdana Menteri itu dipaparkan hampir setiap hari sejak lewat Jun lalu hinggalah kini semata-mata kerana kes liwat didakwa melibatkan beliau dan bekas pembantunya.

Kononnya kes itu diselimuti konspirasi untuk menghalang beliau daripada ‘merampas’ tampuk pemerintahan kerajaan Barisan Nasional untuk digantikan dengan barisan rakyat.

Liputan berita ini termasuk temuramah khas BBC dengan Anwar di kediamannya di Segambut boleh dikatakan menenggelamkan liputan panas sebelum ini berkaitan isu kahwin sesama seks iaitu di antara pasangan gay baik lelaki mahupun wanita terutama di California.

Ramai pembaca dan penonton TV tahu, jika dinilai daripada sudut kacamata Barat apalah sangat isu liwat atau hubungan seks sejenis ini. Di Britain, penyanyi Elton John sudah pun ‘berkahwin’ dengan pasangan lelakinya. Begitu juga ada menteri di Eropah diuar-uarkan turut berkahwin dengan pasangan gay masing-masing.

Di AS pun, berpuluh-puluh pasangan gay mendaftar bagi ‘menghalalkan’ ikatan hubungan sesama seks di kalangan mereka di sekurang-kurangnya dua negeri, iaitu California dan Colombia.

Semua media Barat itu dengan gah ingin menerapkan amalan hidup mereka itu terhadap masyarakat Timur yang mereka anggap sebagai kolot dan melanggar hak asasi individu itu.

Apabila media Barat menyebut Malaysia, ayat yang pasti disertakan dalam liputan mereka adalah “sebagai negara ramai penduduk Islam, liwat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat.''
Sebab itulah, hampir setiap hari ada saja berita baru mengenai isu Anwar dengan pelbagai dakwaan terbarunya yang seolah-olah mahu ‘kerbau memalitkan semua di sekelilingnya dengan lumpur’.

Daripada soal dalih beliau pada 26 Jun, 2008 iaitu tarikh dia dituduh meliwat Saiful, keengganannya membenarkan DNA diambil, dia mendakwa ditelanjangkan hinggalah tuduhan bidang kehakiman dan pemeriksaan kesihatan negara tidak lagi berwibawa, Anwar cuba meraih simpati.

Hanya sebuah akhbar Era Baru kelihatan begitu berani dan lantang menulis rencana memperlinya dengan tajuk “Betulkah Anwar buat perangai lagi”.
Kini beliau terus berusaha mendapat perhatian Barat kononnya ada pakar DNA dari luar negara termasuk dari AS yang menasihatkannya supaya tidak memberikan sampelnya.

Anwar mendakwa bahawa ulama terkemuka, Sheikh Yusuf Qardawi dari Mesir, perdana menteri Afrika Selatan serta Imam Makkah pun menyokong keengganan beliau untuk memberikan sampel DNAnya.

Ada siapa yang boleh mengesahkan perkara ini daripada mereka? Tentulah sukar. Lagipun Anwar akan sentiasa mencetuskan senario baru untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar, iaitu beliau mestilah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan yang adil dan saksama.

Namun majoriti rakyat Malaysia masih ingat cerita Anwar `lari' ke rumah Duta Turki di Kuala Lumpur selepas Mohd Saiful membuat laporan polis tempoh hari. Kata Anwar, pihak kedutaan yang menawarkan perlindungan. Apabila Kementerian Luar bertanya kepada Duta Turki, rupa-rupanya apa yang berlaku adalah berbeza daripada dakwaan Anwar. Dia yang `meminta perlindungan' bukannya Duta Turki yang menawarkan perlindungan.

Anwar juga mendakwa ada ancaman ke atas nyawanya. Tapi selepas keluar dari kediaman Duta Turki, Anwar bebas ke sana sini. Tidak kelihatan tanda-tanda nyawa beliau terancam. Sekarang beliau menjelajah ke seluruh negara untuk mencanangkan `saya tidak bersalah...ini semua konspirasi.'' Beliau cuba meraih simpati rakyat sebagaimana yang berlaku pada 1998.

Pada 1998, Anwar mendapat simpati sejumlah besar rakyat selepas beliau ditahan dan dikenakan tuduhan meliwat dan rasuah. Demonstrasi besar-besaran berlaku di Kuala Lumpur. Kali ini jumlah orang ramai yang mendengar ucapan jelajahnya setakat ini di Melaka dan Pahang dikatakan tidak melebihi 5,000 orang.

Dan kelihatan tiada siapa yang mahu merusuh seperti pada tahun 1998.

Jika Anwar percaya bahawa beliau akan mendapat sokongan besar seperti pada 1998, itu sebenarnya hanyalah kepercayaan seorang yang tersepit. Di kalangan Pas yang merupakan rakannya dalam Pakatan Rakyat, sudah kedengaran suara-suara yang mahu memencilkan parti itu daripada Anwar. Hanya Karpal Singh dan Lim Kit Siang yang jelas setia bersama Anwar. Itu pun ada sebabnya. Anwar telah menolak DEB dan ketuanan Melayu yang DAP sanggah sekian lama. DAP melihat bahawa Anwar adalah instrumen penting dalam mencapai impian Malaysian Malaysia. Mana ada Melayu lain yang sanggup menjadi instrumen kepada DAP untuk menjayakan Malaysian Malaysia.

Anwar juga cuba mendapatkan simpati dunia, terutama dari Amerika. Kita tengoklah siapa yang mahu datang ke Kuala Lumpur seperti Naib Presiden AS, Al Gore yang membangkitkan isu reformasi pada satu jamuan sidang Apec, pada November 1998. - malaysiaaktif.com

Nasir Sukiman
23 Julai 2008
(www.malaysiaaktif.com)

No comments: