Monday, July 28, 2008

Isu Perdana V6: Ahmad Said sekali lagi lawan bos



DATUK Ahmad Said menjadi Menteri Besar Terengganu bukan atas pilihan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO, tetapi beliau adalah pilihan istana yang tidak mahukan Datuk Seri Idris Jusoh menyambung tugas.

Pilihan Pak Lah ialah Idris Jusoh. Akibatnya isu pelantikan MB Terengganu menjadi konflik yang hanya dapat diselesaikan 14 hari selepas pilihan raya umum pada 8 Mac 2008. Ahmad Said tidak berganjak dan akhirnya Pak Lah terpaksa bersetuju dengan kehendak istana.

Maka apabila meletus kontroversi mengenai pembelian 14 buah kereta Mercedes Benz bagi menggantikan Proton Perdana V6 Excutives yang digunakan oleh Menteri Besar, exco dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu, sekali lagi Ahmad Said mendapat perhatian besar.

Tindakan Ahmad Said meluluskan pembelian Mercedes itu tanpa terlebih dulu mendapat restu Pak Lah, walau dengan apa alasan wajar sekalipun, boleh dilihat sekali lagi sebagai perbuatan `melawan bos.' Ia memperlihatkan kemungkinan belum wujud hubungan yang sihat antara kedua-dua pihak.

Sebelum ini Ahmad Said telah menuntut wang royalti minyak dan gas Terengganu dibayar terus kepada kerajaan negeri, bukan melalui tabung wang ihsan. Kerajaan persekutuan akur dengan kehendak Ahmad Said.

Kini kita lihatlah sama ada Ahmad Said akan akur kepada ketegasan Pak Lah supaya MB, exco dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu akan kembali menggunakan Proton Perdana atau terus bergaya dengan Mercedes yang telah dibeli.

Dilaporkan bahawa beberapa orang exco kerajaan negeri Terengganu telah menggunakan Mercedes baru mereka ketika menghadiri beberapa majlis sekalipun kabinet kerajaan persekutuan telah membuat keputusan melarang mereka menggunakan kereta rasmi selain daripada Proton Perdana.

Kononnya mereka akan terus menggunakan Mercedes sehingga ada arahan daripada Ahmad Said yang hanya akan diputuskan dalam mesyuarat exco akan datang.

Ahmad Said telah memberikan alasan untuk tidak menggunakan Proton Perdana kerana kos penyenggaraan yang terlampau tinggi. Di samping itu, Ahmad Said juga menyatakan bahawa Mercedes lebih selesa daripada Proton Perdana V6 bagi beliau yang selalu berjalan jauh atas tugas-tugas rasmi.

Perihal kos penyengaraan yang tinggi itu tidak dapat dinafikan dan kini menjadi satu isu sampingan yang panas. Proton Holdings Berhad menjelaskan bahawa kos sebenar tidak tinggi. Lalu Badan Pencegah Rasuah (BPR) memulakan siasatan mengenai kenapa kos penyenggaraan Proton Perdana kerajaan negeri Terengganu terlalu tinggi. Kereta-kereta tersebut dibeli bukan pada zaman Ahmad Said, tapi semasa Idris sudah menjadi MB.

Agak menarik juga laporan awal mengenai kos penyenggaraan itu menyenaraikan kereta bekas MB Idris Jusoh paling tinggi. Idris telah membantah dan akhirnya Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mengakui angka yang dinyatakan adalah tersilap. Kini Idris sedang mempertimbangkan saman malu.

Dalam masa yang sama muncul nama Spanco Sdn Bhd, syarikat yang mendapat kontrak kerajaan pusat untuk menyenggara 1,400 buah Proton Perdana V6 dengan caj RM80 juta setahun. Ahmad Said dilaporkan turut menggesa BPR menyiasat Spanco.

Yang lebih menarik, Ahmad Said bukan sahaja meminta BPR menyiasat sesiapa jua yang berkaitan dengan kontroversi penyenggaraan Proton Perdana yang tinggi. Beliau turut menggesa BPR menyiasat projek-projek mewah Piala Monsoon (Monsoon Cup) dan Taman Tamadun Islam di Terengganu.

Pak Lah dalam reaksinya berkata, terpulanglah kepada BPR untuk menyiasat jika ada unsur-unsur rasuah.

Nampaknya apa yang berlaku ada unsur-unsur permainan politik. Ahmad Said telah menggunakan kesempatan untuk mendedahkan kain kotor di khalayak umum tanpa selindung.Apa tujuannya?

``Saya seorang yang kontroversi. Saya akan dedahkan banyak lagi, tetapi BPR mestilah telus dan siasat kes-kes besar.

``Jangan hanya siasat Mad (Ahmad Said) . Siasat Monsoon Cup dan Taman Tamadun Islam,'' kata Ahmad Said kepada media.

Apakah Ahmad Said bertindak kerana berdendam, atau ada sesuatu yang belum kena, atau beliau semata-mata mahu menegakkan kebenaran dan keadilan? Ketika ini kelihatan Ahmad Said mempunyai kelebihan kerana serangannya berasas.

Andainya kerajaan negeri Terengganu tidak mempedulikan arahan kabinet supaya Proton Perdana V6 terus digunakan, apakah tindakan Pak Lah seterusnya? Negeri-negeri lain sedang melihat perkembangan ini. Jika Pak Lah gagal menangani isu ini dengan baik, kelihatan kepimpinannya terus dicabar dan boleh dicabar. Apakah ia akan mempengaruhi senario pemilihan pucuk pimpinan UMNO pada Disember akan datang? - malaysiaaktif.com

Bashir Ahmad
27 Julai 2008

No comments: