Monday, July 14, 2008

RM10 juta untuk tunai janji

Nasir Sukiman
13 Julai 2008


BENARLAH kata orang, bukannya mudah menunaikan janji. Apatah lagi jika benar-benar mahu mengotakan janji yang memerlukan ongkos hampir RM10 juta.

Inilah hakikat harus dihadapi seorang ADUN yang terpaksa berdepan kemarahan penduduk kampung dua kilometer saja dari sempadan tenggara Kuala Lumpur.

Si Adun ni memenangi pilihan raya 8 Mac lalu atas tiket pembangkang. Janji diluahkannya begitu indah, begitu muluk-muluk belaka.

Penduduk yang begitu berang apabila mendapati tanah kubur, tanah milik sekolah agama dan rizab untuk pembinaan sebuah surau sudah bertukar tangan mahu hak milik itu dikembalikan.

Mereka tidak tahu kewujudan pelbagai pihak berkepentingan yang sedar akan nilai setiap meter persegi tanah di sekitar ibu negara kita ini. Bila masa hak pemilikan bertukar tangan tidak diketahui.

Penduduk terperanjat apabila mendapat tahu, kawasan tanah perkuburan sudah ditutup setelah tiga ekar dipenuhi walaupun masih ada lagi dua ekar yang boleh mengisi 5,000 liang lahad.

Begitu juga kawasan bagi pembesaran sekolah agama tiba-tiba saja sudah berpindah milik. Ini disahkan dengan terpacaknya sebuah papan tanda pemberitahuan mengenai projek rumah teres dan rumah kedai dekat kawasan sekolah.

Tanah rizab surau pula dijadikan tempat menyimpan perkakas dan alat oleh pemilik kedai Cina.

Apabila disiasat dengan rapi, barulah fakta berkaitan semua hartanah itu terbongkar. Si Adun tu mendapati dua ekar kawasan perkuburan berkenaan sudah dicagar kepada sebuah bank oleh pemaju.

Kawasan itu dimajukan bersama majlis perbandaran dan ini diluluskan sebelum Mac lalu. Begitu juga tanah rizab surau itu dicagarkan orang berkepentingan kepada sebuah bank tetapi gagal ditebus kembali.

Ini menyebabkan pihak bank melelong tanah itu yang dibeli pula oleh pemodal Cina. Gara-gara mahu kaya cepat pelbagai pihak terlibat bersepakat merampas tanah tidak diwartakan itu bagi kepentingan masing-masing.

Jika mahu menebusnya, si Adun bersama-sama penduduk harus mencari RM10 juta. Bagaimana caranya ?

Itulah, kata orang "politik itu saudara pembohongan" , orang politik memang mudah menabur janji tetapi sukar ditepati.

Memang mudah mencari kesalahan pemimpin lain sambil membuat janji itu dan ini tetapi apabila mengetahui fakta sebenar, baru padan muka. - malaysiaaktif.com

Goblok: banyak tu 10 juta...tetapi manusia harus berpegang pada janji..

No comments: