Friday, July 25, 2008

UMNO dan Pas tak perlu bergabung

Goblok:Pilih jalan yang baik dan banyak memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia..Fikir-fikirkanlah


MUZAKARAH UMNO-Pas akan berlangsung tanpa sebarang tentangan lagi setelah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyetujuinya dengan syarat namanya ditukarkan daripada muzakarah kepada muqabalah.

Sama ada media akan menggunakan istilah Nik Aziz itu, kita lihatlah. Tapi apalah sangat pada perubahan istilah. Yang penting ialah ada pertemuan dan dialog antara Pas dan UMNO mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam.

Memang benar sebagaimana yang Nik Aziz bangkitkan sebelum menyatakan persetujuannya bahawa jika muzakarah itu diteruskan, akan berlaku perpecahan dalam Pas. Perpecahan antara kumpulan yang menentang dan yang menyokong. Puak yang menentang telah menyuarakan keluh-kesah mereka kepada Nik Aziz dan menjadikan beliau pemimpin kumpulan mereka. Tanda-tanda perpecahan agak jelas melalui tulisan-tulisan yang disiarkan dalam blog-blog pro-Pas.

Ada yang mendakwa bahawa muzakarah itu dianjurkan oleh pemimpin-pemimpin tertentu dalam Pas yang ``hayat politik mereka sudah sampai ke hujung'' dan ``kalangan yang kepingin jawatan.''

Dicanangkan oleh kumpulan penentang muzakarah ini bahawa UMNO melalui Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan merintis jalan dengan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa kononnya telah menawarkan:

1. Jawatan Menteri Besar kepada Pas di Selangor selain kekal di Perak, Kedah dan Kelantan.
2. Jawatan exco kerajaan negeri kepada Pas di Terengganu, Pahang, Perlis dan Johor.
3. Pas akan mendapat semua kerusi yang dimenangi PKR dan DAP dalam PRU 12 untuk ditandingi pada PRU 13 akan datang.
4. Pas akan mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua.
5. Pas akan mendapat 5 jawatan menteri Kabinet Persekutuan.
6. Sejumlah jawatan Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen.
7. Sejumlah jawatan Senator dan ahli lembaga pengarah GLC.
8. Dan beberapa jawatan lagi.

Menurut kalangan antimuzakarah ini, tawaran tersebut akan ditunaikan jika Pas masuk Barisan Nasional.

Sebab itulah apabila pucuk pimpinan Pas memutuskan muzakarah tersebut akan diteruskan , kedengaran suara-suara dalaman yang memperingatkan Pas supaya jangan masuk BN. Antara yang bersuara lantang ialah Salahuddin Ayub, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat.

Suara tersebut adalah sejajar dengan pendirian awal Nik Aziz. Entah apa gerangan hujah yang dibawah oleh pemimpin-pemimpin yang menyokong muzakarah itu lalu membolehkan Nik Aziz mengubah pendirian dalam pertemuan peringkat pimpinan tertinggi parti itu di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan pada 23 Julai.

Presiden Pas Datuk Seri Haji Hadi Awang dalam kenyataan kepada media selepas pertemuan itu memberi jaminan bahawa muqabalah tersebut tidak akan melorongkan Pas masuk BN atau Pas bergabung dengan UMNO.

Jika dipegang cakap Hadi Awang, maka tidak benarlah hujah dan cerita yang dibawa oleh kumpulan antimuzakarah itu yang turut menuduh pemimpin-pemimpin tertentu Pas menyokong kuat kerana mahukan jawatan. Atau jika memang betul wujudnya kumpulan pemimpin Pas yang mengidamkan jawatan itu, nampaknya kempunanlah mereka.

Apa pun, dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku. Apa yang mustahil pada hari ini, barangkali munasabah pada hari esok.

Namun secara logik kita boleh membayangkan bahawa untuk membolehkan Pas masuk BN, UMNO perlu terlebih dulu mendapat restu daripada rakan-rakan komponen gabungannya. Adakah mereka dengan mudah akan menerima Pas dengan mengambil kira bahawa kekuatan Melayu akan bertambah sedangkan kekuatan bukan Melayu merosot dalam gabungan itu?

Apatah lagi dalam PRU 12, kemerosotan prestasi BN adalah disebabkan sokongan kaum Cina menurun daripada 65 peratus (PRU 11) kepada 35 peratus; India merudum daripada 82 peratus ke 47 peratus; berbanding sokongan Melayu yang merosot hanya sebanyak 5 peratus.

Andainya UMNO dan Pas tetap mahu memadukan kekuatan Islam dan Melayu melalui muafakat politik, maka terpaksalah mereka bergabung berasingan dengan meminggirkan sokongan bukan Melayu. Ini satu perkara yang sukar untuk dicapai kerana undi Melayu belum cukup untuk membolehkan pembentukan sebuah kerajaan Melayu bermajoriti dua pertiga di Parlimen.

Satu kemungkinan yang boleh dilaksanakan ialah UMNO dan Pas bermuafakat untuk berteguh pendirian secara bersama dalam isu-isu yang berkepentingan Islam dan Melayu tanpa masing-masing meninggalkan BN dan Pakatan Rakyat. Ini boleh dilaksanakan sekalipun Pas terus berada dalam PKR. Misalnya, jika ada usul atau apa jua bentuk tindakan yang datang dari DAP atau PKR, Pas boleh tidak menyokong dan membantah jika ia melihat tindakan itu boleh mengancam atau menggugat kepentingan Islam dan Melayu.

Begitu juga jika UMNO menghadapai tekanan daripada parti-parti bukan Melayu dalam BN. Pas boleh menyuarakan pandangan tegas yang seiring dengan pendirian UMNO. Inilah adalah satu muafakat yang paling longgar, tapi lebih mudah untuk dicapai. - malaysiaaktif.com

Bashir Ahmad
25 Julai 2008
www.malaysiaaktif.com

1 comment:

infogue said...

artikle anda:

http://berita-politik-dunia.infogue.com/
http://berita-politik-dunia.infogue.com/umno_dan_pas_tak_perlu_bergabung

promosikan artikel anda di www.infogue.com dan jadikan artikel anda yang terbaik dan terpopuler menurut pembaca.salam blogger!!!