Wednesday, August 20, 2008

Anwar tidak mengenang budi Pak Lah

PERMATANG PAUH – Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai orang yang tidak mengenang budi apabila beliau mendakwa Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi terlibat dalam konspirasi tuduhan Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadapnya.


Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Noor berkata, Anwar sepatutnya mengenang budi Abdullah yang telah menolongnya semasa dalam tahanan pada tahun 2004.

Bercakap pada ceramah pilihan raya kecil Pertamatang Pauh di Tanah Liat malam tadi, bekas orang kuat Anwar itu buat pertama kalinya mendedahkan bahawa beliau telah mengaturkan satu pertemuan antara isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan Abdullah pada tahun tersebut.

Dalam pertemuan yang Ezam turut hadiri itu, Wan Azizah telah meminta Abdullah mempertimbangkan tiga perkara:



i. Minta keluar dari penjara untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana sakit belakang.

ii. Memohon mendapatkan rawatan lanjut di luar negara.

iii. Sebagai Perdana Menteri, Abdullah tidak akan campur tangan dalam kes rayuan Anwar terhadap dua keputusan Mahkamah Tinggi – kes liwat dan kes rasuah.

Kata Ezam, permintaan pertama Anwar telah ditunaikan serta-merta dan beliau dibawa keluar dari penjara ke hospital pada malam berkenaan.

Bagi permintaan kedua, Abdullah berkata beliau akan berbincang dengan pihak-pihak berkenaan terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

Bagi permintaan ketiga, Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam apa jua urusan kehakiman berhubung rayuan Anwar.

Menurut Ezam, beliau masih ingat kata-kata Perdana Menteri:`` Azizah saya pemimpin Islam, saya tidak akan buat aniaya orang lain.’’

Dalam penghakimannya terhadap rayuan Anwar, Mahkamah Perekutuan telah membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri itu daripada tuduhan liwat tapi menolak rayuan terhadap keputusan kes rasuah.

Kata Ezam, mengenali Abdullah beliau percaya sampai sekarang pun Perdana Menteri tidak sekali-kali akan menganiaya Anwar dan tidak munasabah untuk menuduhnya terlibat dalam konspirasi kes aduan liwat terhadap Mohd Saiful.

Menurutnya, amat tidak wajar Anwar tiba-tiba menuduh Perdana Menteri pula terlibat dalam konspirasi aduan Saiful.

``Mula-mula dia (Anwar) tuduh Peguam Negara, Ketua Polis Negara…kemudian Timbalan Perdana Menteri dan tiba-tiba sekarang Perdana Menteri pula,’’ kata Ezam.

Beliau berpendapat Anwar menuduh `semua orang’ kerana terlalu terdesak dalam menangani kes aduan liwat terhadapnya pada ketika cita-citanya semakin memuncak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Berhubung pengakuan bersumpah Mohd Saiful, Ezam berpendapat hanya Allah, Anwar dan Saidul yang tahu apa yang sebenar.

Kata Ezam, mana-mana pihak tidak boleh membuat andaian kerana tiada siapa yang tahu apa yang berlaku, sama ada pengakuan itu benar atau sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin-pemimpin Pas tidak akan membuat sebarang kenyataan yang memihak kepada Anwar berhubung pengakuan bersumpah Saiful kerana mereka tidak tahu kedudukan sebenar.

Ezam menambah, beliau sendiri tidak membuat sebarang andaian kerana ``hanya Allah, Anwar dan Saiful yang tahu.’’ – malaysiaaktif.com

Bashir Ahmad
17 Ogos 2008

No comments: