Tuesday, October 28, 2008

Keistimewaan Melayu Kekal

Goblok: untuk pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan dengan isu hak istimewa orang melayu perlu sedar bahawa apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Janganlah kita ambil kesempatan dengan situasi politik semasa ini.
Renungkan jika negara berada dalam keadaan huru hara atau peperangan. minta-minta kita di jauhkan dari bala bencana demikian

Sekadar berkongsi maklumat berita

Keistimewaan Melayu Kekal

B.harian
28 Okt 2008
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

IPOH: Hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera seperti diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan walaupun berlaku perubahan kepemimpinan negara pada Mac depan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa sama, hak kaum lain dan kepentingan bukan Melayu serta kehendak mereka akan tetap terus diberi perhatian oleh kerajaan.

Beliau berkata, pihak lain juga tidak wajar mempersoal peruntukan yang sudah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan negara ini.

“Sehari dua ini disebut mengenai kontrak sosial. Perlembagaan negara, peruntukan 153 dalam Perlembagaan yang menentukan hak istimewa orang Melayu adalah sesuatu yang kita akan pertahankan.

“Begitu juga kita akan pertahankan hak rakan bukan Melayu. Yang mempunyai hak yang patut dan wajib dipertahankan kepentingan mereka serta kehendak mereka. Kita jangan sekali-kali menyalah-gunakan kuasa kita.

“Kita tidak mahu orang mempersoal apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara, sebagai tiang seri kepada negara.

“Dasar kita boleh ubah dan dasar kita boleh rundingkan. Kepentingan kaum kita boleh jaga ... serta masalah setiap kaum kita boleh bela. Tetapi asas tiang seri negara tetap akan dipertahankan. Inilah yang menjadi landasan untuk kita mengorak langkah ke hadapan,” katanya pada majlis Aidilfitri Umno Perak di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Dalam ucapannya, Najib berkata, beliau akan mengekalkan hubungan baik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mengambil alih jawatan Presiden Umno Mac ini.

Katanya, beliau akan meneruskan semua program baik yang dilaksanakan Abdullah dan tidak akan mengubah sebarang pengisian untuk kepentingan nasional.
"Saya akan jaga perasaan sesama kami. Saya akan jaga perasaan Pak Lah kerana saya hendak hubungan saya dengan Pak Lah berterusan.

“Setiap daripada kita tetap boleh mainkan peranan untuk tentukan masa depan kita. Sebab menjelang Mac nanti bukan perubahan kerajaan, cuma perubahan kepemimpinan. Kami masih lagi dalam satu keluarga.

“Dari segi pengisian tidak akan ada yang berubah. Mana yang baik yang dibuat oleh Pak Lah, saya tetap akan teruskan,” katanya.

Najib berkata, program seperti Misi Nasional, Islam Hadhari dan koridor pembangunan akan dikekalkan demi pembangunan jangka panjang negara.

No comments: