Wednesday, November 26, 2008

Inflasi terus merundum

Penurunan harga bahan mentah dan komoditi dunia telah membantu penurunan kadar inflasi Malaysia. Penurunan Inflasi dijangka akang membantu ekonomi negara dalam keadaan yang mampan dan bertahan dari tekanan ekonomi global. Sebagai rakyat Malaysia kita harus membantu kerajaan dengan berbelanja secara berhemat - goblok

Inflasi Dijangka Terus Turun

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Inflasi di Malaysia mungkin turun kepada tujuh peratus atau lebih rendah sama ada bulan ini atau bulan depan berdasarkan kepada aliran menurun harga bahan mentah dan komoditi asas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad.

"Jangkaan aliran menurun itu adalah berasaskan kepada penurunan harga komoditi dan barangan makanan seperti tepung dan beras yang turun menjejaki penurunan harga minyak mentah, justeru itu melegakan tekanan ke atas Indeks Harga Pengguna," katanya selepas merasmikan Persidangan CSR dan Kemampanan Perniagaan di sini, Selasa.

Inflasi pada Oktober turun kepada 7.6 peratus daripada 8.2 peratus pada September.

Beliau berkata meskipun penurunan kadar faedah semalaman oleh Bank Negara Malaysia semalam pastinya membantu pertumbuhan disebabkan kos dana yang rendah, ia akan memberi tekanan kepada ringgit yang seterusnya meningkatkan kos import.

Shahrir berkata tidak mungkin untuk menurunkan subsidi bahan api lebih daripada 15 sen pada bila-bila masa kerana ia akan menjejaskan perdagangan.

Beliau berkata kerajaan tidak memungkiri janjinya untuk mengekalkan subsidi 30 sen seliter bagi petrol.

"Hanya harga minyak mentah global jatuh dengan begitu pantas berbanding subsidi 30 sen," katanya.

Shahrir berkata harga minyak mentah kembali semula pada kira-kira AS$50 setong dan oleh kerana kerajaan membuat perkiraan berdasarkan purata bulanan, masih terdapat ruang bagi harga bahan api untuk turun.

-- BERNAMA

Sunday, November 23, 2008

Pengurangan Harga Petrol ?

Goblok menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya berfikiran rasional dengan langkah pengurangan harga petrol. Jika harga pasaran dunia turun wajar kita patut menikmati harga petrol tempatan yang murah tetapi bila harga dunia melambung naik, ramai di kalangan kita akan cepat melenting jika harga petrol tempatan naik . oleh itu kita perlu memahami penetapan harga petrol. jangan mudah kita minta harga murah sahaja. Kita perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Langkah penetapan harga minimum wajar pada pandangan goblok..
Walau apa pun minta tolong la para peniaga cepat turunkan harga barangan...


Kerajaan Tidak Sentiasa Mengurangkan Harga Petrol, Kata Najib


LIMA, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan tidak akan sentiasa mengurangkan harga runcit petrol dan diesel apabila harga minyak mentah dunia turun kerana ia tidak menentu dan boleh naik lagi dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata menurunkan harga terlalu cepat dan sangat rendah boleh menyebabkan kesan tidak baik terhadap usaha membangunkan sumber tenaga alternatif.

"Harga minyak rendah "ia tidak boleh bertahan, ia akan naik (dan) apabila harga naik, ia perlu dikaji semula," katanya kepada wartawan Malaysia di Hotel Miraflores sini Jumaat, ketika ditanya mengenai kesan harga rendah petrol terhadap Petronas dan ekonomi negara.

Beliau kini berada di ibu negara Peru untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang bermula di sini Sabtu.

Najib bercakap kepada wartawan setelah menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Peru di sini di mana belia menyampaikan sumbangan AS$5,000 kepada pusat tersebut.

Najib berkata kebanyakan pengusaha pam petrol mendapati sukar dengan harga yang tidak menentu itu berdasarkan pada harga harian dan malahan mingguan, mereka mahu sedikit penentuan dalam harga petrol.

"Kajian sekali dalam dua minggu adalah sesuatu yang mereka boleh terima, katanya."

Harga minyak tidak akan berada pada paras AS$50 sampai bila-bila, ia tentu sekali akan naik, tambah beliau.

"Lagi pun, harga barangan tidak berkurangan sebanyak mana yang kita dapat kurangkan harga minyak," kata beliau.

Kerajaan telah mengurangkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak tiga kali sejak beberapa bulan lepas, yang terkini hanya beberapa hari lepas ekoran harga minyak mentah turun dengan mendadak disebabkan krisis ekonomi global, tambah beliau.

Bagaimanapaun, Julai lepas, harga minyak mentah mencacat satu rekod tinggi iaitu AS$147 setong yang memaksa kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel, kata Najib.

"Sama ada kita akan menurunkan dan sama ada dalam tempoh jangka pendek, kita hendaklah mengkaji kenaikannya, semua faktor ini perlu diberi pertimbangan," kata beliau.

Malahan, "kita tidak tahu apa akan berlaku dengan harga petrol atau minyak dalam masa beberapa bulan akan datang, perkara ini perlu dikaji lagi."

Beliau berkata "pengurangan harga minyak mestilah mengambil kira sama ada pengurangan wajar dilakukan sepenuhnya kerana saya tidak fikir harga minyak akan terus berada di paras ini."

Ketika ditanya sama ada ini bermakna kerajaan tidak akan mengurangkan harga runcit minyak, beliau berkata: "Saya tidak kata tidak ada pengurangan tetapi kita kena lihat kewajaran."

Dari segi ekonomi negara, Najib berkata kesan terhadap inflasi tentu sekali lebih positif bermakna "kita ada peluang mengurangkan harga minyak."

"Jikalau kita kurangkan harga terlalu cepat, apakah ini bererti bahawa bila harga naik, nanti, kita terpaksa menaikkan harga kepada pengguna dan jika harga petrol terlalu rendah, usaha untuk membangunkan sumber tenaga yang lain mungkin tidak ada insentif," kata beliau.

"Bagaimanapun, kerajaan sedar bahawa memang ada tanggungjawab kita untuk mengkaji semula harga minyak berdasarkan kepada harga minyak di pasaran dunia.

"Dan tentu sekali kita akan membincangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang akan datang," katanya.

Beliau berkata bahawa dari segi pendapatan negara dan Petronas, tentu sekali ia akan berkurangan, tetapi subsidi minyak juga berkurangan, jadi ada imbangan antara dua.

"Tahun depan, kita masih lagi boleh bertahan dari segi pendapatan dan sumber kepada kerajaan," kata Najib.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata "penjimatan subsidi akan lebih ketara" dengan harga minyak mentah telah jatuh kepada AS$50 setong, tetapi angka ini perlu dikaji.

Mengenai rebat yang dibayar kepada pemilik kereta dan motosikal untuk memperbaharui cukai jalan sejak Mac tahun ini, beliau berkata ia akan dikaji semula pada tahun depan, bagi menunggu satu pusingan tempoh pembayaran rebat yang akan berakhir pada Mac 2009.

-- BERNAMA


Friday, November 21, 2008

Iron Lady Malaysia akan mempertahankan jawatan



Akhirnya akan wujud pertarungan besar diantara giant lady UMNO. Harapan goblok jangan UMNO hancur sudah. sama-sama kita nantikan .....




Rafidah Tetap Pertahan Jawatan

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Rafidah, 65, berkata beliau menghargai dan menghormati pencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.

"Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu," katanya dalam kenyataan setebal 11 muka surat.

Semalam, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.

Keputusan itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa Wanita Umno pada Jun 2009 yang diumumkan Rafidah Ogos lepas.

Dalam kenyataan itu, Rafidah turut melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan kuasa telah dipertikai dan ditolak selepas tiga bulan beliau mengumumkannya.

"Semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam exco, atau di luar, yang telah mempertikaikannya.

"Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan:

a) bahawa beliau tidak akan bertanding Jawatan Ketua walaupun dicalonkan

b) beliau patuh kepada pelan peralihan

c) beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti

d) bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikota" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media)," kata beliau.

Rafidah berkata beliau tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai.

Beliau berkata sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dalam mana-mana perbincangan, sekiranya terdapat pihak yang tidak bersetuju atau membantah pelan peralihan yang dianjurkannya, perkara itu wajar dibangkitkan.

Rafidah berkata sekiranya perkara itu dilakukan sebelum proses pencalonan, maka Exco Wanita Umno pasti akan membatalkan pelan peralihan tersebut.

"Dan, saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua," katanya.

Bagaimanapun, katanya, "bantahan" cuma ditimbulkan selepas mereka mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding.

"Maka barulah pihak-pihak yang berkenaan membantah dengan pelbagai alasan yang tidak berasas," katanya.

Mengenai cadangan supaya pelan peralihan itu dipercepatkan dari Jun ke Mac, Rafidah berkata itu tidak lojik.

Beliau berkata jika dibuat pada bulan Mac, bererti tiada lagi "pelan peralihan", yang pada asasnya melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan.

"Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangkamasa itu ialah antara bulan Januari hingga Jun 2009 kerana Perhimpunan Agung dijadualkan pada Disember 2008.

"Ia telah diganjak kepada Mac, tetapi pelan peralihan kuasa tidak terjejas," katanya.

Rafidah juga berkata sekiranya pelan peralihan itu "dipercepat" kepada Mac, ia juga bererti beliau menyerahkan jawatan "secara bulat-bulat" kepada Shahrizat, yang akan menang tanpa bertanding.

"Ini menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang telah mencalonkan saya untuk pegang jawatan hingga Jun 2009," katanya.

Rafidah telah menerajui Wanita Umno sejak 1984, melainkan untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Beliau yang memenangi semula jawatan itu daripada Siti Zaharah pada pemilihan 2000, buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lepas.

Mesyuarat Exco Wanita Umno minggu lepas mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.

"Sekarang kerana pelan peralihan telah diingkari dan jawatan Ketua (Wanita) akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan jawatan yang disandang sekarang," katanya.

Rafidah menyarankan agar semua pertandingan jawatan dalam Pergerakan Wanita Umno dijalankan dengan tertib, beradab, ikhlas tanpa menjejaskan sesiapa atau parti.

"Jangan sekali-kali mengada-adakan dan menabur fitnah dan pembohongan, atau membawa pecah-belah," katanya.

-- BERNAMA

Monday, November 17, 2008

Zeti dilantik ahli suruhanjaya pakar reformasi kewangan dunia PBB

Goblok berbangga dengan perlantikan Tan Sri Zeti yang dilantik menganggotai pasukan petugas peringkat tertinggi yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).Ini membuktikan bahawa warga Malaysia telah diiktiraf oleh dunia. Ini amat bermakna dengan langkah-langkah pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan, pihak pembangkang tidak harus mengambil kesempatan dengan menyalahkan pihak kerajaan. Langkah-langkah yang telah diambil nyata bukan sahaja dihargai oleh rakyat Malaysia malas dikagumi oleh seluruh dunia.



Zeti dilantik ahli suruhanjaya pakar reformasi kewangan dunia PBB

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dilantik menganggotai pasukan petugas peringkat tertinggi yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengkaji kemungkinan mewujudkan reformasi sistem kewangan global, termasuk Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia susulan krisis kewangan dunia semasa.

Zeti memegang jawatan Gabenor Bank Negara sejak 2000 dan merupakan wanita tunggal di Asia dan hanya beberapa wanita di dunia menyandang jawatan tertinggi bank pusat.

Presiden Perhimpunan Agung PBB, Miguel Descoto, yang mengumumkan anggota penuh pasukan petugas yang dibentuknya itu berkata, Joseph Stiglitz, yang menerima Anugerah Nobel bagi Ekonomi pada 2001 yang juga bekas ketua ekonomi Bank Dunia, akan mempengerusikan panel itu yang dikenali sebagai Suruhanjaya Pakar-Pakar Reformasi Sistem Kewangan dan Monetari Antarabangsa.

"Pasukan petugas itu akan mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh negara anggota bagi menjamin kedudukan ekonomi global yang lebih stabil,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh perkhidmatan berita PBB.

Banyak negara kini sudah mengalami kemelesetan atau hampir menuju kemelesetan akibat krisis kewangan yang berpunca daripada krisis kredit subprima di Amerika Syarikat.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang turut dilantik menganggotai panel itu ialah Jomo Kwame Sundaram, Penolong Setiausaha Agung bagi Pembangunan Ekonomi dan Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB (DESA), yang pernah menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, serta Jose Antonio Ocampo dari Colombia yang juga bekas Setiausaha Rendah bagi Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial.

Anggota lain panel itu terdiri daripada Jean-Paul Fitoussi, Profesor Ekonomi di the Institute dEtudes Politiques de Paris di Perancis; Avinash Persaud dari Barbados, yang juga Pengerusi Intelligence Capital Limited dan Yaga Venugopal Reddy, bekas Gabenor Reserve Bank India.

Eisuke Sakakibara dari Jepun yang pernah digelar sebagai 'Mr Yen', yang kini bertugas sebagai Profesor di Waseda University Tokyo juga dilantik menganggotai panel berkenaan, bersama Chukwuma Soludo, Gabenor bank pusat Nigeria dam Yu Yongding, Pengarah Institute of World Economics and Politics.

Semasa mengumumkan penubuhan panel itu bulan lepas, Descoto berkata: "Ramai yang memperakui bahawa masalah kewangan semasa tidak dapat diselesaikan menerusi respons bersendirian di peringkat nasional dan serantau dan ia memerlukan usaha bersepadu di peringkat global."

Wednesday, November 12, 2008

KWSP manfaat untuk semua

Goblok bersyukur dengan kemampuan KWSP menguruskan dana yang besar. Akhir-akhir ni pihak pembangkang selalu memberikan kritikan hebat terhadap pengurusan KWSP. Tahukah mereka bahawa langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan pasti memanfaat kepada semua pencarum KWSP.

Nasihat goblok pada semua pencarum KWSP jangan mudah percaya apa yang dikatakan oleh pihak pembangkang mereka hanya mengejar populariti sahaja. Namun langkah pelaburan KWSP perlu dijalankan secara profesional tanpa sebarang pengaruh politik.

sekadar berkongsi maklumat....


Dana KWSP berjumlah RM330 bilion

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai dana berjumlah RM330 bilion yang mampu menyokong bukan sahaja pelaburan dalam ekonomi tetapi memberikan pinjaman termasuk RM5 bilion ringgit kepada Valuecap.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, semua pinjaman yang diberikan KWSP dijamin oleh kerajaan dan kumpulan itu tidak berhadapan dengan sebarang risiko dalam pemberian pinjaman tersebut.

''Pinjaman yang diberikan oleh KWSP memberikan faedah besar kepada pencarum kerana ia akan dapat meningkatkan jumlah dividen yang dibayar.

''Pinjaman-pinjaman yang diberikan umpamanya kepada Valuecap memberi faedah besar kepada kumpulan itu yang menyebabkan Valuecap memutuskan untuk meminjam semula pinjaman yang dibuat daripada KWSP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2009 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Nor Mohamed memberitahu, fungsi Valuecap ialah sebagai institusi pelabur jangka panjang yang akan melabur di dalam syarikat blue-chips pada harga rendah.

Jelasnya, Valuecap menyediakan kecairan tambahan dengan membantu mengukuhkan kestabilan pasaran dan keyakinan pelabur, walaupun jumlah RM5 bilion merupakan kurang satu peratus daripada nilai pasaran Bursa Malaysia.

Berkenaan dengan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB), beliau memberitahu, kerajaan bersedia menimbangkan semula kontrak yang diberikan kepada TM Berhad.

Jelasnya, pemberian kontrak kepada TM untuk membangunkan HSBB kerana syarikat itu telah membekalkan 85 peratus perkhidmatan jalur lebar dalam negara serta mempunyai infrastruktur sokongan dalam melaksanakan jalur lebar ini.

''Kerajaan juga telah mengarahkan semua kontrak berkaitan dengan HSBB oleh TM perlu dilaksanakan secara terbuka, itu adalah syarat yang diberikan kepada TM," katanya.

Mengenai cukai terlebih bayar pembayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) katanya, pada tahun ini sebanyak RM5.5 bilion membabitkan 483,292 kes sementara pada tahun lalu pula sebanyak RM4.3 bilion membabitkan 349,984 kes telah dibayar semula.

Beliau juga memberitahu, kerajaan tidak dapat mengutip cukai perkhidmatan sebanyak RM183 juta apabila membuat keputusan untuk tidak mengenakan cukai perkhidmatan kepada restoran yang mengutip pendapatan kurang RM3 juta setahun.

Katanya, sebelum 1 Jun lalu, jumlah restoran yang dikenakan cukai perkhidmatan ialah sebanyak 4,934 pelesen dan ia berkurangan kepada 434 pelesen sahaja selepas tarikh tersebut.

''Kebanyakannya ialah pemegang francais seperti KFC, McDonalds dan Pizza Hut di mana restoran itu tertumpu kepada golongan yang berkemampuan dengan kutipan cukai bernilai RM211 juta," katanya.
(Utusan Malaysia)

Sunday, November 9, 2008

Pengurangan Caruman Pekerja ada impak positif

Goblok hairan betul sikap sesetengah pihak dengan menentang langkah kerajaan mengurangkan potongan caruman KWSP. Pengurangan ini perlu untuk menambahkan pendapatan boleh guna kita semua . Dengan cara ini kita dapat menjana pendapatan negara. Mengikut pandangan Pensyarah Kanan Universiti Malaya Dr Zarina semasa bual bicara dalam TV9 pagi tadi,berkata pengurangan caruman ini pasti menambah kuasa membeli pada rakyat Malaysia. Dengan ini pendapatan Domestik negara akan berkembang seterus akan mengelakkan negara dari mengalami kemelesetan.

Perlu diingat juga langkah ini hanya untuk 2 tahun sahaja sehingga ekonomi negara kembali mantap dan ekonomi dunia stabil. Kerajaan pasti telah menilai sebaik-baiknya untuk rakyat oleh itu kita perlu menyokong langkah yang telah diambil ini.
Fikir-fikirkan....



Kerajaan Tidak Ganjak Dengan Pengurangan Caruman Pekerja, Kata Nor Mohamed

TASEK GELUGOR, 9 Nov (Bernama) -- Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata kerajaan tidak akan berganjak dengan langkah untuk mengurangkan kadar caruman pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mulai tahun depan.

Katanya langkah itu terbukti berkesan ketika prosedur tersebut dilaksanakan semasa krisis kewangan Asia pada 1997/98.

"Kerajaan membuat kesimpulan bahawa majoriti pencarum mungkin berpendapat bahawa inisiatif itu baik oleh kerana mereka boleh menambah pendapatan dalam masa yang mencabar ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya langkah itu lebih mudah kerana kebanyakan pekerja akan memilih pengurangan itu berbanding bilangan kecil yang ingin mengekalkan caruman mereka pada kadar 11 peratus.

Minggu lepas, Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat mengumumkan kerajaan membenarkan pekerja mengurangkan kadar caruman KWSP mereka sebanyak tiga peratus mulai Januari depan.

Menurut Najib, yang juga Timbalan Perdana Menteri, langkah itu bertujuan menambah pendapatan boleh guna pekerja.

"Kami buat keputusan berdasarkan banyak faktor dan salah satunya adalah lebih bijak untuk mereka yang tidak mahu pengurangan caruman mereka supaya mengisi borang berbanding menjadikan kebanyakan pencarum mengikuti prosedur itu, " kata Nor Mohamed.

Ketika ini, caruman majikan kepada KWSP adalah sebanyak 12 peratus manakala caruman pekerja pula 11 peratus.

Menurut KWSP, pencarum yang ingin mengekalkan caruman pada kadar 11 peratus boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang KWSP 17A (AHL).

Bagaimanapun, pencarum yang memilih langkah itu tidak perlu mengisi sebarang borang.

Di bawah langkah itu, gaji pekerja akan dipotong secara automatik yang dikurangkan daripada 11 peratus kepada lapan peratus selama dua tahun mulai gaji Januari depan.

-- BERNAMA

Friday, November 7, 2008

Kebebasan media bagi PKR

Goblok hairan jika selama ini PKR melaungkan kebebasan untuk media tetapi sebaliknya . Jika media tidak menyebelahi mereka mereka akan melenting.. apa ni Pak Anwar & kuncu-kuncu. Bila lagi nak sedar. ingat pengundi-pengundi anda pasti akan menilai prestasi anda. Pasti mereka akan menyesal undi anda dalam PRU lepas....
sekarang untuk renungan ....



PKR mahu Utusan Malaysia dilarang buat liputan

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Ahli Parlimen Gombak, Mohamad Azmin Ali (PKR-Gombak) meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggunakan peraturan mesyuarat 80 dan 80(a) untuk melarang Utusan Malaysia daripada membuat liputan di Dewan Rakyat.

Azmin menegaskan, akhbar itu telah tidak membuat laporan yang tepat dan adil serta menjadi agen propaganda UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Yang Dipertua telah membuat keputusan yang tepat bahawa langkah-langkah tambahan merangsang ekonomi yang dibentangkan oleh Najib bukan sebahagian daripada Bajet 2009, tetapi laporan Utusan Malaysia dan TV3 tidak tepat serta tidak adil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan pada peringkat jawatankuasa Bajet 2009 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Azmin merujuk kepada keputusan Pandikar Amin bahawa pembentangan Bajet 2009 dan penggulungan oleh Najib semalam termasuk pengumuman langkah-langkah tambahan untuk merangsang ekonomi negara adalah teratur dan tidak melanggar peraturan mesyuarat.

Semalam Pandikar Amin menjelaskan, langkah-langkah tambahan yang mendapat bantahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) dan ahli-ahli Parlimen pembangkang lain, bukan sebahagian daripada Bajet 2009.

Azmin menegaskan, Dewan Rakyat patut mengikut contoh apa yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan melarang wartawan Berita Harian membuat liputan persidangan dewan tersebut.

Beliau juga mencadangkan kepada Pandikar Amin agar memadamkan rekod penggulungan dan pembentangan peruntukan RM7 bilion sebagai langkah-langkah merangsang ekonomi negara daripada rekod Dewan Rakyat.

Bagaimanapun tindakan Azmin itu mendapat bantahan daripada Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) yang melihat pembangkang hanya menjadi juara perjuangan kebebasan akhbar sekiranya ia selari dengan perjuangan mereka.

''Mereka kata pembangkang merupakan pejuang kebebasan akhbar tetapi apabila akhbar tidak selari dengan perjuangan mereka, nak hapuskan kebebasan akhbar.

''Kalau buat cerita yang tidak baik tentang ahli Parlimen pembangkang, saman akhbar tersebut, inilah yang dilakukan oleh mereka dengan menyaman Utusan Malaysia," katanya.

Jamaluddin menegaskan, Barisan Nasional (BN) menghargai kebebasan akhbar dan demokrasi oleh itu pembangkang juga perlu terima perkara ini.

Beliau juga memberitahu, rakyat menerima baik langkah-langkah merangsang ekonomi negara yang diumumkan oleh Najib.

Tegasnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan ialah untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang bukan menguncup seperti mana bajet yang diumumkan oleh pembangkang.

''Apa yang dibuat oleh kerajaan sekarang sama seperti apa yang dilakukan semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1997/1998 di mana kerajaan memastikan ekonomi negara berkembang bukan menguncup seperti yang dilakukan oleh bekas Menteri Kewangan dulu (merujuk kepada Anwar yang merupakan Menteri Kewangan semasa krisis kewangan tersebut)," katanya.

Jelasnya, kini Amerika Syarikat (AS) dan Eropah meniru cara tindakan Malaysia dalam memastikan ekonomi mereka berkembang dan bukan menguncup.

Ujar beliau, kerajaan bertindak benar apabila memastikan ekonomi negara terus berkembang, menyelamatkan bank-bank dan usahawan yang terjejas.

Thursday, November 6, 2008

Alhli parlimen pembangkang patut patuhi etika Dewan

Goblok betul-betul hairan dan binggung pun ada dengan sikap ahli-ahli parlimen sejak kebelakangan ini. Mereka seolah-olahnya sudah menggangap diri mereka mempunyai satu kuasa melibihi segala-galanya. Jika saya menjadi penduduk yang mempunyai Wakil Rakyat yang bersikap yang kurang ajar pasti saya akan rasa malu. Adakah ini budaya yang kita mahu.

fikir-fikirkan lah




Dua Anggota Parlimen Pembangkang Diperintah Keluar Dewan

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Dua anggota pembangkang Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dan Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) diperintah meninggalkan Dewan sehingga persidangan Dewan Rakyat hari Khamis selesai.

Tindakan itu dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas kedua-dua anggota Parlimen itu mempertikai keputusan Yang Dipertua yang dikatakan tidak memberikan laluan kepada Fong mencelah ketika perbahasan.

Ia bermula apabila Fong bangun dan mempersoalkan tindakan Pandikar Amin yang didakwa sejak semalam tidak memberikan peluang kepadanya untuk mencelah ketika perbahasan sedang berjalan, walaupun sudah beberapa kali meminta diberikan peluang itu.

"Saya ingin tahu mengapa saya sudah bangun sejak semalam tetapi tidak diberi peluang, adakah Pengerusi tidak nampak saya bangun bagi memberi peluang kepada saya untuk membangkitkan perkara yang dibahas.

"Jadi saya ingin tahu apakah kayu pengukur yang diguna oleh Pengerusi untuk menentukan siapa yang boleh berucap?" katanya.

Pertanyaan Fong itu dijawab Pandikar Amin dengan berkata: "Jawapannya singkat kepada Yang Berhormat...Saya tidak nampak".

Jawapan Pandikar Amin itu menyebabkan Fong berterusan bangun dan meminta penjelasan walaupun pada masa yang sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sedang menggulung perbahasan bagi pihak kementeriannya.

Pandikar Amin memberi amaran kepada Fong agar duduk tetapi ia tidak diendah anggota Parlimen itu dan ekoran itu, Pandikar Amin memerintahkan Fong keluar Dewan kerana mengingkari arahan Speaker.

Chong yang bangun untuk mempersoal keputusan Pandikar Amin terhadap Fong menyebabkan beliau turut diperintah meninggalkan Dewan.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang meminta Pandikar Amin supaya pertimbangkan semula keputusan itu.

Pandikar Amin memohon semua anggota Parlimen agar tidak mempermainkan kuasa Speaker sambil menegaskan bahawa sebagai seorang Pengerusi yang diberi kuasa berdasarkan peraturan mesyuarat, beliau tidak boleh menarik balik sesuatu yang telah diputuskan.

"Ia tidak boleh ditarik balik, itu berkali-kali saya memberi amaran, jika ia dirunding dan ditarik balik, maka Speaker tiada kuasa lagi...Ia tidak wajar dilakukan.

"Jangan permainkan kuasa speaker, saya tidak tarik balik. Dengan itu Batu Gajah dan Bandar Kuching diarah keluar sehingga habis mesyuarat hari ini," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, November 5, 2008

Pakej Rangsangan Ekonomi

Kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion dalam usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.

Antara intipati pakej tersebut ialah seperti berikut:

Caruman KWSP
Kerajaan akan membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman pekerja KWSP secara sukarela sebanyak 3 peratus selama dua tahun mulai 1 Januari 2009.

Pinjaman kenderaan
Bagi gred JUSA, had kelayakan pinjaman kereta dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM70,000.
Bagi gred 41 hingga 54, had kelayakan dinaikkan daripada RM55,000 kepada RM65,000.
Bagi kumpulan sokongan, had kelayakan dinaikkan daripada RM45,000 kepada RM55,000.

Pendidikan/Latihan
RM200 juta untuk pendidikan awal kanak-kanak di peringkat umur satu hingga enam tahun.
RM200 juta kepada empat kumpulan sekolah iaitu RM50 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan, RM50 juta untuk “mission school”, RM50 juta untuk SJK Cina dan RM50 juta untuk SJK Tamil.
Sebanyak RM200 juta bagi membiayai program daripada institusi latihan swasta dan pesertanya terdiri daripada golongan belia dan beliawanis daripada semua kaum.

Jalan/Pengangkutan
RM500 juta untuk membina, menaik taraf jalan di luar bandar, jalan kampung dan jalan pertanian termasuk di Sabah dan Sarawak.
RM500 juta bagi menyelenggara dan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam khususnya sistem LRT, Komuter dan sistem bas di bandar utama.

Peniaga kecil
Untuk membantu usahawan yang menjalankan perniagaan kecil, Bank Negara Malaysia akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan skim mikro kredit.

Teks penuh rangsangan ekonomi tersebut boleh didapati dari //dariparlimen.blogspot.com

Diharap semua pihak akan mendapat manfaat dari cadangan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan-goblok

Tuesday, November 4, 2008

Jika Ali Rustam, Muhammad Taib dan Khairy menang

Goblok: sejak akhir-akhir ni hampir 3 minggu lepas semua akhbar-akhbar tempatan sibuk melaporkan berita tentang jawatan Tertinggi dalam UMNO yang akan diadakan pada Mac ini.
Terfikir pula apa yang akan terjadi jika benar apa yang dikatakan oleh Mushi Abdullah ini...

Renung-renungkan lah

KOPITIAM TALK
4 November 2008

KETUA Menteri Melaka, Datuk Sri Mohd Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib bagitu ghairah hendak mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan Mac tahun depan.

Wartawan-wartawan terkemuka dan penganalisis politik di akhbar Inggeris dan Melayu tidak memberikan simpati atau sokongan kepada kedua calon ini kerana menilai mereka bukan kualiti untuk Timbalan Perdana Menteri. Tulisan mereka bukan berasaskan sentimen, prejudis atau kepentingan diri, tetapi memberikan pandangan sebagai telinga dan mata rakyat dari semua lapisan.

Anggapan bahawa Allahyarham Tun Ghafar Baba telah menjadi Timbalan Perdana Menteri tidak memberikan justifikasi kepada Ali Rustam untuk mengambil tugas yang sama. Ketokohan Ghafar sebagai tokoh nasional, veteran UMNO dan pejuang kemerdekaan jauh bezannya dengan Ali Rustam. Selain daripada itu, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambilalih negara dalam keadaan parti yang lemah dan ekonomi yang meruncing. Najib memerlukan timbalan yang berkaliber antarabangsa dan nasional untuk membantunya tidak sahaja dalam negara tetapi di luar negara.

Selain daripada itu, kedua-dua calon yang bakal mencabar Muhyiddin mengetahui sendiri bahawa sekiranya mereka terpilih akan akan menimbulkan masalah perundangan untuk proses pelantikan sebagai Perdana Menteri .

Mohd Ali Rustam perlu bertanding untuk kerusi Parlimen dan bagi Muhammad Taib pula kedudukannya sebagai Senator hanya akan menjadikannya Timbalan Perdana Menteri "lame duck" kerana tidak mempunyai locus standi untuk memangku jawatan Perdana Menteri .

Apakah perwakilan UMNO tidak boleh memberikan suatu laluan yang licin bagi perubahan pucuk kepimpinan yang licin dan boleh meyakinkan rakyat Malaysia dan juga dunia?

Khabar-khabar tidak sah yang mendakwa Presiden UMNO menyokong Ali dan Muhammad tidak seharusnya mempengaruhi perwakilan kerana kedudukan telah berbeza selepas kemenangan Najib tanpa bertanding untuk jawatan Presiden UMNO. Yang akan menghadapi masalah kelak ialah Najib dan bukan lagi Abdullah Badawi. Adakah dua orang ini harus dijadikan masalah dalam keadaan parti yang lemah dan ekonomi negara yang sedang tergugat?.

Pemilihan paling rasional untuk menjadi Timbalan Presden UMNO bagi kepentingan masa depan UMNO, bangsa dan negara tentunya Tan Sri Muyiddin Yassin. Beliau telah pun mendapat sokongan yang melayakkannya untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden. Ali dan Muhammad Taib masih mencari sokongan.

Ditakdirkan Ali Rustam atau Muhammad Taib menang dalam mencabar Muhyiddin pada pemilihan Mac tahun depan maka ini akan mengesahkan anggapan rakyat di luar UMNO bahawa UMNO tidak lagi mempedulikan perasaan rakyat.

UMNO akan terbukti tidak menyempurnakan hasrat akar umbinya dan tidak menghayati harapan rakyat terbanyak, akan nyatalah mereka yang menjadi perwakilan lebih mementingkan untuk mengumpulkan wang daripada mengumpul sokongan rakyat.

Jika Ali Rustam atau Muhammad Taib dipilih menjadi Timbalan Presiden dan Khairy Jamaluddin di pilih menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, maka jelaslah bahawa wang menguasai UMNO dan UMNO pasti akan pupus kerana politik wang.

Masih ada peluang untuk UMNO membuktikan bahawa UMNO mahu berubah.


MUNSYI ABDULLAH
(www.malaysiaaktif.com)

Saturday, November 1, 2008

Penurunan harga Minyak Bukti Kerajaan tunaikan Janji

Goblok amat berterima kasih dengan langkah kerajaan menurunkan harga minyak buat kali ke dua dalam bulan ini. Ini adalah bukti janji yang telah kerajaan BN laksanakan. Tapi adakah harga barang juga akan turun juga?

Para peniaga dan pemborong tidak perlu mencari alasan lagi, kalau minyak naik cepat2 je harga barang naik tapi bila harga minyak turun banyak jer alasan-alasan akan timbul.

Jangan kita(para Peniaga) menganiayai orang ramai.kalau dah boleh turun-turunkan la. Goblok puji langkah yang telah diambil oleh pasaraya besar seperti Giant, Tesco dan Carrefour yang telah menurunkan harga barang dengan menyeluruh..


Sekadar berkongsi dengan anda....Khas untuk mereka yang tidak berterima kasih...sila baca artikel di bawah..


fikir-fikirkan ..

Kenapa tidak berterima kasih apabila harga petrol, diesel diturunkan?

Oleh Azman Anuar

Bagaikan satu rahmat apabila perkembangan harga minyak dunia yang turun secara mendadak sejak akhir-akhir ini, membolehkan kerajaan menurunkan lagi harga runcit petrol dan diesel.

Kita pasti ingat pada 5 Jun lalu - ungkapan "harga petrol naik lagi" diluahkan dengan emosi marah. Tetapi kenapa situasi hari ini, kita tidak menyambut pengumuman penurunan harga petrol dengan ungkapan "harga petrol turun lagi" bersama nada gembira?

Semua orang tahu, ini kali keempat kerajaan menurunkan harga runcit petrol dan diesel. Daripada kenaikan sebanyak 78 sen empat bulan lalu, kini harga runcit petrol misalnya sudah diturunkan sebanyak 55 sen menjadi RM2.15 manakala harga diesel dikurangkan kepada RM2.05 sekarang.

Sambutan dingin dan kurang memberangsangkan ini ada sebabnya. Hakikatnya masyarakat pengguna masih menunggu para peniaga menurunkan harga jualan ke paras yang munasabah atau kembali ke harga asal ketika harga petrol RM1.92 seliter .

Ketika harga minyak meningkat pada 5 Jun lalu, harga bagi hampir semua barangan naik antara 15 peratus dan 30 peratus. Kos operasi turut naik antara 30 dan 40 peratus.

Daripada barang makanan hingga kepada tambang pengangkutan, semuanya mengalami kenaikan harga atas alasan harga petrol dan diesel telah naik. Peniaga naikkan harga secepat kilat.

Tetapi kini, setelah harga petrol dan diesel diturunkan oleh kerajaan sejak lebih dua bulan lalu, terlalu banyak peniaga yang masih enggan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan kepada pengguna.

Penurunan harga bahan api mungkin tidak disenangi oleh golongan peniaga. Mereka akan beri seribu satu alasan. Tetapi sikap tamak dan tidak bertimbang rasa kepada pengguna mungkin sukar dinafikan jika peniaga terlalu mengira dari sudut untung rugi.

Apa yang pelik, kita langsung tidak mendengar ada peniaga yang menyokong Perdana Menteri ketika pengumuman kenaikan harga minyak dahulu. Begitu juga ucapan terima kasih, tidak pun dinyatakan ketika penurunan harga bahan api diumumkan.

Sikap degil dan tidak sensitif terhadap tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat cukup 'meletihkan' kita.

Sepatutnya kerajaan dan pengguna tidak perlu merayu kepada para peniaga. Mereka sendiri sepatutnya sedar dan mempunyai tanggungjawab sosial dengan menurunkan harga barang secara sukarela tanpa perlu menerima desakan daripada kerajaan dan orang ramai.

Oleh kerana kerajaan telah empat kali menurunkan harga bahan api, langkah itu diharap mampu mempengaruhi penurunan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Logiknya memang patut pun demikian.

Jika sebelum ini semua perniagaan yang berteraskan petroleum menaikkan harga barangan dan caj perkhidmatan mereka, maka sudah kena masanya sekarang, ia harus diteliti semula.

Bagaimanapun, penurunan harga minyak yang diumumkan kerajaan hari ini tidak memberi sebarang manfaat kepada pengguna jika harga barangan keperluan masih melambung tinggi.

Kepada pengguna, kita usah mengikut perangai peniaga yang tidak tahu berterima kasih.

Sebagai pengguna, memang ramai yang marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan menaikkan harga petroleum dahulu.

Tetapi sebagai rakyat negara ini, kita amat berterima kasih dengan penurunan harga tersebut yang sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit perbelanjaan harian.

Pengurangan harga minyak ini, membolehkan kita merancang semula perbelanjaan harian. Pasti ramai yang melahirkan rasa lega dengan penurunan ini. Malah ramai yang berharap kerajaan akan mengkaji kadar harga baru itu dari semasa ke semasa bagi kepentingan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah.

Walaupun akan ada segelintir rakyat menyuarakan pandangan bahawa penurunan ini terlalu kecil dan gagal menangani masalah inflasi, khususnya dalam menurunkan harga barangan, tetapi ia suatu langkah yang wajar diambil daripada tiada tindakan langsung.

Kalau mengikut firasat pakar ekonomi, ketika harga minyak mentah global turun secara mendadak sejak akhir-akhir ini maka harga petrol sebaik-baiknya dikembalikan ke harga asalnya iaitu RM1.92 seliter bagi merangsangkan ekonomi negara.

Malah, lebih daripada itu, kita mengharapkan ekonomi kita akan berdaya saing dan pulih segera, walaupun kini berdepan dengan krisis kewangan global.


(Utusan Malaysia 1 Nov 2008)