Friday, November 21, 2008

Iron Lady Malaysia akan mempertahankan jawatan



Akhirnya akan wujud pertarungan besar diantara giant lady UMNO. Harapan goblok jangan UMNO hancur sudah. sama-sama kita nantikan .....




Rafidah Tetap Pertahan Jawatan

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Rafidah, 65, berkata beliau menghargai dan menghormati pencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.

"Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu," katanya dalam kenyataan setebal 11 muka surat.

Semalam, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.

Keputusan itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa Wanita Umno pada Jun 2009 yang diumumkan Rafidah Ogos lepas.

Dalam kenyataan itu, Rafidah turut melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan kuasa telah dipertikai dan ditolak selepas tiga bulan beliau mengumumkannya.

"Semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam exco, atau di luar, yang telah mempertikaikannya.

"Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan:

a) bahawa beliau tidak akan bertanding Jawatan Ketua walaupun dicalonkan

b) beliau patuh kepada pelan peralihan

c) beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti

d) bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikota" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media)," kata beliau.

Rafidah berkata beliau tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai.

Beliau berkata sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dalam mana-mana perbincangan, sekiranya terdapat pihak yang tidak bersetuju atau membantah pelan peralihan yang dianjurkannya, perkara itu wajar dibangkitkan.

Rafidah berkata sekiranya perkara itu dilakukan sebelum proses pencalonan, maka Exco Wanita Umno pasti akan membatalkan pelan peralihan tersebut.

"Dan, saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua," katanya.

Bagaimanapun, katanya, "bantahan" cuma ditimbulkan selepas mereka mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding.

"Maka barulah pihak-pihak yang berkenaan membantah dengan pelbagai alasan yang tidak berasas," katanya.

Mengenai cadangan supaya pelan peralihan itu dipercepatkan dari Jun ke Mac, Rafidah berkata itu tidak lojik.

Beliau berkata jika dibuat pada bulan Mac, bererti tiada lagi "pelan peralihan", yang pada asasnya melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan.

"Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangkamasa itu ialah antara bulan Januari hingga Jun 2009 kerana Perhimpunan Agung dijadualkan pada Disember 2008.

"Ia telah diganjak kepada Mac, tetapi pelan peralihan kuasa tidak terjejas," katanya.

Rafidah juga berkata sekiranya pelan peralihan itu "dipercepat" kepada Mac, ia juga bererti beliau menyerahkan jawatan "secara bulat-bulat" kepada Shahrizat, yang akan menang tanpa bertanding.

"Ini menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang telah mencalonkan saya untuk pegang jawatan hingga Jun 2009," katanya.

Rafidah telah menerajui Wanita Umno sejak 1984, melainkan untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Beliau yang memenangi semula jawatan itu daripada Siti Zaharah pada pemilihan 2000, buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lepas.

Mesyuarat Exco Wanita Umno minggu lepas mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.

"Sekarang kerana pelan peralihan telah diingkari dan jawatan Ketua (Wanita) akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan jawatan yang disandang sekarang," katanya.

Rafidah menyarankan agar semua pertandingan jawatan dalam Pergerakan Wanita Umno dijalankan dengan tertib, beradab, ikhlas tanpa menjejaskan sesiapa atau parti.

"Jangan sekali-kali mengada-adakan dan menabur fitnah dan pembohongan, atau membawa pecah-belah," katanya.

-- BERNAMA

No comments: