Wednesday, February 18, 2009

Nizar vs Zamry...

Saman Nizar: Mahkamah Tetapkan Isnin Untuk Sebutan


KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan Isnin ini bagi sebutan mengenai tiga isu yang dibangkitkan pada hari pertama prosiding undang-undang yang difailkan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Mohammad Nizar memohon semakan kehakiman untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan bagi injunksi untuk menghalang Zambry menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Besar Perak.

Tiga isu itu ialah sama ada Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof patut menarik diri daripada mendengar saman itu, mengenai sama ada kes itu patut dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan daripada segi persoalan undang-undang dan mengenai kedudukan Penasihat Undang-undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid untuk mewakili Zambry dalam saman itu.

Mohamad Ariff menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan See Mee Chun memaklumkan mahkamah yang beliau perlu mendapatkan arahan mengenai pendirian Pejabat Peguam Negara mengenai tiga isu itu.

Prosiding hari ini bermula dengan peguam utama Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah, memohon untuk melucutkan kelayakan Ahmad Kamal daripada mewakili Zambry atas alasan akan wujud konflik kepentingan kerana isu utama dalam saman itu ialah parti mana yang berhak mentadbir kerajaan negeri.

Beliau berkata Zambry sepatutnya melantik peguam bela sendiri untuk mewakilinya kerana beliau dinamakan sebagai responden dalam saman itu atas kapasiti peribadinya dan bukan saman terhadap kerajaan negeri.

Ahmad Kamal menjawab permohonan itu masih terlalu awal kerana beliau masih belum menerima permohonan rasmi daripada plaintif berhubung perkara itu.

"Saya akan buat pendirian selepas menerima dan meneliti afidavit sokongan," katanya.

Kemudiannya Mohamad Ariff mendedahkan sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, beliau pernah berkhidmat sebagai peguam bela dan penasihat undang-undang bagi PAS dalam beberapa kes petisyen pilihan raya, Parti Keadilan Rakyat bagi beberapa perkara dan pernah mewakili Barisan Nasional dalam petisyen pilihan raya di Sarawak.

Beliau kemudian menawarkan untuk menarik diri daripada mendengar kes itu. "Amat penting bagi keadilan untuk dilihat dan dilaksanakan. Saya dimaklumkan yang penulis blog juga amat aktif. Sudah tentu mereka ada hak mereka," katanya.

Berhubung perkara itu, Sulaiman berkata Persuruhjaya Kehakiman itu patut terus mendengar saman itu kerana menurutnya tidak mungkin Mohamad Ariff akan berat sebelah dalam menjalankan tugasnya sebagai peguam cara dan peguam bela semasa beliau mewakili parti-parti politik berkenaan.

Dalam kes pihak berkuasa undang-undang, bahaya untuk berat sebelah hanya wujud jika Mohamad Ariff terlibat atau mempunyai hubungan secara peribadi dengan pihak-pihak berkenaan, katanya.

Ahmad Kamal, sementara itu, mengusulkan untuk memohon bagi Mohamad Ariff menarik diri tetapi pesuruhjaya kehakiman itu berkata beliau akan memberikan keputusannya mengenai perkara itu selepas mendengar pendirian Pejabat Peguam Negara.

Mohamad Ariff turut membangkitkan perkara lain -- sama ada untuk merujuk kes itu terus kepada Mahkamah Persekutuan berhubung persoalan undang-undang bagi penentuan tafsiran Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Sulaiman berkata beliau sedang menimbangkan pendekatan itu secara serius manakala See memohon diberikan masa untuk mendapatkan arahan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Ahmad Kamal berkata Zambry telah mengarahkan beliau untuk mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Ipoh. Alasan diberikan ialah Mohammad Nizar dan Zambry tinggal di Ipoh, saman itu melibatkan kerajaan negeri Perak dan rakyat Perak dan faktor kedekatan mahkamah.

Sulaiman berkata hujahan bahawa Mohammad Nizar patut memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Ipoh adalah merupakan salah anggapan. Kes ini bagi semakan kehakiman dan prosidingnya perlu didengar oleh mahkamah khas, katanya.

Katanya hujahan Ahmad Kamal yang ia patut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh berdasarkan fakta yang ia melibatkan kerajaan negeri Perak dan rakyat Perak menunjukkan Ahmad Kamal patut dilucutkan kelayakan kerana semua sentimen parti dapat dilihat di situ.

"Kami tidak memilih hakim. Kami memfailkannya di Mahkamah Kuasa Khas dan Rayuan kerana ia membabitkan semakan kehakiman," katanya.

Dalam mahkamah hari ini, Mohammad Nizar diwakili lapan peguam dan Zambry diwakili Ahmad Kamal manakala See mewakili Pejabat Peguam Negara dan Datuk Mohd Hafarizam Harun sebagai peguam pemerhati bagi Umno.

-- BERNAMA

No comments: