Wednesday, June 10, 2009

Hubungan UMNO-Pas: Satu cahaya di hujung terowong

Pelbagai rintangan dan ranjau terdapat dalam terowong yang gelap itu. Salah satu ialah pilihan raya kecil Manik Urai yang akan berlangsung bulan depan ekoran kematian wakil rakyat Pas bagi kawasan tersebut. Jika BN bertanding dan pastilah calonnya dari UMNO, maka akan berlakulah kempen yang panas lagi mencederakan. Takut-takut kalau kempen yang panas itu akan meruntuhkan terowong sedangkan cahaya yang dituju masih jauh di hujung perjalanan.



BASIR AHMAD
8 JUN 2008

Ada beberapa perkembangan yang penulis anggap sebagai positif daripada Muktamar Pas yang baru berakhir.

Pertama, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang selama ini dikenali sebagai seorang yang sangat keras pendiriannya terhadap UMNO, dalam ucapan penangguhannya menegaskan bahawa Islam menyuruh umatnya mencari dan menegakkan perdamaian. Lantaran itu beliau mahu meneruskan usaha berunding dengan UMNO bagi mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan.

Usaha ini bukannya mudah kerana idea berkenaan bukan sahaja dicurigai oleh komponen-komponen Barisan Nasional yang UMNO ketuai, malah ia juga mendapat tentangan daripada kalangan dalaman Pas. Sudah tentu lebih dicurigai oleh rakan-rakan Pas dalam pakatan pembangkang. Namun idea tersebut telah disambut baik oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dengan sikap keterbukaan walaupun beliau sendiri belum faham apa yang Hadi maksudkan.

Cuma kita belum mendengar reaksi Saudara Anwar Ibrahim.

Barangkali Anwar jsedang menilai apakah sikap sebenar Pas. Beliau juga sedang memikirkan apakah percaturan selanjutnya setelah orang harapannya dalam Pas, Datuk Husam Musa tewas dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Pas. Yang menang ialah Nasharuddin Mat Isa, seorang penyokong kuat idea kerajaan perpaduan.

Kedua, Pas sudah menyedari bahawa peranannya dalam pakatan pembangkang sekarang sepatutnya lebih besar dan dominan. Bukan sekadar pemberi ruang kepada Anwar untuk berkuasa. Sepatutnya Pas yang dominan kerana Pas mewakili suara Melayu dan Islam yang merupakan majoriti. Anwar, walaupun seorang Melayu, kini lebih lantang sebagai suara bukan Melayu.

Pas telah sedar bahawa `pakatan Anwar' adalah punca kepada dilema Melayu sekarang. Dalam mencari ruang untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar telah menjanjikan bulan dan bintang kepada bukan Melayu, termasuk menolak Dasar Ekonomi Baru yang menjamin kuota 30 peratus dalam kek ekonomi negara untuk bumiputera.

Malah keghairahan bukan Melayu untuk mengungkit dan membahaskan kedudukan Islam (termasuk penggunaan perkataan Allah) juga didorong oleh suasana keruh yang dicetuskan oleh Saudara Anwar.

Ketiga, Dewan Pemuda Pas mengemukakan usul mendesak kerajaan mengekalkan kuota 30 peratus bagi memperkasa mekanisme kawalan modal untuk memastikan ekonomi Malaysia tidak dijajah oleh kuasa asing.

Usul Pemuda Pas ini secara automatik menempelak Saudara Anwar yang mahu menghumbankan Dasar Ekonomi Baru ke laut dalam. Ini membayangkan bahawa barisan pelapis Pas menyedari bahaya gagasan politik Anwar yang telah menggoncang hak majoriti di negara ini.

Agak menarik apabila Nasrudin Hassan Tantawi, pemimpin baru Pemuda Pas, sudi diinterviu oleh Mingguan Malaysia. Bukan mudah untuk mana-mana pemimpin Pas mempercayai sebuah akhbar milik UMNO.

Malah Nasrudin yang berpendidikan agama dan bergelar ustaz, telah menunjukkan sikap keterbukaannya dengan menyatakan dalam interviu tersebut bahawa beliau bersetuju Pas berunding dengan UMNO.

Keempat, Utusan sebagai akhbar yang dimiliki oleh UMNO telah memberikan ruang liputan khusus kepada Muktamar Pas. Walaupun liputan yang diberikan kepada Perhimpunan Agung UMNO lebih hebat dan menyeluruh, dua muka khusus yang Utusan berikan kepada Muktamar Pas sudah cukup untuk melambangkan satu keterbukaan baru.

Tidak diketahui sama ada pendekatan ini direstui oleh UMNO, tetapi ia pasti melorong kepada suasana yang lebih sihat untuk rundingan antara UMNO dan Pas.

Berdasarkan senario di atas, bolehkah kita andaikan adanya satu cahaya di hujung sebuah terowong yang gelap. Tapi perjalanan untuk mendekati cahaya itu masih jauh.

Pelbagai rintangan dan ranjau terdapat dalam terowong yang gelap itu. Salah satu ialah pilihan raya kecil Manik Urai yang akan berlangsung bulan depan ekoran kematian wakil rakyat Pas bagi kawasan tersebut.

Jika BN bertanding dan pastilah calonnya dari UMNO, maka akan berlakulah kempen yang panas lagi mencederakan. Takut-takut kalau kempen yang panas itu akan meruntuhkan terowong sedangkan cahaya yang dituju masih jauh di hujung perjalanan. - malaysiaaktif.com

No comments: