Wednesday, July 15, 2009

SEMANGAT JUANG TINGGI, MANEK-MANEK HAMPIR TERURAI

KEPUTUSAN PRK Manek Urai boleh memberikan kita beberapa kesimpulan awal. Meskipun PAS berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU Ke-12 lalu, jelas pengaruhnya semakin merosot. Manek Urai tidak boleh lagi dianggap sebagai kubu kuat PAS, kerana kedudukan sokongan antara kedua parti hampir sama .



Perbezaan undi ialah 65, jauh lebih kecil daripada jumlah undi rosak. Jumlah undi rosak juga berkurangan berbanding dengan keputusan PRU ke-12. Ini menunjukkan semakin berkurangnya pengundi yang melakukan kesilapan ataupun sesetengah pihak menganggapnya sebagai undi protes.

Calon BN memperoleh 5238 undi manakala calon PAS 5348 dan yang lebih menarik ialah peratus keluar mengundi lebih besar, iaitu 87.33 peratus. Jangkaan awal ialah sekitar 84 hingga 85 peratus. Jumlah peratusan yang tinggi itu mungkin memberikan kelebihan kepada BN walaupun sehari sebelumnya ada yang menjangkakan BN akan tewas dengan 500 undi.

Seorang yang pernah bergelumang dengan pilihan raya, meramalkan PAS akan menambahkan majoriti yang pernah dimenangi dalam PRU ke-12. Pertambahannya adalah di sekitar 5 peratus, atau secara jelas menang dengan majoriti sekitar 1500 undi. Nampaknya pendapat itu juga meleset.

Sesetengahnya meramalkan bahawa faktor calon merupakan impuls yang paling dominan dalam kemenangan pertandingan. Ini menjadi kenyataan apabila calon yang dikenali ramai, mesra dan boleh diterima umum meperolehi jumlah yang hampir seimbang.

Maka bolehlah dibuat kesimpulan, tahap pendidikan bukanlah faktor yang dominan dalam menentukan kemenangan jika kedua-dua calon yang berlawanan menghadapi persekitaran pengundi yang dikenalinya.Personaliti dan penglibatannya dalam masyarakat setempat menjadi kayu ukur yang penting.

Kepercayaan tradisi mengenai pengaruh personal Tok Guru nampaknya semakin tidak relevan kerana semakin lama berada di tampuk kepimpinan pengundi mula menilai pencapaiannya. Pengundi akan membuat perbandingan, apakah yang telah dilaksanakan sepanjang berada dalam tampuk kekuasaan atau hanya sekadar melakarkan wajah sedih sambil berdoa mampu menyelesaikan masalah.

Islam tidak meminta orang menangis dan terus menerus menyerahkan nasib kepada takdir walaupun hidup dan mati itu seluruhnya diserahkan kepada Allah SWT. Allah SWT tetap mencabar manusia supaya mengubah corak kehidupannya kerana ia akan mempengaruhi kedudukan kita di akhirat nanti.

Jika hanya dengan menangis dan berdoa, tetapi tidak berusaha ia bukanlah manusia yang sihat dan waras akalnya. Wajah demikian ialah mereka yang terlalu mengharapkan pertolongan orang lain, atau menantikan rezeki datang bergolek. Berusaha dan berfikiran terbuka tidak pula bermakna melupakan kebesaran Allah SWT dan memohon pertolongan dari-Nya.

Budaya Melayu kalau orang lelaki dewasa menangis apa maknanya? Berdasarkan teori komunikasi semiotik, seorang lelaki yang sentiasa menangis mengenangkan nasibnya dianggap sebagai seorang yang "bukan lelaki sebenarnya." Mungkin kita masih mengingati watak P.Ramle, kerana terkenangkan Sabariah menangis siang dan malam sehingga melupakan kehidupan yang seharusnya diteruskan.

Lelaki tidak diajar untuk menangis, walaupun adakalanya kita terpaksa bersedih apabila kehilangan sesuatu atau seseorang yang kita sayangi. Kalau menangis menyesali perbuatan silam yang dianggap salah dan melampaui batas, dan menadah tangan memohon keampunan Allah SWT dalam keadaan bertaubat, ia adalah satu perbuatan yang paling mulia.(Lihat, Drs. Alex Sobur, Semiotika Komunikasi,Bandung: Rosdakarya, 2003; A. Muis, Komunikasi Islami, Bandung: Rosdakarya, 2001 dan M. Quraish Shihab, Menabur Pesan Illahi:AlQur'an dan Dinamika Kehidupan Masyarakat, Jakarta:Lantera Hati,2006).

Idealisma kempen politik sepanjang PRK Manek Urai tidak banyak menengahkan isu-isu besar. Ia banyak berkisar sekitar isu setempat walaupun pada mulanya banyak pihak menjangkakan isu royalti minyak mampu menyesakkan jentera kempen BN, tetapi keputusannya ia tidak begitu banyak mempengaruhi. Isu agama menjadi lebih dominan di kalangan pengundi tegar PAS sahaja, manakala pengundi muda dan atas pagar lebih melihat kepada apa yang mereka akan dapat selepas PRK nanti.

Masyarakat Islam mungkin sudah lali dengan fatwa "mengundi PAS masuk syurga" kerana isu itu sudah didendangkan sejak lebih 40 tahun, sejak tahun 1964 lagi. Mungkin sudah ada yang berfikir, benarkah "mengundi PAS masuk syurga", kalau benar apa buktinya? Dapatkah Tok Guru memberikan jaminan dengan jelas dan bukannya berdasarkan syllogism atau retorik semata-mata.

Dari jauh, rakan saya yang pernah menjadi penyokong tegar PAS semasa kami sama-sama bersekolah dan curi-curi mendengar kuliah subuh di pondok Tok Kenali dalam tahun 1970-an berkata sinis: Berapa ramai penyokong PAS yang telah pun meninggal dunia memberikan petunjuk sudah dimasukkan syurga?

Saya tidak berani menjawab. Saya tidak mempunyai bukti. Tetapi yang dapat saya jelaskan bahawa syurga itu merupakan taman yang indah sekali, yang dipenuhi oleh tumbuh-tumbuhan, tetapi ianya mungkin selepas apa yang kita lakukan sepanjang kehidupan telah dihisab. Apakah kebaikan yang telah kita lakukan dalam kehidupan di dunia, kalau hanya asyik memaki hamun, mencerca, mendustai orang lain, menghasut tidak akan begitu mudah akan dimasukkan ke dalam syurga, walaupun beribadat sepanjang malam dan setiap waktu.

Setiap muslim perlu mengimbangkan antara tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah. Dengan hanya berusaha memperbaiki amalan fardhu ain tetapi meninggalkan fardhu kifayah, ia dianggap turut berbuat dosa. Begitu juga di sebaliknya. Ia perlu ada perimbangan, kerana Islam itu ditegakkan melalui hubungan dengan Allah SWT sebagai kuasa yang Mahabesar dan Pencipta alam semesta,hablum minallah; hubungan sesama manusia atau makhluk, hablum minnas.

Tak apa le, kekalahan calon BN sekurang-kurang berjaya menepis kekeramatan Tok Guru yang tidak boleh disentuh walaupun seringkali melakukan kesilapan. Tok Guru telah menunjukkan belang sebenar di Manek Urai, dan semakin ramai mengenalinya sebagai "orang tua yang terlalu sensitif", dan akan terus ingin mengekalkan kuasa selagi kudrat masih ada.

Mungkinkah suatu hari nanti ada yang akan mencabar dan meminta: Tok Guru bersaralah, berilah laluan ke ambo pulak. Biarlah ambo hadapi realiti politik baru kali ini. Tok Guru duduklah diam-diam, pencen pun dah ada. ...............bolehkah?

Kalau Tok Guru masih sihat dan panjang umur, Tok Guru akan dapat tengok nanti. Dengan kekuatan jentera BN, tersusun dan kemas, penyatuan azam dan kekentalan semangat,BN mampu menguraikan manek-manek di Manek Urai nanti.

Masa tu jangan pula Tok Guru membuat tuduhan, BN menggunakan taktik kotor, kerana Tok Guru sendiri telah membenarkan perayu undi muslimat memberikan wang saku, gula, susu dan sebagainya untuk habuan semasa mengunjungi rumah-rumah pengundi. Kalau tidak ada tujuan, tentunya tidak dilakukan itu dengan ikhlas, ya tak Tok Guru?

http://www.selamba-u.blogspot.com/

No comments: