Wednesday, January 20, 2010

Perisian Budaya dan Pembangunan Tamadun Manusia

Saranan Menteri Wajar diambil perhatian oleh syarikat-syarikat telekomunikasi agar memperbanyakkan kandungan perkhidmatan yang menekankan aspek budaya dan pembangunan tamadun manusia dalam usaha menjana minda rakyat

Telco perlu utamakan perisian budaya dan pembangunan tamadun manusia, kata Rais.

Bernama
19 Jan 2010


KUALA LUMPUR, -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyarankan agar syarikat-syarikat telekomunikasi memperbanyakkan kandungan perkhidmatan yang menekankan aspek budaya dan pembangunan tamadun manusia dalam usaha menjana minda rakyat.

Rais berkata di samping mengaut keuntungan, aspek-aspek itu perlu ditekankan lebih-lebih lagi dalam era komunikasi yang begitu canggih dan menjangkau sempadan dan perbatasan negara serta kaum di seluruh dunia.

"Aplikasi baru seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), Blackberry, Yahoo Messenger, Twitter, ICQ, Skype dan sebagainya telah menjadikan komunikasi antara manusia begitu mudah dan ini menjana kepada pembangunan tamadun manusia serta merubah landskap komunikasi sejagat yang dahulunya sangat bergantung kepada telefon, teleks, fax dan perkhidmatan pos," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan oleh timbalannya Datuk Joseph Salang pada majlis penutupan dan penganugerahan hadiah program pertandingan 'Mobile Content Challenge 2009' di sini Selasa.

Menurut beliau dengan mudahnya komunikasi, ada aspek kebudayaan yang mungkin tercabar umpamanya, aspek bahasa.

Katanya, penggunaan ejaan ringkas dalam SMS boleh menjejaskan kemurnian Bahasa Melayu di samping mencabar aspek etika perhubungan itu sendiri.

"Terdapat pengguna yang menggunakan SMS, MMS, laman sembang, Facebook dan Twitter untuk menyebarkan berita-berita angin dan dengan pantas menyebarkan kebencian antara manusia," katanya.

Beliau berkata penyalahgunaan aplikasi komunikasi seperti ini perlu ditangani bersama dengan meningkatkan kesedaran awam terhadap etika dan adab-adab penggunaan komunikasi canggih di zaman moden ini.

Sementara itu, beliau berkata 'Mobile Content Challenge' adalah satu model program pembangunan kandungan mudah alih yang sangat baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

Pasukan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul juara keseluruhan dengan hasil ciptaan mereka dikenali sebagai 'Flyer: On-The-Fly Flash Composer And Community' yang menerima hadiah wang tunai RM60,000.

Bagi kategori Mobile Entertainment dimenangi oleh kumpulan Genex dari Universiti Putra Malaysia (UPM), kumpulan Vicegerent dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pula memenangi kategori Mobile Info Base dengan masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM10,000.

Pasukan Qlip.in dari UPM pula menerima hadiah khas atas produk mereka yang bertemakan pembangunan masyarakat 1Malaysia.

-- BERNAMA

No comments: