Tuesday, September 11, 2012

Pas Cuba elak daripada terus berpecah

Muhd Irfan

KUALA LUMPUR (Malaysiaaktif) -- Tindakan Majlis Syura Ulama Pas mengekalkan kedudukan Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap bekas Timbalan Presiden Pas itu jelas menunjukkan Pas kini sebenarnya tersepit untuk menjaga kepentingan penyokong yang lebih besar di peringkat akar umbi berbanding untuk menjaga hati rakan-rakan dalam Pakatan walaupun menyedari tindakan itu akan memberi implikasi terhadap persekongkolan mereka dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

 Untuk menutup segala kelemahan dan mengelakkan parti itu daripada terus berpecah belah, Pas cuba mengalihkan perhatian apabila mendakwa keputusan Majlis Syura Ulama itu pastinya akan mengecewakan musuh-musuh politik Pas yang sememangnya mahu melihat parti itu bertindak ke atas Ustaz Nasha seperti mana yang pernah mereka buat ke atas Datuk Dr Hassan Ali sebelum ini. Sebenarnya tindakan Pas untuk tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Ustaz Nasha banyak dipengaruhi oleh kesilapan mereka memecat keahlian Dr Hassan Ali sebelum ini yang memberi impak cukup besar kepada Pas terutama setelah Dr Hassan Ali membongkar perjalanan parti itu yang kini sudah jauh menyimpang daripada tujuan asalnya.

 Kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menganggap kebijaksanaan Majlis Syura Ulama menguruskan perangkap yang dipasang oleh musuh - merujuk kepada keputusan majlis itu mengekalkan kedudukan Ustaz Nasha, hanya lah helah politik Pas. Dalam kes membabitkan Ustaz Nasha, Pas sebenarnya berdepan dengan tekanan daripada dalaman terutama di kalangan golongan pemimpin ulamak dan peringkat akar umbi yang masih menganggap kehadiran dan pengaruh Ustaz Nasha masih diperlukan oleh Pas. Memecat Ustaz Nasha hanya akan membawa lebih banyak musibah kepada Pas. Ini lah sebenarnya yang cuba dielakkan oleh Pas lebih-lebih lagi ketika mereka bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum bila-bila masa dari sekarang.

 Tidak perlulah Tuan Ibrahim Tuan Man atau mana-mana pemimpin Pas menyalahkan musuh-musuh politik Pas kerana musuh sebenar Pas adalah daripada pihak dalam parti itu sendiri yang kini berpecah kepada dua iaitu satu golongan yang masih berpegang kepada tradisi kepimpinan ulama Pas dan segolongan lagi yang condong kepada aspirasi yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam parti itu. Tindakan Majlis Syura Ulama Pas mengekalkan kedudukan Ustaz Nasha merupakan satu kemenangan kepada barisan kepimpinan ulama dan penyokong mereka yang masih yakin dan percaya bahawa Pas tidak boleh lari atau tergelincir sama sekali dengan prinsip asas yang menjadi perjuangan mereka selama ini.

 Soal sama ada tindakan Majlis Syura Ulama itu disenangi atau tidak oleh golongan parasit dalam Pas atau DAP dan PKR, Pas perlu berpegang teguh pada prinsip dan meletakkan keutamaan parti dan kehendak majoriti penyokong –penyokongnya. Apa yang lebih penting, Pas perlu dilihat lebih demokratik dan terbuka untuk menerima segala teguran untuk kebaikan masa depan parti sekali pun teguran dan kritikan yang dilemparkan oleh ahli-ahlinya amat pahit untuk ditelan. Tindakan Pas dalam menangani isu membabitkan Ustaz Nasha itu bakal menjadi titik tolak kepada perjuangan Pas.

 Jika apa yang diluahkan oleh Ustaz Nasha itu tidak dianggap sebagai satu kesalahan, tidak mustahil akan muncul lebih ramai lagi tokoh dan pemimpin Pas untuk menggesa kepimpinan parti itu untuk mengkaji semula kerjasama Pas dengan DAP dan PKR yang dilihat tidak banyak menguntungkan parti itu untuk jangka masa panjang. Ini kerana kerjasama yang dibentuk oleh PAS bersama DAP dan PKR bukan sahaja menjatuhkan martabat PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tetapi juga menolak jauh parti itu yang kini dibayangi oleh DAP dan PKR.

Ramai di kalangan penyokong Pas menyedari perkara itu tetapi mereka tidak berani untuk bersuara seperti mana Ustaz Nasha yang dikenali sebagai pemimpin yang cukup teguh dengan prinsip dan perjuangannya.

No comments: