Monday, March 11, 2013

Tindakan Bapa Saiful Mohon Maaf Pada Anwar Ibrahim Cetuskan Persoalan

Mohd Irfan

Pengakuan Azlan Mohd Lazim bahawa anaknya, Saiful Bukhari dipergunakan dalam konspirasi menjatuhkan imej, maruah dan karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat mencetuskan banyak persoalan terutama berhubung niat sebenar Azlan membangkitkan isu tersebut setelah hampir empat tahun kes tersebut selesai dibicarakan. Azlan dalam satu sidang media tertutup di Taman Melati, Gombak, mendakwa anaknya dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu sambil memohon maaf kepada Anwar Ibrahim kerana dakwaan yang dibuat oleh anaknya itu adalah satu konspirasi jahat untuk memenjarakan Anwar buat kali kedua.

 Sementara Saiful dalam kenyataannya telah melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan tindakan bapanya dan menganggap bapanya menjadi mangsa politik Anwar dan sesekali tidak akan berganjak dengan dakwaan beliau selama ini sambil memberi amaran kepada Anwar agar tidak mengheret bapanya dalam masalah yang beliau hadapi.

 Isu itu kembali mendapat tempat di beberapa laman media sosial sehingga menenggelamkan sedikit kejadian pencerobohan tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu. Banyak spekulasi ditimbulkan tentang pengakuan dan tindakan Azlan itu terutama apa sebenarnya yang mendorong beliau sehingga sanggup membelakangkan anak sendiri dan menukar pengakuannya yang selama ini bermati-matian mempertahankan darah dagingnya?




 Malah ada pihak yang menganggap kenyataan Azlan itu bukan lah sesuatu yang memeranjatkan. Presiden Jati Malaysia, Dato Dr Hasan Ali dalam satu kenyataannya menganggap kredebiliti Azlan sendiri boleh dipersoalkan kerana banyak laporan sebelum ini mendakwa Azlan sebagai orang yang banyak masalah. Begitu juga dengan satu laporan yang pernah disiarkan di laman blog chegubard.blogspot yang turut menyiarkan dengan panjang lebar siapa sebenarnya Azlan.

Laporan yang disiarkan pada 9 Mei 2010 itu yang dipetik daripada email seorang pembaca yang mahu dikenali sebagai Dr.Hiadayah Jr. menceritakan tentang secara panjang lebar siapa sebenarnya Azlan Mohd Lazim. Artikel itu ditulis untuk menceritakan keburukkan Azlan dengan tujuan untuk menjejaskan kredebiliti beliau yang ketika itu tampil mempertahankan Saiful dalam dakwaan kes liwat membabitkan Anwar Ibrahim. Pautan laporan itu boleh dilihat seperti berikut; http://chegubard.blogspot.com/2010/05/bapa-saiful-kaki-judi-pernah-cuba.html

 Jika laporan yang pernah disiarkan di blog chegubard wujud kebenarannya, tindakan Azlan yang membuat pusingan U untuk tidak mempertahankan darah dagingnya atas alasan ia berupa fitnah dan berniat jahat dan merupakan perancangan rapi musuh-musuh politik Anwar Ibrahim, ia pasti menimbulkan banyak tanda tanya.

 Soalnya, kenapa baru sekarang beliau sedar dan tidak mahu bersekongkol sedangkan pada awalnya beliau begitu beria-ia mempertahankan anaknya dan merestui Saiful untuk melakukan sumpah laknat untuk mempertahankan dakwaannya?

Friday, March 8, 2013

Tian Chua Perlu Bertanggungjawab Atas Kenyataannya

Mohd Irfan

 Setakat ini sebanyak 766 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Tian Chua namun Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tetap enggan memohon maaf terhadap UMNO atau menarik balik kenyataan beliau yang mengaitkan pencerobohan tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu sebagai sandiwara UMNO sebaliknya mengancam untuk menyaman mereka yang terus menyebarkan berita yang beliau dakwa sebagai palsu.

 Jika Tian Chua menafikan pernah berucap di Puchong dengan menyifatkan pengorbanan anggota keselamatan di Lahad Datu sebagai ‘Komando Mati Katak’ dan menganggap kenyataan itu sebagai fitnah dan pembohongan jahat pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadapnya, bagaimana pula dengan kenyataan beliau yang mengaitkan pencerobohan pengganas di Sabah sebagai sandiwara UMNO?

 Apa yang ingin dipersoalkan oleh rakyat negara ini bukan mengenai kenyataan beliau di Puchong seperti yang dilaporkan oleh media dan mungkin juga kenyataan itu tidak mempunyai bukti kukuh. Tetapi bagaimana pula dengan kenyataan beliau seperti mana yang disiarkan oleh lidah rasmi portal PKR, KeadilanDaily pada 1 Mac lalu.

 Laporan itu menyebut, beliau mendakwa serangan pihak berkuasa ke atas pengganas Sulu di Lahad Datu merupakan konspirasi terancang UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat. Malah pada hari yang sama Naib Presiden PKR itu turut menulis: "Pertempuran tercetus dengan penceroboh Sulu? Ia hanyalah drama Wag the Dog (filem Hollywood) yang berterusan. Ingat (kejadian) Al Maunah di Sauk?" di akaun Twitternya.



 Adalah jelas bahawa kedua-dua kenyataan itu keluar daripada mulut beliau dan bukan laporan palsu berniat untuk mencemarkan imej beliau. Jadi bagaimana beliau menganggap laporan itu sebagai satu fitnah dan menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu sedangkan ia turut dilaporkan oleh portal propembangkang, KeadilanDaily.com. Tian Chua tidak perlu untuk menyalahkan pihak lain atas ketelanjurannya apatah lagi untuk menegakkan benang basah kerana semuanya sudah jelas.

Tidak perlu juga beliau mendakwa bahawa kenyataannya telah disalah tafsir atau disalah faham untuk mempertahankan diri. Tidak ada gunanya untuk terus mempertahankan kenyataan yang sememangnya sudah terbukti sebaliknya beliau perlu memikul tanggungjawab itu dengan membuat permohonan maaf kepada UMNO dan seluruh rakyat Malaysia terutama keluarga anggota keselamatan yang terkorban kerana ia membabitkan isu maruah dan kedaulatan negara.

 Pencerobohan pasukan bersenjata asing di Sabah adalah soal kedaulatan negara dan jika beliau taksub sekali pun dengan perjuangan politik beliau, Tian Chua perlu lebih berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan. Lebih penting adalah untuk menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang terkorban dan pasukan keselamatan keseluruhannya kerana dakwaan beliau itu seakan menunjukkan pasukan keselamatan negara ini mudah untuk dipergunakan untuk tujuan dan kepentingan politik.

 Selagi beliau tidak memohon maaf dan mengakui ketelanjurannya, selagi itu lah kemarahan rakyat Malaysia tidak akan dapat diredakan. Kemarahan rakyat terhadap beliau jelas dapat dilihat menerusi laporan polis yang dibuat hampir setiap hari terhadap beliau. Sehingga petang semalam, Selangor mencatat bilangan laporan tertinggi iaitu sebanyak 252 laporan diikuti Kedah (122), Terengganu (91) dan Kelantan (59).