Sunday, April 14, 2013

Apakah Rasional Pas Letak Calon Bukan Islam?

Muhd Irfan

 Tindakan Pas meminda perlembagaan parti itu untuk menaik taraf kelab penyokong kepada sayap parti bagi membolehkan ahli bukan Islam bertanding secara langsung di bawah tiket parti itu tidak lebih daripada satu pendekatan untuk membalas sokongan masyarakat bukan Islam tetapi apakah pendekatan itu bertepatan dengan prinsip perjuangan parti itu malah apakah ia juga mendapat restu penyokong akar umbi?

 Pilihan raya kali ini, menyaksikan Pas mencatat sejarah apabila mengumumkan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (PSC), Hu Pang Chow untuk bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam di Johor sekali gus menjadikan beliau sebagai calon bukan beragama Islam pertama yang dibenarkan bertanding secara langsung menggunakan tiket Pas walaupun sebelum ini Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong Pas, Kumutha a/p Raman bertanding tetapi menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hu dijangka berdepan dengan Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong dan tindakan Pas meletakkan Hu di kerusi Parlimen Ayer Hitam bertujuan untuk memecah undi pengundi Cina yang selama ini menyokong MCA, sama seperti mana tindakan pakatan pembangkang meletakkan Lim Kit Siang untuk bertanding di Kawasan Parlimen Gelang Patah.

 Pembangkang merasakan peluang Pas dan Dap untuk mengubah landskap politik Johor lebih cerah berbanding PKR kerana asas kedua-dua parti tersebut lebih meyakinkan dengan menjadikan pengundi Cina dan Melayu sebagai sasaran untuk mengusik undi UMNO dan MCA. Jika dilihat, baik Pas dan DAP, masing-masing berusaha meletakkan calon-calon mereka di kawasan-kawasan yang memungkinkan mereka untuk menang terutama di kerusi majoriti pengundi Melayu dan Cina. Dengan kedudukan PKR di Johor yang agak goyah dan prestasi yang ditunjukkan oleh parti itu pada pilihan raya 2008, PKR dilihat tidak mempunyai peluang untuk memecah undi Melayu dan Cina sebagai mana kekuatan yang dimiliki oleh Pas dan DAP.

 Malah DAP sendiri sudah pasti ingin mempertahankan kerusi Parlimen Bakri dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bentayan, Mengkibol, Senai dan Skudai. Sementara Pas yang sudah mula bertapak di Johor juga berhasrat untuk menambah kerusi setelah berjaya menawan DUN Sungai Abong dan Maharani.

 Jelas dalam pembahagian kerusi di Johor, Pas mendahului sekutu dalam pakatan pembangkang di mana DAP dan PKR sehingga ke hari ini masih belum mengemukakan senarai calon mereka yang akan bertanding di Johor selain, Lim Kit Siang di Gelang Patah dan Chua Jui Meng di Parlimen Segamat. Kali ini Pas mengumumkan akan bertanding di lapan Parlimen dan 30 kerusi DUN di negeri Johor di mana kerusi-kerusi Parlimen tersebut adalah Ayer Hitam, Pagoh, Parit Sulong, Kota Tinggi, Pulai, Simpang Renggam, Tenggara dan Mersing – menjadikan sehingga kini Pas mendapat pengagihan kerusi paling banyak di Johor.

 Namun di sebalik semua itu, tindakan Pas mencalonkan bukan Islam sebagai calon kali ini tetap menimbulkan persoalan dan apakah keputusan itu dapat diterima oleh penyokong Pas terutama jika kita merujuk kepada isu-isu yang membabitkan kepentingan Islam yang dibangkitkan oleh orang bukan Islam yang gagal diselesaikan oleh Pas malah menimbulkan kemarahan penyokong Pas sendiri.

 Apakah sudah tidak ada tokoh di kalangan pemimpin Pas yang lebih layak untuk menggalas tugas dan amanah tersebut? Sebagai sebuah parti yang mengaku berteraskan Islam dan meletakkan kepentingan Islam melebihi segala-galanya, apakah tindakan Pas meminda perlembagaan parti itu sebagai langkah terdesak sehingga sanggup mengorbankan prinsip semata-mata untuk mengejar kuasa dan pengaruh?

No comments: