Thursday, October 30, 2008

Penubuhan Majlis Media Negara bagi melindungi semua pihak dari laporan pihak tidak bertanggungjawab

Goblok tertarik dendan kenyataan Menteri Penerangan tentang tujuan penubuhan Majlis Media Negara yang bertujuan untuk melindungi daripada laporan pihak-pihak yang tidak bertanggung.

harap-harap pihak yang cuba membuat laporan yang tidak sahih itu sedarlah , jangan kita jadikan ruangan siber ini tempat penyebaran maklumat palsu. Sedarlah juga kita sentiasa terikat dengan akta Hasutan, akta ISA dalam proses kita melakukan penyebaran maklumat.

Penubuhan ini diyakini akan memberi impak yang positif, meskipun demikian pasti ada pihak yang cuba mencari alasan-alasan untuk tidak menjayakan usaha murni kerajaan ini

fikir-fikirkan la...


Majlis Media Negara Boleh Lindungi Semua Pihak Daripada Laporan Tidak Bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Majlis Media Negara, yang masih pada peringkat perancangan, akan menjadi pihak ketiga yang neutral bagi mengawal media dan melindungi orang ramai daripada laporan yang berat sebelah dan tidak bertanggungjawab.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata walaupun beliau mengalu-alukan peraturan yang kurang terhadap media, media masih memerlukan badan pentadbir bagi memastikan laporan yang bertanggungjawab dan seperti Majlis Peguam, majlis media itu adalah alat terbaik.

"Sekiranya kita ada Majlis Media Negara sebagaimana yang dikehendaki, sudah tentu orang ramai termasuk kerajaan, termasuk media mendapat keadilan daripada kemungkinan diserang, difitnah dan dilakukan secara tidak adil daripada media.

"Ia mampu memberi panduan untuk media patuhi etika-etika media tersendiri. Sekarang ini orang katakan kalau media kata jangan cakap tentang hal-hal perkauman orang kata itu arahan kerajaan.

"Sekarang biarkan media mengawal diri mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Maklumat Sedunia dan Forum mengenai Trend dan Masa Depan Media Massa Malaysia di Universiti Malaya di sini hari ini.

Ditanya sama ada Majlis Media Negara akan melengkapkan atau menggantikan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Ahmad Shabery berkata beliau bukanlah orang yang sesuai untuk mengulas mengenainya kerana peraturan seperti itu bukan di bawah portfolio beliau.

Katanya walaupun negara dikatakan memiliki kekurangan dalam kebebasan bersuara dan kebebasan media, Malaysia tidak mengamalkan kewartawan 'cheque book' atau 'envelope'.

"Terdapat negara membangun yang akhbarnya bebas tetapi dalam Transparency International, negara tersebut mempunyai korupsi yang tinggi. Media yang sepatutnya 'check' (memeriksa) kerajaan daripada melakukan korupsi, juga mengamalkannya.

"Orang-orang yang ingin popular beri envelop (sampul surat berisi wang) kepada wartawan, editor untuk mendapat tempat lebih dalam akhbar. Dalam konteks ini, kerajaan itu sendiri bertambah korup kerana media itu juga korup," katanya.

Ahmad Shabery berkata di Malaysia, trend itu tidak pernah didengar.

-- BERNAMA

Tuesday, October 28, 2008

Keistimewaan Melayu Kekal

Goblok: untuk pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan dengan isu hak istimewa orang melayu perlu sedar bahawa apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Janganlah kita ambil kesempatan dengan situasi politik semasa ini.
Renungkan jika negara berada dalam keadaan huru hara atau peperangan. minta-minta kita di jauhkan dari bala bencana demikian

Sekadar berkongsi maklumat berita

Keistimewaan Melayu Kekal

B.harian
28 Okt 2008
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

IPOH: Hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera seperti diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan walaupun berlaku perubahan kepemimpinan negara pada Mac depan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa sama, hak kaum lain dan kepentingan bukan Melayu serta kehendak mereka akan tetap terus diberi perhatian oleh kerajaan.

Beliau berkata, pihak lain juga tidak wajar mempersoal peruntukan yang sudah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan negara ini.

“Sehari dua ini disebut mengenai kontrak sosial. Perlembagaan negara, peruntukan 153 dalam Perlembagaan yang menentukan hak istimewa orang Melayu adalah sesuatu yang kita akan pertahankan.

“Begitu juga kita akan pertahankan hak rakan bukan Melayu. Yang mempunyai hak yang patut dan wajib dipertahankan kepentingan mereka serta kehendak mereka. Kita jangan sekali-kali menyalah-gunakan kuasa kita.

“Kita tidak mahu orang mempersoal apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara, sebagai tiang seri kepada negara.

“Dasar kita boleh ubah dan dasar kita boleh rundingkan. Kepentingan kaum kita boleh jaga ... serta masalah setiap kaum kita boleh bela. Tetapi asas tiang seri negara tetap akan dipertahankan. Inilah yang menjadi landasan untuk kita mengorak langkah ke hadapan,” katanya pada majlis Aidilfitri Umno Perak di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Dalam ucapannya, Najib berkata, beliau akan mengekalkan hubungan baik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mengambil alih jawatan Presiden Umno Mac ini.

Katanya, beliau akan meneruskan semua program baik yang dilaksanakan Abdullah dan tidak akan mengubah sebarang pengisian untuk kepentingan nasional.
"Saya akan jaga perasaan sesama kami. Saya akan jaga perasaan Pak Lah kerana saya hendak hubungan saya dengan Pak Lah berterusan.

“Setiap daripada kita tetap boleh mainkan peranan untuk tentukan masa depan kita. Sebab menjelang Mac nanti bukan perubahan kerajaan, cuma perubahan kepemimpinan. Kami masih lagi dalam satu keluarga.

“Dari segi pengisian tidak akan ada yang berubah. Mana yang baik yang dibuat oleh Pak Lah, saya tetap akan teruskan,” katanya.

Najib berkata, program seperti Misi Nasional, Islam Hadhari dan koridor pembangunan akan dikekalkan demi pembangunan jangka panjang negara.

Thursday, October 23, 2008

Pas penghalang Anwar tubuh kerajaan persekutuan

Goblok: betul atau tidak pandangan ini ada semua boleh menilai sendiri. Hanya mahu menaktifkan pemikiran anda semua.

renung-renungkan lah

Pas penghalang Anwar tubuh kerajaan persekutuan

Nasir Sukiman
23 Oktober 2008


SETIAP kali Anwar Ibrahim membuat pengumuman beliau sememangnya sudah ada jumlah wakil rakyat yang mencukupi bagi membentuk sebuah kerajaan pembangkang yang baru menggantikan Barisan Nasional, maka Pas terus menegaskan syarat utamanya -- kerajaan baru itu mestilah bertunjangkan Islam dan majoriti wakil rakyat Islam.

Tidak semena-mena Anwar menjadi kelu. Dia tidak berani mengumumkan nama atau mendedahkan senarai wakil rakyat yang didakwanya sudah ada dalam 'kocek' beliau.

Contoh paling ketara adalah dua amaran keras Pas pada lewat September lalu dan awal Oktober ini.

Sebelum ini Anwar sudah beberapa kali sama ada meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membolehkannya membentangkan undi tidak percaya atau beliau bersedia menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Terbaru Anwar yang mahu menenangkan hati penyokongnya yang semakin gelisah dan tidak lagi mahu mengiringinya ke bangunan Mahkamah Rendah di Jalan Duta, sekonyong-konyong mengumumkan mungkin menjelang Hari Raya Aidiladha ini, hajatnya menubuhkan kerajaan baru itu akan terkabul.

Dengan sasaran 16 September, 2008 sudah berlalu begitu juga 23 September, Anwar tiba-tiba meminta penyokongnya agar usah bimbang kerana satu dua tahun akan datang mungkin mimpinya akan menjadi.

Malang 1,000 kali malang bagi Anwar, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, tidak berganjak daripada pendiriannya bahawa "Pas tidak akan menyertai sesebuah kerajaan baru persekutuan jika majoriti wakil rakyatnya bukan Islam.''

Kata Hadi: "Apabila jumlah wakil rakyat bukan Islam melebihi kerusi wakil rakyat Islam, maka Pas akan membuat keputusan menarik diri daripada kerajaan Pakatan Rakyat."

Ini ditegaskan ketika berucap pada satu majlis ceramah di Dungun, kata akhbar rasmi Pas, Harakah.

Itu adalah syarat pertama, kedua Pas mahu kerajaan yang bakal dibentuk mestilah yang kukuh dan bukan dipenuhi wakil rakyat yang penakut. Hadi Awang lebih mengharapkan wakil rakyat UMNO menyertai Pas bagi membolehkan kekuatan Melayu dibina lantas mengukuhkan lagi kedudukan Islam.

Memandangkan syarat inilah, maka Hadi menegaskan bahawa Pas mahu meneliti senarai wakil rakyat BN di tangan Anwar yang didakwanya mahu menyertai pembangkang.

Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa pula terang-terang menegaskan Pas tidak akan menggadai prinsipnya memperjuangkan Islam.

Ini kerana bagi Pas, Islam itu wujud dalam semua bentuk sama ada ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Sudah tentulah agenda Islam ini berteraskan kepada Al-Quran dan Sunnah.

Kini bukanlah satu rahsia lagi, Anwar mungkin ada 33 wakil rakyat dari BN yang menyatakan kesediaan berpindah kepada Pakatan Rakyat, tetapi gabungan pembangkang dalam sekelip mata akan kehilangan 23 wakil rakyat Pas.

Syarat ketat Pas itu menjadi penghalang hingga membuat Anwar tidak berani membuka mulut lagi. Tergamam dia dibuatnya.
Semua orang kini tahu, wakil rakyat yang melompat itu kelak bersama-sama 31 wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan 28 daripada DAP tidak mencerminkan peratusan atau komposisi pecahan penduduk di negara ini.

Dengan komposisi pembangkang yang berat memihak mewakili sesuatu kaum saja, Anwar mendukung pakatan yang bukan saja tempang malah tidak mampu menyuarakan kehendak rakyat jelata.

Hai Anwar kamu kini hanya mampu memendam rasa saja. Mimpi indah untuk dapat memujuk Tengku Razaleigh Hamzah berputus arang dengan UMNO kekal impian saja nampaknya. Begitu juga Zaid Ibrahim terus bermain sandiwaranya.

Wakil rakyat dari Sabah yang lantang bersuara di Parlimen tidak menunjukkan minat mahu mengekori PKR.

Lantas kini setiap kali kau Anwar membuka mulut mengenai pembentukan kerajaan baru secepat itu jugalah Hadi Awang akan memberi amaran keras berkaitan tuntutannya. Jahit sajalah mulutmu itu Anwar dan buai sajalah mimpimu itu hingga kamu terlena.

UMNO, MCA giat membina semula kekuatan mereka dan sudah tentu akan mengganyang pembangkang yang masih tidak sekata dan berangan-angan kosong. - malaysiaaktif.com

Tuesday, October 21, 2008

Sejauh Mana Batasan Kebebasan Media Siber

Goblok:kebebasan media siber perlu terkawal dalam acuan tersendiri.


Wacana Minda Aktif :Sejauh Mana Batasan Kebebasan Media Siber
(dari www.mindaaktif.blogspot.com)

Minda Aktif hairan bagaimana portal berita Tersohor http://www.malaysiakini.com/ dapat menyiarkan satu berita palsu tentang Timbalan Perdana Menteri (TPM),tiada sekatan atau tapisan tertentu? ada wujudnya komplot untuk menjatuhkan TPM

Menarik juga,kononnya satu blog yang terkenal Rockybru juga meyiarkan gambar (http://rockybru.com.my/2008/10/doctored-pictures-to-doctored.html) TPM yang diubah suai sebagai salah satu artikel. Tidakkah wujud rasa hormat terhadap pemimipin negara dikalangan penulis-penulis ini.

Wajarlah pihak kerajaan meneliti setakat mana kebebasan media siber ini, untuk mengelak huru-hara kata PM .

Berikutan dengan Ini Minda Aktif aka tertarik dengar berita berikut:

Majlis Media Kebangsaan Dibentuk Tidak Lama Lagi

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Sebuah majlis media kebangsaan akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi mengenalpasti kelemahan-kelemahan dalam media, selain mencari jalan bagi menghasilkan pemberitaan tepat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

Beliau berkata idea penubuhan majlis itu telahpun dibawa ke kabinet dan disambut baik.

"Pelbagai aspek perlu dikaji dan satu siri perbincangan sedang berjalan sebelum kita dapat menggubal dasar berkenaan.

"Saya percaya ini adalah platform yang tepat, pada masa yang tepat untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan organisasi media," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium mengenai Dasar Media di Malaysia di sini, Isnin.

Kolokium dua hari itu, anjuran Institut bagi Pembangunan Komunikasi (Aidcom) dan Suruhanjaya Tinggi Kanada bagi membincangkan isu-isu mengenai dasar dan kebebasan media, diikuti oleh 50 peserta.

Syed Hamid berkata penubuhan majlis itu tidak harus dilihat sebagai langkah untuk mempertingkat sekatan ke atas media, oleh kerana masa depan di negara ini ditentukan menerusi usaha kolektif.

"Menjadi tanggungjawab kita untuk menggubal satu dasar media kebangsaan yang mencerminkan identiti, nilai dan kepercayaan kita sebagai warga Malaysia.

"Satu dasar media baru perlu dikemaskini sejajar dengan trend global semasa yang memberi nilai tinggi terhadap liberalisasi dan kemajuan teknologi.

"Kita boleh bincangkan dan kenalpasti reform yang sesuai di samping mustahaknya memperkenalkan majlis media kebangsaan dengan minda terbuka," kata Syed Hamid.

Menyentuh berita ruang siber, Syed Hamid berkata: "Kita tidak boleh lagi mengenalpasti kumpulan ini sebagai media alternatif, memandangkan permintaan bagi berita-berita mereka lebih luas dari media arus perdana.

"Ruang siber adalah platform bebas dan generasi muda lebih menyukai berita online. Malahan, media arus perdana kini turut memfokus kepada memuatkan berita mereka secara online," ujar beliau.

-- BERNAMA

renung-renungkanlah

Monday, October 20, 2008

Memerangi politik wang satu jihad

Goblok: harap-harap politik wang ini tidak menular dengan parah menjadi Kanser

Bashir Ahmad
15 Oktober 2008

BAYANGAN barisan pemimpin-pemimpin tinggi UMNO mulai ketara kepada umum. Walaupun belum selesai mesyuarat perwakilan 191 bahagian, orang ramai khususnya masyarakat Melayu turut mengikuti dengan penuh minat keputusan-keputusan pencalonan yang diumumkan setakat ini.

Jika ditanya orang-orang Melayu yang bukan menjadi ahli UMNO dan tidak menyokong pembangkang, mereka juga mempunyai senarai orang-orang yang pada pandangan mereka layak menjadi Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ketua Pemuda UMNO. Jawatan Ketua Wanita dan Ketua Puteri UMNO tidak sangat menjadi perkiraan mereka.

Setakat hari ini, keputusan-keputusan pencalonan yang dibuat oleh 28 bahagian UMNO menepati hasrat dan pandangan mereka.

Jika Datuk Seri Mohd Najib menerima pencalonan daripada kesemua bahagian bagi jawatan Presiden, pandangan orang-orang Melayu bukan ahli parti adalah sama dengan majoriti pendirian perwakilan bahagian UMNO. Begitu juga dengan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Mukhriz Mahathir yang masing-masing setakat ini mendapat pencalonan terbanyak bagi jawatan Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda UMNO.

Di sinilah pentingnya ahli-ahli UMNO memahami bahawa jika mereka mahu parti ini terus relevan dan mendapat sokongan pengundi-pengundi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang (Ke-13), maka siapa yang mereka pilih sebagai pemimpin mestilah pada umumnya juga akan diterima oleh masyarakat Melayu yang akan menentukan kesinambungan kuasa parti ini.

Sekiranya faktor ini diabaikan disebabkan faktor `politik wang' yang telah begitu lama menghantui parti tersebut, kemungkinan besar sokongan orang Melayu terhadap UMNO akan terus terhakis.

Jika keputusan pilihan raya umum ke-12 masih gagal mengejutkan mereka daripada lena tidur, tiada apa lagi yang boleh dilakukan melainkan menunggu saat kejatuhan UMNO daripada tonggak kuasa pemerintahan negara.

Masyarakat Melayu turut mengetahui siapakah pemimpin-pemimpin UMNO yang dipilih melalui `kuasa wang.' Jika disebut nama-nama tertentu, mereka akan senyum sinis dan meluat. Walaupun andaian mereka bersifat persepsi, tetapi disebabkan sejarah politik menunjukkan biasanya persepsi berakhir sebagai realiti, maka kepercayaan mereka yang berasaskan persepsi itu amat sukar diketepikan.

Justeru pucuk pimpinan dan ahli-ahli UMNO mestilah melihat `politik wang' bukan sekadar masalah dalaman parti. Ia adalah masalah nasional yang pasti diberi perhitungan oleh para pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Malah pada ketika ini pun sudah tersebar kononnya si polan dan si anu telah menaburkan wang untuk mendapatkan sokongan daripada mereka yang mengundi di peringkat bahagian kali ini.

Amat malang jika fenomena yang pernah berlaku terus berulang pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009, iaitu orang-orang yang mendapat pencalonan tertinggi akhirnya tewas dalam pemilihan. Ini pernah berlaku dalam perhimpunan-perhimpunan pemilihan yang lalu.

Umum akan membuat kesimpulan bahawa kejanggalan ini hanya boleh berlaku disebabkan `politik wang.' Jika persepsi ini terus kekal, maka akan kekal jugalah keyakinan bahawa UMNO masih dibarisi oleh pemimpin-pemimpin yang rasuah. Sudah tentu pemimpin-pemimpin yang naik setelah menabur jutaan ringgit, akan cuba dan berusaha mencari berpuluh juta ringgit lagi untuk mengekalkan kuasa mereka selama yang mungkin. Inilah tanggapan yang akan memusnahkan UMNO.

Sebab itulah pucuk pimpinan UMNO pada hari ini wajib menjadikan usaha memerangi politik wang satu jihad jika mahu mengembali dan mengekalkan sokongan orang-orang Melayu khususnya generasi baru. Hanya dengan jihad terhadap politik wang sahajalah slogan perjuangan untuk ` Agama, Bangsa dan Tanah Air' tidak akan dilabel sebagai klise retorik.

Dan jihad itu mestilah dilihat jelas oleh seluruh rakyat khususnya orang Melayu pada pemilihan kali ini. - malaysiaaktif.com

Wednesday, October 8, 2008

Mukhriz tonjolkan kewibawaan sebenar

CALON Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mukhriz Tun Mahathir memberikan interviu eksklusif dengan theSun hari ini. Rasa-rasanya belum pernah interviu seumpama disiarkan oleh akhbar lain. Alangkah baiknya jika interviu theSun ini dapat disiarkan oleh akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian supaya pandangan, pemikiran, sikap dan pendirian Mukhriz dapat dibaca oleh oleh semua perwakilan Pemuda UMNO yang akan mengundi pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang.

Umpamanya kenapa Mukriz mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Jawapan beliau kepada theSun seperti berikut (terjemahan):

``Untuk mengembalikan sokongan orang muda kepada parti (UMNO).Pilihan raya umum dan pilihan raya kecil Permatang Pauh telah menunjukkan bahawa ramai orang muda tidak lagi bersama kita (UMNO). Perkataan-perkataan yang mereka gunakan terhadap kita adalah lebih teruk. Perkataan seperti meluat dan menyampah digunakan untuk menunjukkan perasaan mereka. Tapi yang terbaru mereka kata benci dan jijik pula. Keadaan bertambah buruk sejak dua bulan lalu. Maka sesuatu perlu dilakukan untuk menangani perkara ini. Saya berpendapat UMNO perlu melakukan perubahan. Tapi cara yang kita buat adalah jelas tidak mendatangkan sebarang kesan terutama kepada orang muda. Umpamanya berpayung terjun ke Antartika, berenang merentasi Selat Melaka. Mungkin sesuai untuk orang-orang jenis Malaysia Boleh, tapi adakah ia menyelesaikan masalah sebenar? Aktiviti seumpama itu untuk membangkitkan rasa seronok bolehlah, tapi adakah ia dapat membantu seseorang yang menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman RM100,000 dari bank? Pekerja kilang yang menghadapi masalah tempat kediaman, isu-isu urbanisasi dan orang-orang muda yang terbiar dengan masalah mereka. Dan apakah yang kita (UMNO) buat? Sepatutnya ini tanggungjawab kita, tapi tak banyak yang kita buat. Tapi kita terkejut apabila rakyat menolak kita semasa pilihan raya.''

Mukhriz berkempen dengan slogan Berani Berubah. Mengenai slogan kempennya ini, Mukhriz berkata ia boleh difahami sebagai perubahan di atas tapi ia juga bererti perubahan dari dalam.

theSun juga bertanya, adakah Mukhriz akan menjadi juara Ketuanan Melayu? Jawab beliau:

``Pada pendapat saya istilah ini telah disalahertikan kerana dalam bahasa Inggeris ia diterjemahkan sebagai supremacy, satu perkataan yang menggertak. Saya sebaliknya melihat ia (Ketuanan Melayu) dalam konteks bumiputera sebagai rakyat majoriti. Amerika Syarikat sekalipun memperakui bahawa sebarang dasar kerajaan mestilah memberi manfaat kepada golongan majoriti tapi tidak pula menafikan hak-hak manoriti.

``Dalam hal ini, di Malaysia hak-hak minoriti tidak dinafikan, sama ada dalam linkungan ekonomi, politik dan sosial. Juga ada kebebasan beragama. Saya fikir unsur-unsur yang cuba menyatukan kita (rakyat Malaysia) adalah lebih kuat daripada unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan kita. Marilah kita beri tumpuan kepada isu seperti pembinaan negara.''

Seperti yang dikatakan, alangkah baiknya interviu ini dapat dibaca oleh semua yang akan memilih pengganti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pemuda UMNO sekarang yang juga bekas anak Perdana Menteri. Kata Mukriz, beliau bertanding jawatan Exco Pemuda UMNO (dengan mendapat undi tertinggi) dulu atas pelawaan Hishamuddin.

Selama ini banyak orang menganggap peluang Mukhriz untuk naik sangat bergantung kepada nama bapanya. Bagaimanapun, membaca interviunya dengan theSun menukar persepsi penulis ini terhadap Mukhriz. Beliau jelas mempunyai keperibadian dan pendirian yang tersendiri. Bagaimanapun, Mukhriz juga mempunyai visi dan fikiran yang jelas, satu ciri yang sama dengan bapanya.

Dan semua orang tahu betapa Mukhriz adalah pengkritik kuat Perdana Menteri dan Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kita tunggu dan lihat sama ada pendiriannya ini akan menjadi aset atau liabiliti kepada beliau dalam pemilihan akan datang.

Sudah empat orang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO, tapi persaingan dijangka paling sengit antara Mukhriz dan Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO sekarang yang juga menantu Abdullah. Seorang lagi calon terkemuka ialah Datuk Seri Khir Toyo. Bagaimanapun bekas Menteri Besar Selangor ini tampil dengan kredibiliti yang cacat kerana Selangor terlepas kepada Pakatan Rakyat semasa pemerintahannya.

Dalam senario politik UMNO yang turut tidak menentu sekarang, rakyat Malaysia secara umumnya turut menunggu siapa yang akan dipilih antara Mukhriz dan Khairy untuk menjadi pemimpin generasi UMNO akan datang. Dan agak malang jika perwakilan Pemuda UMNO tidak dapat menilai antara intan dan kaca kerana `politik wang.' Jika politik wang yang terus menentukan siapa yang akan menang, maka UMNO telah melakukan sesuatu yang pada akhirnya akan membunuh diri sendiri. - malaysiaaktif.com

Bashir Ahmad
25 September 2008