Tuesday, December 30, 2008

Sanggup tunggu 30 tahun bukti Pas politikkan hudud

Goblok bukan ahli politik tapi bila fikir-fikir dengan keadaan ini memang ambil kesempatan betul-betul nampak....guano mung weh rakyat ganu ;-)...pangkoh gapo....pikir-pikir laa awang wehh...

Oleh HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Kesediaan Pas menunggu 30 tahun lagi untuk melaksanakan hudud jelas membuktikan parti itu selama ini hanya menggunakan hukum Allah bagi meraih undi kerana mereka sendiri tidak yakin menguatkuasakannya.

Tegas pemimpin-pemimpin UMNO, kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tersebut juga menjadi satu lagi bukti betapa dasar parti itu boleh berubah-ubah mengikut keperluan politik walaupun ia melibatkan hukum Allah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, polemik terbaru isu hudud memperlihatkan wajah sebenar Pas.

''Sebelum berkawan dengan bukan Islam, Pas dilihat beria-ia mahu melaksanakan hudud tetapi apabila DAP menjadi sekutu, segalanya boleh berubah sekelip mata hingga sanggup tunggu setengah abad untuk laksana hudud.

''Pada saya Pas memang tak minat hudud dari awal lagi. Selama ini mereka memilih bercakap pasal hudud sebab nak tarik undi orang Islam tetapi sekarang sebab nak jaga sokongan bukan Islam, pendirian mereka berubah.

''Saya tak tahulah di mana prinsip mereka. Dulu macam nak laksanakan (hudud) sangat-sangat tetapi sekarang kerana nak jaga DAP, macam-macam dolak-dalik,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Aziz semalam menyatakan Pas sanggup menunggu 30 tahun lagi untuk semua pihak sedia menerima hukum hudud kerana parti itu tidak mahu memaksa sekutu pembangkangnya.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi mengakui hudud bukan keutamaan kepada pakatan pembangkang sebaliknya yang harus ditekankan ialah aspek keamanan dan keadilan kepada rakyat.

Terdahulu, ketika Wacana Transformasi Politik Malaysia, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, menegaskan Pas akan melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang dapat memerintah negara.

Kenyataan beliau itu mendapat tentangan daripada rakan pakatan pembangkang, DAP yang memang tidak dapat menerima pelaksanaan hukum tersebut.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar kesal kerana Pas sanggup meletakkan motif politik sehingga mengatasi dasar Islam yang mereka dakwa perjuangkan selama ini.

Kata beliau, pendirian terbaru Pas yang semakin longgar terhadap isu hudud setelah menerima tekanan DAP ternyata menunjukkan parti itu telah mempersendakan sesuatu yang menjadi hukum Allah.

''Kerana takutkan kuasa politik di kalangan bukan Melayu hilang, mereka boleh ubah pula pendirian. Tak eloklah, dalam soal agama kita kena telus dan ikhlas.

''Kiranya Pas ini memberi pengiktirafan kepada hukum Islam hanya berdasar perkiraan politik. Patut masyarakat mula memahami apakah tujuan dan niat mereka,'' jelasnya.

Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Pirdaus Ismail melihat kenyataan Nik Aziz itu sebagai helah untuk menutup isu tersebut setelah menerima reaksi negatif daripada rakan sekutu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kata beliau, masalah sebenar ialah soal ketidakmampuan untuk melaksanakannya dan inilah realiti politik semasa yang dihadapi dalam pelaksanaan hukum hudud dan qisas.

''UMNO sendiri tidak menolak hudud sebagai hukum Allah. Tetapi kerana wujud situasi dan halangan, hudud tak mampu dilaksanakan dan hal ini sudah dijelaskan kepada rakyat sekian lama sehingga akhirnya Pas pun mengakui hakikat itu,'' katanya.

Menurutnya, UMNO sekian lama meletakkan keutamaan untuk mengangkat kedudukan umat Islam dengan memperkasakan pendidikan dan ekonomi sejajar dengan fiqh alauwiyah atau fiqah keutamaan.

''Ini pun diakui Dewan Ulama Pas semalam dan hakikatnya UMNO dah lama buat macam itu. Patut mereka bersama pemerintah UMNO menjayakan matlamat ini,'' katanya.

No comments: