Wednesday, August 20, 2008

Anwar tidak mengenang budi Pak Lah

PERMATANG PAUH – Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai orang yang tidak mengenang budi apabila beliau mendakwa Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi terlibat dalam konspirasi tuduhan Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadapnya.


Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Noor berkata, Anwar sepatutnya mengenang budi Abdullah yang telah menolongnya semasa dalam tahanan pada tahun 2004.

Bercakap pada ceramah pilihan raya kecil Pertamatang Pauh di Tanah Liat malam tadi, bekas orang kuat Anwar itu buat pertama kalinya mendedahkan bahawa beliau telah mengaturkan satu pertemuan antara isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan Abdullah pada tahun tersebut.

Dalam pertemuan yang Ezam turut hadiri itu, Wan Azizah telah meminta Abdullah mempertimbangkan tiga perkara:



i. Minta keluar dari penjara untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana sakit belakang.

ii. Memohon mendapatkan rawatan lanjut di luar negara.

iii. Sebagai Perdana Menteri, Abdullah tidak akan campur tangan dalam kes rayuan Anwar terhadap dua keputusan Mahkamah Tinggi – kes liwat dan kes rasuah.

Kata Ezam, permintaan pertama Anwar telah ditunaikan serta-merta dan beliau dibawa keluar dari penjara ke hospital pada malam berkenaan.

Bagi permintaan kedua, Abdullah berkata beliau akan berbincang dengan pihak-pihak berkenaan terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

Bagi permintaan ketiga, Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam apa jua urusan kehakiman berhubung rayuan Anwar.

Menurut Ezam, beliau masih ingat kata-kata Perdana Menteri:`` Azizah saya pemimpin Islam, saya tidak akan buat aniaya orang lain.’’

Dalam penghakimannya terhadap rayuan Anwar, Mahkamah Perekutuan telah membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri itu daripada tuduhan liwat tapi menolak rayuan terhadap keputusan kes rasuah.

Kata Ezam, mengenali Abdullah beliau percaya sampai sekarang pun Perdana Menteri tidak sekali-kali akan menganiaya Anwar dan tidak munasabah untuk menuduhnya terlibat dalam konspirasi kes aduan liwat terhadap Mohd Saiful.

Menurutnya, amat tidak wajar Anwar tiba-tiba menuduh Perdana Menteri pula terlibat dalam konspirasi aduan Saiful.

``Mula-mula dia (Anwar) tuduh Peguam Negara, Ketua Polis Negara…kemudian Timbalan Perdana Menteri dan tiba-tiba sekarang Perdana Menteri pula,’’ kata Ezam.

Beliau berpendapat Anwar menuduh `semua orang’ kerana terlalu terdesak dalam menangani kes aduan liwat terhadapnya pada ketika cita-citanya semakin memuncak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Berhubung pengakuan bersumpah Mohd Saiful, Ezam berpendapat hanya Allah, Anwar dan Saidul yang tahu apa yang sebenar.

Kata Ezam, mana-mana pihak tidak boleh membuat andaian kerana tiada siapa yang tahu apa yang berlaku, sama ada pengakuan itu benar atau sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin-pemimpin Pas tidak akan membuat sebarang kenyataan yang memihak kepada Anwar berhubung pengakuan bersumpah Saiful kerana mereka tidak tahu kedudukan sebenar.

Ezam menambah, beliau sendiri tidak membuat sebarang andaian kerana ``hanya Allah, Anwar dan Saiful yang tahu.’’ – malaysiaaktif.com

Bashir Ahmad
17 Ogos 2008

Friday, August 15, 2008

PKR di ambang perpecahan?

Goblok: betulke ni wak oii?


ANCAMAN Ahli Parlimen (AP) Kulim Bandar Bahru, Zulkifli Noordin, untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama-sama golongan sealiran dengannya, sudah pasti membimbangkan Anwar Ibrahim.

Zulkifli yang dilaporkan 'hilang' mendedahkan beliau dan ramai lagi AP Keadilan amat terkilan dengan sikap Datuk Seri Anwar yang semakin membelakangkan kepentingan Islam.

Krisis dalaman itu timbul sedang Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dilaporkan memberi amaran parti itu akan keluar daripada Pakatan Rakyat jika 'kerajaan baru' selepas 16 September ini tidak menjadikan Islam teras kepimpinan menerajui negara.

Beliau berkata demikian di depan 100 ahli ketika merasmikan Konvensyen Pas Negeri Selangor di Shah Alam, minggu lalu.

Betapa Anwar yang juga penasihat PKR semakin dingin dan tidak mempedulikan tuntutan Islam pula dinyatakan Zulkifli ketika berucap kepada jemaah di Surau Al-Ehsaniah, Ampang Jaya, lewat bulan Julai.

Zulkifli memberitahu setelah kira-kira 20 tahun beliau berjuang menegakkan prinsip Islam apa dilihatnya kini adalah PKR tidak begitu mempedulikan keperluan umat dan pengundi Islam.

Ini, katanya, jelas daripada dasar terbaru PKR khususnya berkaitan rancangan pembinaan rumah ibadat di setiap bandar dan taman perumahan baru di Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Kumpulan Ahli Parlimen beragama Islam, katanya, berasa amat tertekan dengan tindak-tanduk pucuk pimpinan PKR sehingga membuat mereka mahu 'memberontak' sebagai protes terhadap Anwar dan konco-konconya.

Malah, menurut Zulkifli, beliau tidak begitu hirau sangat dengan keputusan mahkamah mengenai kedudukannya dan sudah bersedia untuk keluar PKR bersama rakan-rakan AP yang lain.

Walaupun tidak memberitahu jumlah sebenar AP Islam dalam Keadilan yang akan meninggalkan parti itu, tindakan mereka sudah pasti mengejut dan menggagalkan rancangan Anwar untuk menubuhkan kerajaan baru didakwanya akan disertai 30 AP Barisan Nasional dari Sabah dan Sarawak. -malaysiaaktif.com

Nasir Sukiman
13 Ogos 2008

Monday, August 11, 2008

Kenapa tangkap hanya Penarik Beca

Kopitiam Talk
9 Ogos 2008


ROCKY'S Bru (Ahiruddin Attan) Presiden Penaja The National Alliance of Bloggers membela pemblog Penarik Beca (nama sebenar Abu Bakar Mohd Rashid) yang ditahan oleh polis untuk siasatan kerana menyiarkan logo PDRM yang diubahsuai dengan menukar gambar kepala harimau kepada gambar kepala anjing dan tanda $ dan C4 menggantikan nama Allah dan Muhammad dan juga bintang lambang negara Israel.

Dalam tulisannya, Rocky yang tidak memberikan fakta sepenuhnya perbuatan “menghina” polis itu telah menganggap penahanan Penarik Beca itu sebagai reaksi yang keterlaluan pihak polis kerana perbuatan pemblog itu, katanya “nothing” dibandingkan dengan kehilangan syabu RM1 juta dari balai polis di Johor Baharu.

Ternyata Rocky membela semata-mata kerana comradeship dan sentimen melulu apabila Penarik Beca yang dibebaskan dari tahanan selama lebih 40 jam telah mengakui kesilapannya sebagai bodoh dengan menyiarkan logo itu yang diambilnya dari blog seorang penjenayah siber.

Mungkin seperti kebanyakan pemblog bukan dari kalangan wartawan yang terlatih dengan etika kewartawanan, maka Penarik Beca tidak tahu sempadan, tetapi bagi bekas wartawan kanan seperti Rocky tidak mengenal batas tidak boleh dimaafkan.

Rocky melakukan pekara yang sama dengan menyiarkan bendera Malaysia terbalik dalam blognya yang diambil dari blog lain. Jika penyebaran gambar lucah ``haram” tidak bererti bahawa akhbar atau media yang memetik dan menyiarkan gambar yang sama ``tidak salah” apabila mengambil daripada terbitan lain untuk ditunjukan sebagai contoh. Penarik Beca mengakui ini sebagai kebodohannya, tetapi adakah Rocky berada pada taraf bodoh?

Polis tidak membela seekor dua kambing hitamnya yang terlibat dengan kehilangan syabu 1 juta ringgit, malah ada yang telah pun ditahan dan akan menghadapi tindakan tetapi Rocky mempertahankan penjeyanah siber, meminta pembebasan pemblog tanpa usul periksa dan cuba menutup dosanya sendiri setelah menyiarkan bendera Malaysia terbalik dengan menyatakan bahawa dia tidak bersetuju dengan perbuatan itu yang dilakukan oleh rakannya.

Anwar Ibrahim juga menganggap “nothing” bila dia memanggil Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor “anjing” ketika Rahim tiba untuk menyiasatnya dalam kes liwat yang pertama dahulu. Tetapi Rahim merasakan panggilan itu bukan sahaja penghinaan terhadap dirinya tetapi kepada ribuan anggota polis yang diketuainya. Seorang pemblog penyangak cuba mengelirukan menerusi blognya kononnya Anwar ditumbuk Rahim sebelum dia mengeluarkan perkataan itu.

Saya setuju jika sekiranya Rocky menuduh polis “penakut, tidak adil” dan bersikap membeza-beza antara Penarik Beca dengan `pemblog diraja' kerana umum mengetahui tindakan terhadap `raja' itu terlalu lewat sekalipun secara terus terang dia melakukan pelbagai pembohongan, fitnah dan cerita rekaan dalam blognya. Tetapi bagi Rocky dia adalah raja yang mesti disembah dan dia menjadikan raja ini sebagai contoh dalam perjuangan untuk membela kebebasan penulis blog.

Inilah contoh beberapa kerat Melayu yang menjadi The Great Imitators kepada kebebasan Amerika Syarikat yang berselindung di sebalik globalisasi

Kepada bukan Melayu yang memperjuangkan “Malaysian Malaysia”, mereka adalah wira tetapi kepada bangsa kita mereka adalah anjing upahan. Apalah bezanya antara Lim Kit Siang dengan Rocky?

MUNSYI ABDULLAH
petikan dari
www.malaysiaaktif.com

Goblok: fikir-fikirkanlah



Wednesday, August 6, 2008

Mubahalah: Jalan keluar tuduhan liwat

Nasir Sukiman
3 Ogos 2008


BAGI umat Islam di negara ini, isu qazaf dan hukuman Allah amat berkait rapat manakala daripada segi adat pula keyakinan mereka semakin kuat apabila disertakan sekali sumpah menggunakan Al-Quran sama ada memegang atau menjunjungnya.

Tetapi mengikut syarak, seseorang yang bersumpah dengan nama Allah tidak perlu memegang atau menjunjung Al-Quran malah ia cukup sekadar melafazkan sumpahnya dengan menyebut nama Allah dan berkaitan perkara dipertikaikan. Memegang dan menjunjung Al-Quran mungkin daripada segi adat dan tradisi saja.

Dalam kes dakwaan Saiful Bukhari Azlan dia diliwat oleh Anwar Ibrahim, jelas mantan Timbalan Perdana Menteri itu sudah pun mengorak langkah dianggapnya amat berani iaitu dengan membuat aduan dan laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Beliau berbuat demikian dengan alasan kononnya dinasihatkan oleh golongan ulama. Tetapi betulkah semua dakwaannya itu sedangkan hukum qazaf hanya berkaitan tuduhan zina.

Atau Anwar ke jabatan agama itu hanya sebagai satu lagi episod permainan sandiwara politiknya?

Persoalannya apa pula akan terjadi jika setiap perogol dan peliwat membuat aduan qazaf di pejabat agama bagi melepaskan dirinya.

Kumpulan yang memberikan nasihat kepada Anwar bagi mengeluarkan beliau daripada belitan tuduhan dilemparkan Saiful itu mahu undang-undang Islam dan istilah-istilah Islam digunakan bagi memulihkan imej pemimpin mereka yang semakin tercalar.

Anwar dan konco-konco serta penasihatnya tahu benar, Saiful tidak mungkin dapat membawa empat orang saksi lelaki (atau lapan mata) yang adil. Tambahan pula hukuman bagi qazaf adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar dan wajib dikenakan hukuman had qazaf iaitu sebatan sebanyak 80 kali terhadap penuduh.

Ini adalah selain tidak boleh diterima lagi penyaksiannya selama-lamanya kerana dia sudah termasuk dalam golongan yang fasik.

Di sini, penulis ingin menarik perhatian kepada kenyataan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin dalam ruangannya Pena Mufti di Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Beliau mengkritik kefahaman umum terhadap masalah qazaf. Dr Asri menekankan betapa wujud perbezaan di antara menuduh orang lain dan seseorang yang mendakwa dirinya telah menjadi mangsa rogol.

“Apakah jika seseorang wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah syariah akan menyatakan: Awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan? Adakah di dunia ini empat saksi yang soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?

`‘Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah. Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain.

`‘Sementara mendakwa diri menjadi mangsa adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri,'' jelasnya.

Pokoknya, kata Dr Asri bagaimana seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan.
Apakah akan terjadi apabila orang yang membuat tuduhan meliwat itu gagal membawa empat lelaki sebagai saksinya ?

Soalan ini amatlah berat dan boleh merungsingkan. Namun Islam tidaklah sejumud yang disangka dan boleh diputarbelitkan oleh sesiapa saja.

Dalam soal ini kita boleh gunapakai apa dipanggil sebagai “Istihadiah” iaitu penemuan-penemuan saintifik bagi menyelesaikan sesuatu kes yang dianggap rumit. Pencapaian dan kejayaan dalam membandingkan hasil DNA tetap diterima Islam dalam menyelesaikan sesuatu kekalutan.

Jelas bahawa orang yang membuat tuduhan tidak perlu khuatir dengan penggunaan hukum syarak dan sumpah dibuatnya.

Islam juga menganjurkan kaedah mubahalah sebagai penyelesaian bagi perbalahan yang tidak diuruskan secara baik dan mengikut peraturan. Mubahalah bermaksud mereka yang berbalah bertemu dan berdoa agar Allah menurunkan kelaknatan ke atas pendusta antara mereka.

Ramai ulama silam menyebut, biasanya Allah tidak akan menangguhkan hukuman melebihi setahun. Bahkan ramai dalam sejarah hanya beberapa bulan, atau hari. - malaysiaaktif.com

Monday, August 4, 2008

Permatang Pauh: Satu lagi langkah desperado Anwar

Goblok: Permatang Pauh,bermula di sini mungkin berakhir di sini... sama-sama kita nantikan...


KENAPA Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh yang secara tiba-tiba sahaja dikosongkan oleh isterinya Datin Seri Dr. Wan Azizah?

Pertama kita perlu menjawab kenapa Anwar mahu bertanding dan kedua, mengapa di Permatang Pauh? Oleh kerana Anwar tidak akan memberikan jawapan yang ada dalam hatinya, kita kenalah membuat andaian sendiri.

Andaian bagi soalan pertama ada kait mengait dengan kes tuduhan liwat Mohd Saiful yang dihadapinya sekarang. Jika kita menyorot kembali daripada awal sejak Saiful membuat laporan kepada polis, ada-ada sahaja tindakan yang Anwar lakukan untuk menyeret persepsi umum supaya mempercayai bahawa beliau adalah mangsa konspirasi.

Konspirasi siapa? Konspirasi mereka yang mahu menyekat kemaraan politiknya. Orang bodoh pun boleh membuat kesimpulan bahawa yang beliau sasarkan ialah UMNO dan Barisan Nasional, musuh politik Pakatan Rakyat pimpinannya.

Dalam usahanya untuk meyakinkan bahawa kes ini adalah satu konspirasi politik, Anwar turut menyeret nama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai orang-orang yang tidak boleh dipercayai kerana kononnya telah memutarbelitkan siasatan kes rasuah dan liwat terhadapnya pada 1998.

Anwar membuat aduan polis terhadap Gani dan Musa. Lalu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak membenarkan mereka campur tangan dalam kes terbaru ini walaupun mereka sepatutnya ambil tahu selaku ketua.

Tidak perlulah kita menyenaraikan semula satu persatu langkah-langkah seterusnya yang Anwar lakukan untuk memperkukuh hujahnya bahawa kes tuduhan liwat adalah konspirasi politik, tapi cukuplah untuk menyatakan bahawa beliau adalah pakar dalam strategi perang saraf dan muslihat untuk meyakinkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bahawa beliau adalah mangsa konspirasi politik.

Jadi apa kaitan dengan pengumuman beliau mahu bertanding pilihan raya kecil di Permatang Pauh? Pengumuman itu dibuat setelah tersebar luas spekulasi kononnya Anwar akan ditangkap dalam masa terdekat berhubung kes aduan Saiful. Semua orang tahu bahawa polis telah menyiapkan siasatan dan kertas siasatan berada di atas meja Peguam Cara Negara.

Pengumuman ini dibuat sebagai taktik untuk mengeruhkan lagi suasana ekoran kemungkinan beliau akan ditangkap. Apabila Wan Azizah mengumumkan beliau melepaskan kerusi Permatang Pauh dan Anwar akan bertanding, berita mengenainya segera disebar oleh media. Kini seluruh dunia tahu Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil. Bayangkan jika tiba-tiba Anwar ditangkap. Tentulah media antarabangsa akan menyebut bahawa ``Anwar ditangkap ketika beliau sedang bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh.'' Anwar mengharapkan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia akan bertambah.

Semua orang tahu bahawa Anwar berhasrat untuk menjadi ahli Parlimen untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ini beliau telah canangkan sejak lama dulu. Juga diumumkan bahawa salah seorang ahli Parlimen PKR akan mengosongkan kerusi untuk membolehkan beliau bertanding.

Antara kerusi yang menjadi sebutan kebelakangan ini ialah Bandar Tun Razak yang turut dipegang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Sebuah lagi kerusi ialah Kulim yang menghadapi satu kes petisyen pilihan raya.

Tapi Anwar memilih Permatang Pauh kerana beliau tidak yakin lagi akan menang di lain-lain kerusi Parlimen. Permatang Pauh adalah kubu kuatnya yang dipegang sejak beliau mula bertanding atas tiket BN dan kemudian dipegang secara proksi oleh Wan Azizah setelah Anwar dipenjara.

Anwar tidak yakin boleh menang kerana beliau mulai melihat bahawa rakyat Malaysia sedikit demi sedikit hilang kepercayaan terhadapnya. Para pemimpin Pas tidak lagi seakrab dulu dengannya. Kes tuduhan liwat Mohd Saiful yang dihadapinya benar-benar menjadi badi terhadap dirinya. Sebab itulah beliau memilih Permatang Pauh kerana inilah tempat yang dirasakannya paling selamat.

Beliau juga memilih untuk bertanding sekarang kerana ini adalah langkah politik yang beliau fikirkan paling sesuai ketika dia mempercayai polis akan menangkapnya pada bila-bila masa, Beliau tahu apa jua tindakan terhadap Anwar Ibrahim sekarang akan menjadi bahan berita hangat bukan sahaja dalam negeri, tapi juga di peringkat antarabangsa. Beliau mahu memperkuatkan teori konspirasi politik di sebalik kes tuduhan liwat terhadapnya.

Malah pada hari ini, Herald Tribune, akhbar antarabangsa milik syarikat AS telah melaporkan berita Anwar akan bertanding dengan menyebut bahawa BN akan menghadapi pertandingan yang sukar.

Akhbar itu juga memetik laporan Bernama yang menyebut Pak Lah berkata bahawa pihak berkuasa akan tetap mengambil tindakan terhadap Anwar jika ada kes terhadapnya.

Andainya Anwar ditangkap, kita sama-sama tunggu apa episod-episod seterusnya.

Secara kebetulan, agak menarik akhbar theSun pada 31 Julai 2008 telah menyiarkan satu interbiu dengan Faisal Tehrani, sasterawan muda Malaysia yang sedang mengukir nama. Faisal, 34, lulusan ijazah pengajian Islam antara lain ditanya dua soalan mengenai Anwar. Berikut disiarkan terjemahan bab interbiu mengenai Anwar:

Apa pandangan anda mengenai Anwar Ibrahim?

Saya pernah berjumpanya sekali selepas beliau dibebaskan dari penjara. Secara peribadi saya suka beliau. Kelihatan dia seorang yang baik. Tetapi A. Samad (Said) dan Shahnon Ahmad selalu memberitahu saya, ‘sebagai penulis, kita kena menganalisa orang lain... menganalisa isu ... jika anda mahu menulis mengenainya.’ Saya mulai menganalisa beliau dan saya dapati ada perkara-perkara yang bertentangan. Itu sahaja yang boleh saya cakap.

Ada orang berpendapat Anwar boleh menjadi perdana menteri yang hebat. Apa pendapat anda?

Ini perkara yang subjektif. Kenapa Anwar mesti jadi perdana menteri? Kenapa perlu beri tanggung jawab kepadanya sahaja? Adakah kita ketandusan pemimpin? Kenapa tidak beri jawatan perdana menteri kepada kalangan angkatan muda? Ada generasi muda dalam PKR, Pas, DAP dan UMNO, yang mempunyai idea-idea baru. Mereka patut diberi peluang.

Apa kata Nurul Izzah (anak Anwar)? Lebih segar. Tentu dia mempunyai idea-idea baru. PAS mempunyai tokoh-tokoh baru yang liberal dan sesuai dengan zaman. Lim Guan Eng dari DAP nampaknya bagus. Dia bergambar dengan Ning Baizura (penyanyi) dan naik kapal terbang kelas ekonomi.

Pemimpin-pemimpin lama ... mereka mempunyai episod-episod drama dalam kehidupan lalu yang boleh menjadi isu. Kita patut beri peluang kepada generasi baru.

Lihat presiden Rusia. Dia orang muda. (Dmitry Anatolyevich Medvedev. Umur: 43) Lihat di Amerika... mereka mungkin memilih (Barrack) Obama. Dia muda. (Umur: 47). Seluruh dunia sedang berubah mengikut perspektif orang muda dan idea baru. Saya fikir Malaysia juga patut mengikut jejak yang sama.

Cakap Faisal mungkin mewakili pandangan angkatan muda terutama orang Melayu. Mungkin juga kebanyakan orang Melayu dan sebilangan bukan Melayu yang lebih dewasa turut berkongsi pandangan ini. Malaysia sepatutnya sudah letih dengan kemelut Anwar yang tidak membawa negara ke mana-mana kecuali ke keadaan yang semakin tidak menentu.

Apakah Malaysia tidak boleh mara ke depan tanpa Anwar? Bangsat sangatkah Malaysia tanpa Anwar? Atau mungkin lebih baik tanpanya. - malaysiaaktif.com

Petikan www.malaysiaaktif.com

Bashir Ahmad
1 Ogos 2008