Wednesday, August 6, 2008

Mubahalah: Jalan keluar tuduhan liwat

Nasir Sukiman
3 Ogos 2008


BAGI umat Islam di negara ini, isu qazaf dan hukuman Allah amat berkait rapat manakala daripada segi adat pula keyakinan mereka semakin kuat apabila disertakan sekali sumpah menggunakan Al-Quran sama ada memegang atau menjunjungnya.

Tetapi mengikut syarak, seseorang yang bersumpah dengan nama Allah tidak perlu memegang atau menjunjung Al-Quran malah ia cukup sekadar melafazkan sumpahnya dengan menyebut nama Allah dan berkaitan perkara dipertikaikan. Memegang dan menjunjung Al-Quran mungkin daripada segi adat dan tradisi saja.

Dalam kes dakwaan Saiful Bukhari Azlan dia diliwat oleh Anwar Ibrahim, jelas mantan Timbalan Perdana Menteri itu sudah pun mengorak langkah dianggapnya amat berani iaitu dengan membuat aduan dan laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Beliau berbuat demikian dengan alasan kononnya dinasihatkan oleh golongan ulama. Tetapi betulkah semua dakwaannya itu sedangkan hukum qazaf hanya berkaitan tuduhan zina.

Atau Anwar ke jabatan agama itu hanya sebagai satu lagi episod permainan sandiwara politiknya?

Persoalannya apa pula akan terjadi jika setiap perogol dan peliwat membuat aduan qazaf di pejabat agama bagi melepaskan dirinya.

Kumpulan yang memberikan nasihat kepada Anwar bagi mengeluarkan beliau daripada belitan tuduhan dilemparkan Saiful itu mahu undang-undang Islam dan istilah-istilah Islam digunakan bagi memulihkan imej pemimpin mereka yang semakin tercalar.

Anwar dan konco-konco serta penasihatnya tahu benar, Saiful tidak mungkin dapat membawa empat orang saksi lelaki (atau lapan mata) yang adil. Tambahan pula hukuman bagi qazaf adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar dan wajib dikenakan hukuman had qazaf iaitu sebatan sebanyak 80 kali terhadap penuduh.

Ini adalah selain tidak boleh diterima lagi penyaksiannya selama-lamanya kerana dia sudah termasuk dalam golongan yang fasik.

Di sini, penulis ingin menarik perhatian kepada kenyataan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin dalam ruangannya Pena Mufti di Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Beliau mengkritik kefahaman umum terhadap masalah qazaf. Dr Asri menekankan betapa wujud perbezaan di antara menuduh orang lain dan seseorang yang mendakwa dirinya telah menjadi mangsa rogol.

“Apakah jika seseorang wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah syariah akan menyatakan: Awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan? Adakah di dunia ini empat saksi yang soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?

`‘Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah. Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain.

`‘Sementara mendakwa diri menjadi mangsa adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri,'' jelasnya.

Pokoknya, kata Dr Asri bagaimana seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan.
Apakah akan terjadi apabila orang yang membuat tuduhan meliwat itu gagal membawa empat lelaki sebagai saksinya ?

Soalan ini amatlah berat dan boleh merungsingkan. Namun Islam tidaklah sejumud yang disangka dan boleh diputarbelitkan oleh sesiapa saja.

Dalam soal ini kita boleh gunapakai apa dipanggil sebagai “Istihadiah” iaitu penemuan-penemuan saintifik bagi menyelesaikan sesuatu kes yang dianggap rumit. Pencapaian dan kejayaan dalam membandingkan hasil DNA tetap diterima Islam dalam menyelesaikan sesuatu kekalutan.

Jelas bahawa orang yang membuat tuduhan tidak perlu khuatir dengan penggunaan hukum syarak dan sumpah dibuatnya.

Islam juga menganjurkan kaedah mubahalah sebagai penyelesaian bagi perbalahan yang tidak diuruskan secara baik dan mengikut peraturan. Mubahalah bermaksud mereka yang berbalah bertemu dan berdoa agar Allah menurunkan kelaknatan ke atas pendusta antara mereka.

Ramai ulama silam menyebut, biasanya Allah tidak akan menangguhkan hukuman melebihi setahun. Bahkan ramai dalam sejarah hanya beberapa bulan, atau hari. - malaysiaaktif.com

No comments: