Monday, November 17, 2008

Zeti dilantik ahli suruhanjaya pakar reformasi kewangan dunia PBB

Goblok berbangga dengan perlantikan Tan Sri Zeti yang dilantik menganggotai pasukan petugas peringkat tertinggi yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).Ini membuktikan bahawa warga Malaysia telah diiktiraf oleh dunia. Ini amat bermakna dengan langkah-langkah pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan, pihak pembangkang tidak harus mengambil kesempatan dengan menyalahkan pihak kerajaan. Langkah-langkah yang telah diambil nyata bukan sahaja dihargai oleh rakyat Malaysia malas dikagumi oleh seluruh dunia.



Zeti dilantik ahli suruhanjaya pakar reformasi kewangan dunia PBB

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dilantik menganggotai pasukan petugas peringkat tertinggi yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengkaji kemungkinan mewujudkan reformasi sistem kewangan global, termasuk Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia susulan krisis kewangan dunia semasa.

Zeti memegang jawatan Gabenor Bank Negara sejak 2000 dan merupakan wanita tunggal di Asia dan hanya beberapa wanita di dunia menyandang jawatan tertinggi bank pusat.

Presiden Perhimpunan Agung PBB, Miguel Descoto, yang mengumumkan anggota penuh pasukan petugas yang dibentuknya itu berkata, Joseph Stiglitz, yang menerima Anugerah Nobel bagi Ekonomi pada 2001 yang juga bekas ketua ekonomi Bank Dunia, akan mempengerusikan panel itu yang dikenali sebagai Suruhanjaya Pakar-Pakar Reformasi Sistem Kewangan dan Monetari Antarabangsa.

"Pasukan petugas itu akan mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh negara anggota bagi menjamin kedudukan ekonomi global yang lebih stabil,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh perkhidmatan berita PBB.

Banyak negara kini sudah mengalami kemelesetan atau hampir menuju kemelesetan akibat krisis kewangan yang berpunca daripada krisis kredit subprima di Amerika Syarikat.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang turut dilantik menganggotai panel itu ialah Jomo Kwame Sundaram, Penolong Setiausaha Agung bagi Pembangunan Ekonomi dan Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB (DESA), yang pernah menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, serta Jose Antonio Ocampo dari Colombia yang juga bekas Setiausaha Rendah bagi Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial.

Anggota lain panel itu terdiri daripada Jean-Paul Fitoussi, Profesor Ekonomi di the Institute dEtudes Politiques de Paris di Perancis; Avinash Persaud dari Barbados, yang juga Pengerusi Intelligence Capital Limited dan Yaga Venugopal Reddy, bekas Gabenor Reserve Bank India.

Eisuke Sakakibara dari Jepun yang pernah digelar sebagai 'Mr Yen', yang kini bertugas sebagai Profesor di Waseda University Tokyo juga dilantik menganggotai panel berkenaan, bersama Chukwuma Soludo, Gabenor bank pusat Nigeria dam Yu Yongding, Pengarah Institute of World Economics and Politics.

Semasa mengumumkan penubuhan panel itu bulan lepas, Descoto berkata: "Ramai yang memperakui bahawa masalah kewangan semasa tidak dapat diselesaikan menerusi respons bersendirian di peringkat nasional dan serantau dan ia memerlukan usaha bersepadu di peringkat global."

No comments: