Goblok tidak hairan apabila melihat keputusan Pemilihan Pimpinan Tertinggi UMNO, Pemuda ,Wanita dan Puteri. Cuma yang kedengaran perkara-perkara yang tidak enak semasa pengiraan Ketua Pemuda. tak baik kita buruk sangka.. keputusan tetap keputusan. Cuma yang tak sedap didengar pesepsi masyarakat tentang UMNO.
Namum keputusan timbalan presiden dan pimpinan Majlis Tertinggi UMNO boleh dikatakan matang. Namum goblok amat tertarik dengan ulasan Datuk Kadir Jasin yang wajar kita kongsi bersama...
Tidak Semua Dalam Saf Orang Yang Insaf
A Kadir Jasin
ADAKAH Presiden baru Umno, Mohd Najib Abdul Razak, memperoleh saf (barisan) kepemimpinan yang ampuh dan padu, setia, berintegriti, berkebolehan lagi dedikasi seperti yang dirayukannya?
Pada mulanya, harapan beliau mendapat saf sedemikian nampak begitu pudar. Ramai bimbang dan tidak kurang pula yang begitu hampa.
Dalam masa lebih sedikit 24 jam mereka dikejutkan oleh berita kemenangan besar pesalah politik wang Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno.
Seperti mencurah air ke atas daun keladi, 304 perwakilan Pemuda memekakkan telinga dan menolak suara hati akar umbi dengan mengundi menantu Abdullah Ahmad Badawi itu.
Ramai masih tidak boleh menerima hakikat bahawa seorang yang didapati bersalah dan diberi amaran oleh Lembaga Disiplin Umno kerana menggunakan wang sebagai sogokan telah dipilih dengan undi yang begitu besar.
Akibat daripada itu, wujud kebimbangan bahawa aliran yang sama akan berlaku dalam pemilihan Majlis Tertinggi. Kebimbangan utama adalah Muhyiddin Yassin mungkin tewas di tangan Muhammad Muhammad Taib.
Alhamdulillah, ini tidak terjadi. Muhyiddin mengalahkan Muhd Taib dengan majoriti besar.
Keputusan pertandingan Naib Presiden adalah seperti dijangkakan – Ahmad Zahid Hamidi yang setia kepada siapa saja yang berkuasa, Hishammuddin Hussein, sepupu Mohd Najib, dan Shafie Apdal, wakil terkanan Sabah, menang.
Ahli biasa Majlis Tertinggi menampilkan kepelbagaian watak -- daripada yang kental integriti dan pemikiran seperti Mustapha Mohamed, Puad Zarkashi dan Saifuddin Abdullah kepada “street fighters” seperti Noh Omar, Tajuddin Abdul Rahman dan Bung Mokhtar.
Pada saat-saat Umno diasak daripada pelbagai hala dan kedudukan orang Melayu dipertikai dan dipersendakan, para “street fighters” ini mempunyai peranan besar.
Kemenangan mereka mencerminkan kemunculan sentimen yang lebih radikal di kalangan perwakilan akibat cabaran terhadap hak dan keistimewaan orang Melayu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Manakala kegagalan Menteri Besar, kecuali Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, memenangi kerusi MT menandakan berakhirnya era gemilang “Kelab Menteri Besar.”
Yang memeranjatkan ialah bekas Menteri Besar Kedah, Mahadzir Khalid, yang negerinya jatuh kepada Pas masih dipilih. Dia dilihat sebagai antara pengikut setia Abdullah dan rakan akrab Khairy.
Kegagalan calon-calon wanita, kecuali Dr Norraesah Mohamad, memenangi kerusi MT mencetuskan kebimbangan mengenai cauvinisme kaum lelaki di dalam Umno.
Ini sangat berbahaya kerana Wanita dan Puteri memainkan peranan penting sebagai merayu sokongan.
Mohd Najib perlu memikirkan hal ini apabila melantik lima ahli tambahan dan mengisi jawatan-jawatan penting parti, termasuk di Ibu Pejabat Umno yang kini dilihat sebagai amat lemah.
Ibu Pejabat Umno perlu “dioverhaul” dan pelantikan lebih ramai penjawat utama Wanita dan Puteri dapat membantu proses pemulihan dan pemantapannya.
Kemenangan beberapa watak tertentu memberi gambaran wujudnya unsur kem yang mengaitkan mereka dengan Abdullah dan Khairy.
Ini sekali gus memberi kredibiliti kepada laporan media massa bahawa Abdullah memberi jaminan kepada Anwar Ibrahim dalam “pertemuan” mereka di Hulu Langat 10 Mac lalu yang dia (Abdullah) mempunyai pengikut setia yang akan mengawal Mohd Najib.
Pemenang seperti Mohd Zain Mohamed, Ismail Sabri Yaakob, Shaziman Mansor, Mahadzir Khalid, Awang Adik Husin, Abdul Azeez Abdul Rahim, Idris Jusoh dan Hamzah Zaunuddin dilihat sebagai cukup akrab dengan Abdullah, tetapi tidak semestinya dengan Khairy.
Saya sengaja menyebut peranan Khairy kerana dia sendiri pernah berkata dia mahu menjadi Perdana Menteri menjelang usia 40 tahun.
Namun ini tidak bermakna mereka akan meletakkan agenda peribadi Khairy atau mana-mana kelompok dalam Umno di atas agenda parti. Mereka pun tahu siapa bos sekarang.
Seperkara lagi yang sangat mendesak untuk pertimbangan Mohd Najib adalah mewujudkan dikotomi (pemisahan) antara Umno sebagai parti induk pemerintahan dengan Umno sebagai parti orang Melayu.
Dalam konteks ini, peranan “street fighters” dan pemikir Umno perlu dipisah dan dibezakan daripada peranan mereka dalam kerajaan. Wajib ada kumpulan pendesak yang efektif dalam Umno.
Dan adalah kesilapan besar jika Mohd Najib tunduk kepada tekanan dan memberikan jawatan kepada pesalah-pesalah rasuah/politik wang kerana ini akan mencemarkan imej Umno di mata ahli, penyokong dan rakyat jelata keseluruhannya.
Dan mereka mungkin mendera Umno dengan lebih teruk pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Secara kebetulan, khutbah Jumaat Masjid Negara hari ini menyeru kepemimpinan negara menolok pengamal rasuah dan pengamal politik Wang dalam pemerintahan.
Ramai pembesar Umno yang menghadiri perhimpunan agung bersolat Jumaat di situ. Kalau mereka tidak tertidur atau mengelamun, mereka pasti mendapat mesej itu! -http://akadirjasin.com/
Nota kaki: Shahrir Abdul Samad menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna setelah gagal dipilih semula sebagai ahli MT.
No comments:
Post a Comment