Monday, November 9, 2009

Asri perlu muhasabah diri

Jika benar bekas Mufti Perlis, Mohd Asri mempunyai banyak musuh, beliau tidak boleh menyalahkan orang lain kerana tidak sukakannya. Dan jika beliau ditangkap kerana berceramah tanpa tauliah, janganlah menyalahkan orang lain jika benar-benar beliau tidak mempunyai tauliah. Ada cerita kononnya ramai yang tidak suka beliau jadi Ketua Pengarah Yayasan Dakwah Malaysia (Yadim), jawatan yang telah ditawarkan kepadanya. Jika benar, tentulah kita ingin tahu kenapa mereka tidak sukakanya.


MAULANA ARRIF
4 November 2009

www.malaysiaaktif.com

Penangkapan bekas Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengejutkan banyak kalangan dan menjadi bahan percakapan umum.

Mengejutkan kerana JAIS menangkapnya atas tuduhan mengajar tanpa tauliah. Dan inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang bekas mufti ditangkap atas tuduhan mengajar tanpa tauliah.

Ramai yang mempersoal, perlukah seorang yang pernah menjadi mufti mendapat tauliah untuk berceramah mengenai agama sedangkan jawatan tersebut hanya boleh dipegang oleh seorang yang bertaraf `ulama’ dan sangat berkelayakan di bidang agama?

Bagaimanapun, dari sudut perundangan, sesiapa jua yang berceramah atau mengajar di khalayak umum mengenai agama mestilah memiliki tauliah dari pihak berkuasa berkenaan. Dalam kes Asri, pihak berkuasa ialah JAIS sebagaimana peruntukan dalam enakmen agama negeri Selangor.

Ia samalah seperti seorang pemandu kereta Formula One yang tidak terkecuali daripada keperluan memiliki lesen memandu biasa jika dia memandu di jalan raya.

Jika benar Asri tidak mempunyai tauliah daripada JAIS, maka tiada siapa yang boleh mempertikai tindakan penguatkuasa menangkapnya kerana berceramah tanpa kebenaran.

Asri sendiri hanya mempersoal mengapa beliau sahaja yang ditangkap sedangkan ramai orang lain yang berceramah tanpa tauliah.

Jawapan Asri itu samalah juga dengan jawapanseorang pemandu tanpa lesen yang ditahan. Layakkah si pemandu itu menyoal balik:`` Kenapa saya saja yang ditangkap...banyak lagi orang yang memandu tanpa lesen!’’

Adakah juga Asri bermaksud bahawa ada mufti atau bekas mufti atau ulama lain yang sekian lama beceramah tanpa tauliah di Selangor, tapi tidak pernah ditahan oleh JAIS.

Maka ini menimbulkan persoalan yang harus dijawab sendiri oleh Asri – kenapa beliau sahaja yang ditangkap?

Akhbar Inggeris theSun hari ini menyiarkan interbiu dengan Asri berhubung penangkapannya. Antara lain Asri ditanya: Apakah ada konspirasi? Pernahkah anda terfikir ia akan berlaku?

Jawapan Asri (terjemahan) ialah :`` Saya tahu satu hari sesuatu akan berlaku kerana saya bercakap terlalu banyak, tetapi saya tidak menjangka ia akan berlaku macam ini.’’

Bercakap terlalu banyak? Ramai juga penceramah lain yang bercakap terlalu banyak tetapi tidak ditangkap? Adakah Asri bermaksud beliau terlampau banyak menyinggung perasaan orang lain?

Kata Asri, beliau percaya banyak pihak yang tidak sukakannya termasuk kalangan ulama tua kerana beliau membawa fikiran baru (reformis) yang tidak tradisional dan konservatif. Adakah beliau seorang sahaja kalangan cerdik pandai agama yang berjiwa reformis? Tentu ada yang lain tetapi kenapa mereka tidak mencetuskan kontroversi seperti Asri?

Daripada perbualan dengan dua orang yang terkenal sebagai penulis agama dan sering juga dipanggil berceramah, Asri dikatakan mempunyai banyak musuh kerana percakapan dan tindak-tanduknya selalu menyinggung orang lain. Dua orang penulis agama itu turut menjadi sasaran serangan Asri di khalayak umum.

Penulis juga masih ingat betapa Asri pernah membidas seorang ustazah yang padanya telah bercakap mengenai seperkara yang tidak betul. Asri menyebut nama ustazah itu (juga terkenal dan selalu berceramah di TV) secara terbuka.

Tidakkah sebagai `ulama’ Asri sepatutnya membetulkan kesalahan ustazah itu dengan bercakap dengannya secara peribadi, bukannya dengan mengaibkannya di khalayak umum.

Lihatlah betapa selepas ditangkap pada Isnin lalu dan setelah ramai pemimpin politik turut menyuarakan rasa terkejut dan tidak setuju dengan penangkapannya, Timbalan Pengarah Pusat Latihan Jakim Zamihan Mat Zain dilaporkan mempertikai kelulusan Asri secara terbuka.

Jika benar Asri mempunyai banyak musuh, beliau tidak boleh menyalahkan orang lain kerana tidak sukakannya. Dan jika beliau ditangkap kerana berceramah tanpa tauliah, janganlah menyalahkan orang lain jika benar-benar beliau tidak mempunyai tauliah.

Ada cerita kononnya ramai yang tidak suka beliau jadi Ketua Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), jawatan yang telah ditawarkan kepadanya. Jika benar, tentulah kita ingin tahu kenapa mereka tidak sukakanya.

Kononnya Asri membawa fahaman Wahabi dan menolak fahaman empat mazhab yang mampan termasuk Shafie. Betulkah? Asri secara terbuka berkata adalah tidak adil untuk menuduhnya berfahaman Wahabi semata-mata kerana pendiriannya dalam beberapa perkara sama dengan fahaman yang berasal dari Arab Saudi itu, sedangkan dalam beberapa hal lain beliau tidak bersetuju ajaran Wahabi. Bolehkah Asri jelaskan apa yang beliau setuju dan tidak setuju secara lebih terperinci dan terbuka dalam tulisannya di Mingguan Malaysia.

Ekoran penangkapan Asri, Perdana Menteri Mohd Najib dengan segera telah menyatakan bahawa kerajaan pusat tiada kena mengena dengan tindakan JAIS itu. Beberapa tokoh politik PKR juga menafikan bahawa tindakan tersebut dibuat atas arahan kerajaan negeri.

Orang yang patut mengeluarkan penjelasan ialah Datuk Hassan Ali, exco kerajaan Selangor dari Pas yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal agama. Tetapi beliau belum mengeluarkan kenyataan. Setakat ini kenyataan rasmi JAIS datang hanya daripada pengarahnya, pegawai kerajaan yang bukannya orang politik.

Apa pun andaian yang dibuat berhubung penangkapan Asri, bekas Mufti Perlis itu tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ramai juga yang tidak sukakannya, walaupun ramai kalangan umum yang menggemari tulisannya dalam Mingguan Malaysia dan program TVnya di saluran Oasis (Astro).

Maka janganlah Asri asyik mengkritik dan menyalahkan orang lain, tetapi tidak pernah muhasabah dirinya sendiri. Tiada manusia yang sempurna walau setinggi mana sekalipun ilmunya. – malaysiaktif.com

No comments: