Wednesday, February 20, 2013

Isu Kalimah Allah: Pas Berkecamuk

Muhd Irfan

 Isu kalimah Allah yang menjadi pertikaian Pas dengan Dap tidak mendapat liputan lidah rasmi Pas sama ada menerusi akhbar harakah mahu pun portal beritanya, harakahonline sebaliknya isu tersebut lebih banyak disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana sekali gus menimbulkan persoalan, sejauh mana pendirian penyokong dan penerimaan ahli-ahli Pas dalam isu tersebut?


 Walaupun Pas menganggap isu tersebut sudah selesai berikutan keputusan yang dikeluarkan oleh Majis Syura Ulama, tindakan Pengerusi Dap Karpal Singh yang terus membangkitkan, mempersoalkan dan mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama itu memaksa beberapa pemimpin ulama Pas lantang bersuara. Jika dilihat, hanya beberapa pemimpin parti itu seperti Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sahaja yang tampil secara konsisten mempertahankan keputusan tersebut.

 Namun beberapa pemimpin kanan parti itu memilih untuk berdiam diri termasuk Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Naib-naib Presiden seperti Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub. Cuma Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat senada dengan pendirian Harun Taib dan Haron Din. Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin ada sebab untuk berdiam diri setelah menyedari kesilapan mereka membelakangnkan Majlis Syura sebelum ini. Tetapi bagaimana dengan pemimpin-pemimpin tertinggi lain dalam parti itu yang sepatutnya tampil dan berani untuk menyokong pendirian Dewan Ulama dan Majlis Syura jika mereka berasakan perjuangan dan pendirian Pas perlu dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun.

 Apakah mereka diarah untuk berdiam diri atau mengambil jalan tengah untuk mengelak timbulnya konflik yang lebih parah antara parti itu dengan sekutu dalam gabungan pembangkang. Pendirian sesetengah pemimpin Pas yang memilih pendekatan membisu serta tindakan dua lidah rasmi pas yang memilih tidak memuatkan kenyataan-kenyataan pemimpin ulama mereka dalam pertikaian dengan Karpal Singh menimbulkan banyak persoalan.

 Memandangkan kenyataan-kenyataan Harun Taib dan Haron Din lebih banyak disiarkan di akhbar arus perdana sedangkan umum mengetahui pengikut dan penyokong Pas sudah lama mengkuburkan akhbar-akhbar yang dianggap menjadi agen dan propaganda kerajaan itu, persoalan yang ingin dibangkitkan di sini adalah sejauh mana penyokong Pas mengetahui akan isu tersebut. Apakah akhbar harakan juga turut menerima arahan agar tidak menyiarkan kenyataan-kenyataan itu semata-mata untuk menjaga kepentingan parti tanpa mengambil kira kesannya terhadap dasar dan perjuangan Pas selama ini dan perlunya perkara itu disebarkan ke peringkat akar umbi?

 Jika Hadi Awang atau Nik Aziz berdepan dengan kesukaran untyuk mengetengahkan pendirian Majlis Syura Ulama di peringkat tertinggi gabungan pembangkang, pemimpin-pemimpin Pas dan akhbar harakah perlu lebih berani dan mencontohi ketegasan Harun Taib dan Haron Din.

Pendirian sesetengah pemimpin dalam Pas yang memilih sikap membisu jelas memberi gambaran tentang situasi sebenar dalam Pas ketika ini yang berkecamuk ekoran dominasi golongan parasit dalam parti itu.

No comments: