Muhd Irfan
Tindakan Pas meminda perlembagaan parti itu untuk menaik taraf kelab penyokong kepada sayap parti bagi membolehkan ahli bukan Islam bertanding secara langsung di bawah tiket parti itu tidak lebih daripada satu pendekatan untuk membalas sokongan masyarakat bukan Islam tetapi apakah pendekatan itu bertepatan dengan prinsip perjuangan parti itu malah apakah ia juga mendapat restu penyokong akar umbi?
Pilihan raya kali ini, menyaksikan Pas mencatat sejarah apabila mengumumkan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (PSC), Hu Pang Chow untuk bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam di Johor sekali gus menjadikan beliau sebagai calon bukan beragama Islam pertama yang dibenarkan bertanding secara langsung menggunakan tiket Pas walaupun sebelum ini Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong Pas, Kumutha a/p Raman bertanding tetapi menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Hu dijangka berdepan dengan Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong dan tindakan Pas meletakkan Hu di kerusi Parlimen Ayer Hitam bertujuan untuk memecah undi pengundi Cina yang selama ini menyokong MCA, sama seperti mana tindakan pakatan pembangkang meletakkan Lim Kit Siang untuk bertanding di Kawasan Parlimen Gelang Patah.
Pembangkang merasakan peluang Pas dan Dap untuk mengubah landskap politik Johor lebih cerah berbanding PKR kerana asas kedua-dua parti tersebut lebih meyakinkan dengan menjadikan pengundi Cina dan Melayu sebagai sasaran untuk mengusik undi UMNO dan MCA. Jika dilihat, baik Pas dan DAP, masing-masing berusaha meletakkan calon-calon mereka di kawasan-kawasan yang memungkinkan mereka untuk menang terutama di kerusi majoriti pengundi Melayu dan Cina.
Dengan kedudukan PKR di Johor yang agak goyah dan prestasi yang ditunjukkan oleh parti itu pada pilihan raya 2008, PKR dilihat tidak mempunyai peluang untuk memecah undi Melayu dan Cina sebagai mana kekuatan yang dimiliki oleh Pas dan DAP.
Malah DAP sendiri sudah pasti ingin mempertahankan kerusi Parlimen Bakri dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bentayan, Mengkibol, Senai dan Skudai. Sementara Pas yang sudah mula bertapak di Johor juga berhasrat untuk menambah kerusi setelah berjaya menawan DUN Sungai Abong dan Maharani.
Jelas dalam pembahagian kerusi di Johor, Pas mendahului sekutu dalam pakatan pembangkang di mana DAP dan PKR sehingga ke hari ini masih belum mengemukakan senarai calon mereka yang akan bertanding di Johor selain, Lim Kit Siang di Gelang Patah dan Chua Jui Meng di Parlimen Segamat.
Kali ini Pas mengumumkan akan bertanding di lapan Parlimen dan 30 kerusi DUN di negeri Johor di mana kerusi-kerusi Parlimen tersebut adalah Ayer Hitam, Pagoh, Parit Sulong, Kota Tinggi, Pulai, Simpang Renggam, Tenggara dan Mersing – menjadikan sehingga kini Pas mendapat pengagihan kerusi paling banyak di Johor.
Namun di sebalik semua itu, tindakan Pas mencalonkan bukan Islam sebagai calon kali ini tetap menimbulkan persoalan dan apakah keputusan itu dapat diterima oleh penyokong Pas terutama jika kita merujuk kepada isu-isu yang membabitkan kepentingan Islam yang dibangkitkan oleh orang bukan Islam yang gagal diselesaikan oleh Pas malah menimbulkan kemarahan penyokong Pas sendiri.
Apakah sudah tidak ada tokoh di kalangan pemimpin Pas yang lebih layak untuk menggalas tugas dan amanah tersebut? Sebagai sebuah parti yang mengaku berteraskan Islam dan meletakkan kepentingan Islam melebihi segala-galanya, apakah tindakan Pas meminda perlembagaan parti itu sebagai langkah terdesak sehingga sanggup mengorbankan prinsip semata-mata untuk mengejar kuasa dan pengaruh?
Sunday, April 14, 2013
Friday, April 12, 2013
Moral Pemimpin: Rakyat Berhak Untuk Tahu
Muhd Irfan
Penyiaran beberapa klip video lucah yang didakwa membabitkan
beberapa pemimpin pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, menjadikan
kempen pilihan raya kali ini tidak lagi tertumpu pada edaran risalah atau
ceramah seperti mana lazimnya sebaliknya kempen melalui media siber dianggap
sebagai kempen paling efektif, berkesan dan senjata paling pantas untuk
membunuh karier politik seseorang pemimpin.
Walaupun kita tidak menafikan sebahagiannya berupa fitnah
dan berniat jahat, namun kita tidak boleh menolak hakikat bahawa ada
sebahagiannya juga adalah kebenaran. Sejauh mana kita menerima dan menolak
semua itu terpulang kepada kebijaksanaan kita untuk menilai dan membebaskan
diri dan minda kita daripada dikongkong oleh sikap taksub, emosi dan sentimen.
Meskipun banyak pihak
menolak amalan menggunakan politik lucah sebagai kempen pilihan raya namun
pendekatan ini semakin menjadi-jadi dan menjadi pilihan mereka yang
berkepentingan dengan satu matlamat iaitu untuk menjatuhkan pemimpin yang
didakwa terbabit sekali gus menghilangkan keyakinan dan rasa hormat masyarakat
terhadap parti yang diwakili pemimpin terbabit. Sememangnya ia tidak memilih
pemimpin, tidak kira lah sama ada di pihak pembangkang atau sebaliknya.
Sama ada ia benar berlaku atau di manipulasi, ia bukan lagi
menjadi persoalan. Bagi mereka yang percaya, perkara itu sedikit sebanyak akan
mengubah pandangan mereka terhadap pemimpin tersebut. Bagi yang taksub kepada
pemimpin dan parti, berhujah lah dengan apa cara sekali pun atau tunjukkan lah
bukti yang sememangnya tidak boleh disangkal, mereka tetap tidak akan percaya.
Maka keluarlah berbagai-bagai-bagai tuduhan dan dakwaan kononnya wujud sabotaj
atau permainan politik kotor pihak lawan.
Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah, bukan soal
penyebaran klip video tersebut tetapi yang ingin diketahui oleh masyarakat
adalah kebenarannya. Memang daripada segi etikanya dan dalam konteks keyakinan
beragama, penyebaran yang bertujuan untuk mengaibkan seseorang adalah dilarang
oleh agama apatah lagi ia dijadikan bahan tontonan umum untuk menjatuhkan
maruah seseorang.
Memang dalam soal ini seseorang boleh sahaja menganggap ia
sebagai satu isu peribadi dan tidak ada kaitan dengan kepentingan politik dan
negara. Tetapi sebagai seorang pemimpin dan dikaitkan dan dituduh pula terbabit
dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya terutama berkaitan dengan soal
moral dan akhlak, rakyat berhak juga untuk mengetahui kerana rakyat dan
pemimpin ibarat aur dengan tebing – saling memerlukan dan bergantung antara
satu sama lain.
Jika pemimpin-pemimpin yang dikaitkan dengan isu-isu moral
sebegini memilih untuk bersikap berdiam diri, berdolak dalih dan menunding jari
ke pada pihak lain, ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah apatah lagi
untuk membersihkan nama. Jika mereka berasa berada di pihak yang benar,
merasakan diri mereka dianiaya, mengapa mereka perlu takut untuk tampil
membersihkan nama.
Dalam soal ini juga rakyat perlu terbuka dan jangan menutup
minda mereka dengan kebenaran jika apa yang mereka lihat dan ketahui
sememangnya benar. Tidak ada gunanya untuk menegakkan benang basah. Politik
bukan semata-mata berkisar kepada soal kesetiaan mahupun ketaksuban tetapi
politik memerlukan kita untuk bersikap terbuka, bebas untuk menilai dan jangan
membiarkan diri dipengaruhi oleh sentimen dan emosi sehingga membuatkan diri
kita berperang antara untuk menegakkan kebenaran dan menjunjung kepalsuan
semata-mata kerana taksub.
Tidak kiranya di mana kecenderungan fahaman politik kita,
sokongan perlu berlandaskan kepada hakikat dan kebenaran. Tidak salah untuk
menolak pemimpin jika kita sendiri yakin mereka tidak bersih kerana dalam soal
memilih pemimpin, ia bukan sekadar satu tanggungjawab untuk membolehkan
sesebuah kerajaan dibentuk tetapi juga adalah satu kemestian dan menjadi
tuntutan.
Subscribe to:
Posts (Atom)