Muhd Irfan
Penyiaran beberapa klip video lucah yang didakwa membabitkan
beberapa pemimpin pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, menjadikan
kempen pilihan raya kali ini tidak lagi tertumpu pada edaran risalah atau
ceramah seperti mana lazimnya sebaliknya kempen melalui media siber dianggap
sebagai kempen paling efektif, berkesan dan senjata paling pantas untuk
membunuh karier politik seseorang pemimpin.
Walaupun kita tidak menafikan sebahagiannya berupa fitnah
dan berniat jahat, namun kita tidak boleh menolak hakikat bahawa ada
sebahagiannya juga adalah kebenaran. Sejauh mana kita menerima dan menolak
semua itu terpulang kepada kebijaksanaan kita untuk menilai dan membebaskan
diri dan minda kita daripada dikongkong oleh sikap taksub, emosi dan sentimen.
Meskipun banyak pihak
menolak amalan menggunakan politik lucah sebagai kempen pilihan raya namun
pendekatan ini semakin menjadi-jadi dan menjadi pilihan mereka yang
berkepentingan dengan satu matlamat iaitu untuk menjatuhkan pemimpin yang
didakwa terbabit sekali gus menghilangkan keyakinan dan rasa hormat masyarakat
terhadap parti yang diwakili pemimpin terbabit. Sememangnya ia tidak memilih
pemimpin, tidak kira lah sama ada di pihak pembangkang atau sebaliknya.
Sama ada ia benar berlaku atau di manipulasi, ia bukan lagi
menjadi persoalan. Bagi mereka yang percaya, perkara itu sedikit sebanyak akan
mengubah pandangan mereka terhadap pemimpin tersebut. Bagi yang taksub kepada
pemimpin dan parti, berhujah lah dengan apa cara sekali pun atau tunjukkan lah
bukti yang sememangnya tidak boleh disangkal, mereka tetap tidak akan percaya.
Maka keluarlah berbagai-bagai-bagai tuduhan dan dakwaan kononnya wujud sabotaj
atau permainan politik kotor pihak lawan.
Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah, bukan soal
penyebaran klip video tersebut tetapi yang ingin diketahui oleh masyarakat
adalah kebenarannya. Memang daripada segi etikanya dan dalam konteks keyakinan
beragama, penyebaran yang bertujuan untuk mengaibkan seseorang adalah dilarang
oleh agama apatah lagi ia dijadikan bahan tontonan umum untuk menjatuhkan
maruah seseorang.
Memang dalam soal ini seseorang boleh sahaja menganggap ia
sebagai satu isu peribadi dan tidak ada kaitan dengan kepentingan politik dan
negara. Tetapi sebagai seorang pemimpin dan dikaitkan dan dituduh pula terbabit
dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya terutama berkaitan dengan soal
moral dan akhlak, rakyat berhak juga untuk mengetahui kerana rakyat dan
pemimpin ibarat aur dengan tebing – saling memerlukan dan bergantung antara
satu sama lain.
Jika pemimpin-pemimpin yang dikaitkan dengan isu-isu moral
sebegini memilih untuk bersikap berdiam diri, berdolak dalih dan menunding jari
ke pada pihak lain, ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah apatah lagi
untuk membersihkan nama. Jika mereka berasa berada di pihak yang benar,
merasakan diri mereka dianiaya, mengapa mereka perlu takut untuk tampil
membersihkan nama.
Dalam soal ini juga rakyat perlu terbuka dan jangan menutup
minda mereka dengan kebenaran jika apa yang mereka lihat dan ketahui
sememangnya benar. Tidak ada gunanya untuk menegakkan benang basah. Politik
bukan semata-mata berkisar kepada soal kesetiaan mahupun ketaksuban tetapi
politik memerlukan kita untuk bersikap terbuka, bebas untuk menilai dan jangan
membiarkan diri dipengaruhi oleh sentimen dan emosi sehingga membuatkan diri
kita berperang antara untuk menegakkan kebenaran dan menjunjung kepalsuan
semata-mata kerana taksub.
Tidak kiranya di mana kecenderungan fahaman politik kita,
sokongan perlu berlandaskan kepada hakikat dan kebenaran. Tidak salah untuk
menolak pemimpin jika kita sendiri yakin mereka tidak bersih kerana dalam soal
memilih pemimpin, ia bukan sekadar satu tanggungjawab untuk membolehkan
sesebuah kerajaan dibentuk tetapi juga adalah satu kemestian dan menjadi
tuntutan.
No comments:
Post a Comment