Sunday, April 14, 2013

Apakah Rasional Pas Letak Calon Bukan Islam?

Muhd Irfan

 Tindakan Pas meminda perlembagaan parti itu untuk menaik taraf kelab penyokong kepada sayap parti bagi membolehkan ahli bukan Islam bertanding secara langsung di bawah tiket parti itu tidak lebih daripada satu pendekatan untuk membalas sokongan masyarakat bukan Islam tetapi apakah pendekatan itu bertepatan dengan prinsip perjuangan parti itu malah apakah ia juga mendapat restu penyokong akar umbi?

 Pilihan raya kali ini, menyaksikan Pas mencatat sejarah apabila mengumumkan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (PSC), Hu Pang Chow untuk bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam di Johor sekali gus menjadikan beliau sebagai calon bukan beragama Islam pertama yang dibenarkan bertanding secara langsung menggunakan tiket Pas walaupun sebelum ini Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong Pas, Kumutha a/p Raman bertanding tetapi menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hu dijangka berdepan dengan Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong dan tindakan Pas meletakkan Hu di kerusi Parlimen Ayer Hitam bertujuan untuk memecah undi pengundi Cina yang selama ini menyokong MCA, sama seperti mana tindakan pakatan pembangkang meletakkan Lim Kit Siang untuk bertanding di Kawasan Parlimen Gelang Patah.

 Pembangkang merasakan peluang Pas dan Dap untuk mengubah landskap politik Johor lebih cerah berbanding PKR kerana asas kedua-dua parti tersebut lebih meyakinkan dengan menjadikan pengundi Cina dan Melayu sebagai sasaran untuk mengusik undi UMNO dan MCA. Jika dilihat, baik Pas dan DAP, masing-masing berusaha meletakkan calon-calon mereka di kawasan-kawasan yang memungkinkan mereka untuk menang terutama di kerusi majoriti pengundi Melayu dan Cina. Dengan kedudukan PKR di Johor yang agak goyah dan prestasi yang ditunjukkan oleh parti itu pada pilihan raya 2008, PKR dilihat tidak mempunyai peluang untuk memecah undi Melayu dan Cina sebagai mana kekuatan yang dimiliki oleh Pas dan DAP.

 Malah DAP sendiri sudah pasti ingin mempertahankan kerusi Parlimen Bakri dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bentayan, Mengkibol, Senai dan Skudai. Sementara Pas yang sudah mula bertapak di Johor juga berhasrat untuk menambah kerusi setelah berjaya menawan DUN Sungai Abong dan Maharani.

 Jelas dalam pembahagian kerusi di Johor, Pas mendahului sekutu dalam pakatan pembangkang di mana DAP dan PKR sehingga ke hari ini masih belum mengemukakan senarai calon mereka yang akan bertanding di Johor selain, Lim Kit Siang di Gelang Patah dan Chua Jui Meng di Parlimen Segamat. Kali ini Pas mengumumkan akan bertanding di lapan Parlimen dan 30 kerusi DUN di negeri Johor di mana kerusi-kerusi Parlimen tersebut adalah Ayer Hitam, Pagoh, Parit Sulong, Kota Tinggi, Pulai, Simpang Renggam, Tenggara dan Mersing – menjadikan sehingga kini Pas mendapat pengagihan kerusi paling banyak di Johor.

 Namun di sebalik semua itu, tindakan Pas mencalonkan bukan Islam sebagai calon kali ini tetap menimbulkan persoalan dan apakah keputusan itu dapat diterima oleh penyokong Pas terutama jika kita merujuk kepada isu-isu yang membabitkan kepentingan Islam yang dibangkitkan oleh orang bukan Islam yang gagal diselesaikan oleh Pas malah menimbulkan kemarahan penyokong Pas sendiri.

 Apakah sudah tidak ada tokoh di kalangan pemimpin Pas yang lebih layak untuk menggalas tugas dan amanah tersebut? Sebagai sebuah parti yang mengaku berteraskan Islam dan meletakkan kepentingan Islam melebihi segala-galanya, apakah tindakan Pas meminda perlembagaan parti itu sebagai langkah terdesak sehingga sanggup mengorbankan prinsip semata-mata untuk mengejar kuasa dan pengaruh?

Friday, April 12, 2013

Moral Pemimpin: Rakyat Berhak Untuk Tahu


Muhd Irfan



Penyiaran beberapa klip video lucah yang didakwa membabitkan beberapa pemimpin pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, menjadikan kempen pilihan raya kali ini tidak lagi tertumpu pada edaran risalah atau ceramah seperti mana lazimnya sebaliknya kempen melalui media siber dianggap sebagai kempen paling efektif, berkesan dan senjata paling pantas untuk membunuh karier politik seseorang pemimpin.


Walaupun kita tidak menafikan sebahagiannya berupa fitnah dan berniat jahat, namun kita tidak boleh menolak hakikat bahawa ada sebahagiannya juga adalah kebenaran. Sejauh mana kita menerima dan menolak semua itu terpulang kepada kebijaksanaan kita untuk menilai dan membebaskan diri dan minda kita daripada dikongkong oleh sikap taksub, emosi dan sentimen.


Meskipun  banyak pihak menolak amalan menggunakan politik lucah sebagai kempen pilihan raya namun pendekatan ini semakin menjadi-jadi dan menjadi pilihan mereka yang berkepentingan dengan satu matlamat iaitu untuk menjatuhkan pemimpin yang didakwa terbabit sekali gus menghilangkan keyakinan dan rasa hormat masyarakat terhadap parti yang diwakili pemimpin terbabit. Sememangnya ia tidak memilih pemimpin, tidak kira lah sama ada di pihak pembangkang atau sebaliknya.


Sama ada ia benar berlaku atau di manipulasi, ia bukan lagi menjadi persoalan. Bagi mereka yang percaya, perkara itu sedikit sebanyak akan mengubah pandangan mereka terhadap pemimpin tersebut. Bagi yang taksub kepada pemimpin dan parti, berhujah lah dengan apa cara sekali pun atau tunjukkan lah bukti yang sememangnya tidak boleh disangkal, mereka tetap tidak akan percaya. Maka keluarlah berbagai-bagai-bagai tuduhan dan dakwaan kononnya wujud sabotaj atau permainan politik kotor pihak lawan.


Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah, bukan soal penyebaran klip video tersebut tetapi yang ingin diketahui oleh masyarakat adalah kebenarannya. Memang daripada segi etikanya dan dalam konteks keyakinan beragama, penyebaran yang bertujuan untuk mengaibkan seseorang adalah dilarang oleh agama apatah lagi ia dijadikan bahan tontonan umum untuk menjatuhkan maruah seseorang.


Memang dalam soal ini seseorang boleh sahaja menganggap ia sebagai satu isu peribadi dan tidak ada kaitan dengan kepentingan politik dan negara. Tetapi sebagai seorang pemimpin dan dikaitkan dan dituduh pula terbabit dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya terutama berkaitan dengan soal moral dan akhlak, rakyat berhak juga untuk mengetahui kerana rakyat dan pemimpin ibarat aur dengan tebing – saling memerlukan dan bergantung antara satu sama lain.


Jika pemimpin-pemimpin yang dikaitkan dengan isu-isu moral sebegini memilih untuk bersikap berdiam diri, berdolak dalih dan menunding jari ke pada pihak lain, ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah apatah lagi untuk membersihkan nama. Jika mereka berasa berada di pihak yang benar, merasakan diri mereka dianiaya, mengapa mereka perlu takut untuk tampil membersihkan nama.


Dalam soal ini juga rakyat perlu terbuka dan jangan menutup minda mereka dengan kebenaran jika apa yang mereka lihat dan ketahui sememangnya benar. Tidak ada gunanya untuk menegakkan benang basah. Politik bukan semata-mata berkisar kepada soal kesetiaan mahupun ketaksuban tetapi politik memerlukan kita untuk bersikap terbuka, bebas untuk menilai dan jangan membiarkan diri dipengaruhi oleh sentimen dan emosi sehingga membuatkan diri kita berperang antara untuk menegakkan kebenaran dan menjunjung kepalsuan semata-mata kerana taksub.


Tidak kiranya di mana kecenderungan fahaman politik kita, sokongan perlu berlandaskan kepada hakikat dan kebenaran. Tidak salah untuk menolak pemimpin jika kita sendiri yakin mereka tidak bersih kerana dalam soal memilih pemimpin, ia bukan sekadar satu tanggungjawab untuk membolehkan sesebuah kerajaan dibentuk tetapi juga adalah satu kemestian dan menjadi tuntutan.

Monday, March 11, 2013

Tindakan Bapa Saiful Mohon Maaf Pada Anwar Ibrahim Cetuskan Persoalan

Mohd Irfan

Pengakuan Azlan Mohd Lazim bahawa anaknya, Saiful Bukhari dipergunakan dalam konspirasi menjatuhkan imej, maruah dan karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat mencetuskan banyak persoalan terutama berhubung niat sebenar Azlan membangkitkan isu tersebut setelah hampir empat tahun kes tersebut selesai dibicarakan. Azlan dalam satu sidang media tertutup di Taman Melati, Gombak, mendakwa anaknya dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu sambil memohon maaf kepada Anwar Ibrahim kerana dakwaan yang dibuat oleh anaknya itu adalah satu konspirasi jahat untuk memenjarakan Anwar buat kali kedua.

 Sementara Saiful dalam kenyataannya telah melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan tindakan bapanya dan menganggap bapanya menjadi mangsa politik Anwar dan sesekali tidak akan berganjak dengan dakwaan beliau selama ini sambil memberi amaran kepada Anwar agar tidak mengheret bapanya dalam masalah yang beliau hadapi.

 Isu itu kembali mendapat tempat di beberapa laman media sosial sehingga menenggelamkan sedikit kejadian pencerobohan tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu. Banyak spekulasi ditimbulkan tentang pengakuan dan tindakan Azlan itu terutama apa sebenarnya yang mendorong beliau sehingga sanggup membelakangkan anak sendiri dan menukar pengakuannya yang selama ini bermati-matian mempertahankan darah dagingnya?




 Malah ada pihak yang menganggap kenyataan Azlan itu bukan lah sesuatu yang memeranjatkan. Presiden Jati Malaysia, Dato Dr Hasan Ali dalam satu kenyataannya menganggap kredebiliti Azlan sendiri boleh dipersoalkan kerana banyak laporan sebelum ini mendakwa Azlan sebagai orang yang banyak masalah. Begitu juga dengan satu laporan yang pernah disiarkan di laman blog chegubard.blogspot yang turut menyiarkan dengan panjang lebar siapa sebenarnya Azlan.

Laporan yang disiarkan pada 9 Mei 2010 itu yang dipetik daripada email seorang pembaca yang mahu dikenali sebagai Dr.Hiadayah Jr. menceritakan tentang secara panjang lebar siapa sebenarnya Azlan Mohd Lazim. Artikel itu ditulis untuk menceritakan keburukkan Azlan dengan tujuan untuk menjejaskan kredebiliti beliau yang ketika itu tampil mempertahankan Saiful dalam dakwaan kes liwat membabitkan Anwar Ibrahim. Pautan laporan itu boleh dilihat seperti berikut; http://chegubard.blogspot.com/2010/05/bapa-saiful-kaki-judi-pernah-cuba.html

 Jika laporan yang pernah disiarkan di blog chegubard wujud kebenarannya, tindakan Azlan yang membuat pusingan U untuk tidak mempertahankan darah dagingnya atas alasan ia berupa fitnah dan berniat jahat dan merupakan perancangan rapi musuh-musuh politik Anwar Ibrahim, ia pasti menimbulkan banyak tanda tanya.

 Soalnya, kenapa baru sekarang beliau sedar dan tidak mahu bersekongkol sedangkan pada awalnya beliau begitu beria-ia mempertahankan anaknya dan merestui Saiful untuk melakukan sumpah laknat untuk mempertahankan dakwaannya?

Friday, March 8, 2013

Tian Chua Perlu Bertanggungjawab Atas Kenyataannya

Mohd Irfan

 Setakat ini sebanyak 766 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Tian Chua namun Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tetap enggan memohon maaf terhadap UMNO atau menarik balik kenyataan beliau yang mengaitkan pencerobohan tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu sebagai sandiwara UMNO sebaliknya mengancam untuk menyaman mereka yang terus menyebarkan berita yang beliau dakwa sebagai palsu.

 Jika Tian Chua menafikan pernah berucap di Puchong dengan menyifatkan pengorbanan anggota keselamatan di Lahad Datu sebagai ‘Komando Mati Katak’ dan menganggap kenyataan itu sebagai fitnah dan pembohongan jahat pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadapnya, bagaimana pula dengan kenyataan beliau yang mengaitkan pencerobohan pengganas di Sabah sebagai sandiwara UMNO?

 Apa yang ingin dipersoalkan oleh rakyat negara ini bukan mengenai kenyataan beliau di Puchong seperti yang dilaporkan oleh media dan mungkin juga kenyataan itu tidak mempunyai bukti kukuh. Tetapi bagaimana pula dengan kenyataan beliau seperti mana yang disiarkan oleh lidah rasmi portal PKR, KeadilanDaily pada 1 Mac lalu.

 Laporan itu menyebut, beliau mendakwa serangan pihak berkuasa ke atas pengganas Sulu di Lahad Datu merupakan konspirasi terancang UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat. Malah pada hari yang sama Naib Presiden PKR itu turut menulis: "Pertempuran tercetus dengan penceroboh Sulu? Ia hanyalah drama Wag the Dog (filem Hollywood) yang berterusan. Ingat (kejadian) Al Maunah di Sauk?" di akaun Twitternya.



 Adalah jelas bahawa kedua-dua kenyataan itu keluar daripada mulut beliau dan bukan laporan palsu berniat untuk mencemarkan imej beliau. Jadi bagaimana beliau menganggap laporan itu sebagai satu fitnah dan menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu sedangkan ia turut dilaporkan oleh portal propembangkang, KeadilanDaily.com. Tian Chua tidak perlu untuk menyalahkan pihak lain atas ketelanjurannya apatah lagi untuk menegakkan benang basah kerana semuanya sudah jelas.

Tidak perlu juga beliau mendakwa bahawa kenyataannya telah disalah tafsir atau disalah faham untuk mempertahankan diri. Tidak ada gunanya untuk terus mempertahankan kenyataan yang sememangnya sudah terbukti sebaliknya beliau perlu memikul tanggungjawab itu dengan membuat permohonan maaf kepada UMNO dan seluruh rakyat Malaysia terutama keluarga anggota keselamatan yang terkorban kerana ia membabitkan isu maruah dan kedaulatan negara.

 Pencerobohan pasukan bersenjata asing di Sabah adalah soal kedaulatan negara dan jika beliau taksub sekali pun dengan perjuangan politik beliau, Tian Chua perlu lebih berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan. Lebih penting adalah untuk menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang terkorban dan pasukan keselamatan keseluruhannya kerana dakwaan beliau itu seakan menunjukkan pasukan keselamatan negara ini mudah untuk dipergunakan untuk tujuan dan kepentingan politik.

 Selagi beliau tidak memohon maaf dan mengakui ketelanjurannya, selagi itu lah kemarahan rakyat Malaysia tidak akan dapat diredakan. Kemarahan rakyat terhadap beliau jelas dapat dilihat menerusi laporan polis yang dibuat hampir setiap hari terhadap beliau. Sehingga petang semalam, Selangor mencatat bilangan laporan tertinggi iaitu sebanyak 252 laporan diikuti Kedah (122), Terengganu (91) dan Kelantan (59).

Wednesday, February 20, 2013

Isu Kalimah Allah: Pas Berkecamuk

Muhd Irfan

 Isu kalimah Allah yang menjadi pertikaian Pas dengan Dap tidak mendapat liputan lidah rasmi Pas sama ada menerusi akhbar harakah mahu pun portal beritanya, harakahonline sebaliknya isu tersebut lebih banyak disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana sekali gus menimbulkan persoalan, sejauh mana pendirian penyokong dan penerimaan ahli-ahli Pas dalam isu tersebut?


 Walaupun Pas menganggap isu tersebut sudah selesai berikutan keputusan yang dikeluarkan oleh Majis Syura Ulama, tindakan Pengerusi Dap Karpal Singh yang terus membangkitkan, mempersoalkan dan mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama itu memaksa beberapa pemimpin ulama Pas lantang bersuara. Jika dilihat, hanya beberapa pemimpin parti itu seperti Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sahaja yang tampil secara konsisten mempertahankan keputusan tersebut.

 Namun beberapa pemimpin kanan parti itu memilih untuk berdiam diri termasuk Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Naib-naib Presiden seperti Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub. Cuma Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat senada dengan pendirian Harun Taib dan Haron Din. Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin ada sebab untuk berdiam diri setelah menyedari kesilapan mereka membelakangnkan Majlis Syura sebelum ini. Tetapi bagaimana dengan pemimpin-pemimpin tertinggi lain dalam parti itu yang sepatutnya tampil dan berani untuk menyokong pendirian Dewan Ulama dan Majlis Syura jika mereka berasakan perjuangan dan pendirian Pas perlu dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun.

 Apakah mereka diarah untuk berdiam diri atau mengambil jalan tengah untuk mengelak timbulnya konflik yang lebih parah antara parti itu dengan sekutu dalam gabungan pembangkang. Pendirian sesetengah pemimpin Pas yang memilih pendekatan membisu serta tindakan dua lidah rasmi pas yang memilih tidak memuatkan kenyataan-kenyataan pemimpin ulama mereka dalam pertikaian dengan Karpal Singh menimbulkan banyak persoalan.

 Memandangkan kenyataan-kenyataan Harun Taib dan Haron Din lebih banyak disiarkan di akhbar arus perdana sedangkan umum mengetahui pengikut dan penyokong Pas sudah lama mengkuburkan akhbar-akhbar yang dianggap menjadi agen dan propaganda kerajaan itu, persoalan yang ingin dibangkitkan di sini adalah sejauh mana penyokong Pas mengetahui akan isu tersebut. Apakah akhbar harakan juga turut menerima arahan agar tidak menyiarkan kenyataan-kenyataan itu semata-mata untuk menjaga kepentingan parti tanpa mengambil kira kesannya terhadap dasar dan perjuangan Pas selama ini dan perlunya perkara itu disebarkan ke peringkat akar umbi?

 Jika Hadi Awang atau Nik Aziz berdepan dengan kesukaran untyuk mengetengahkan pendirian Majlis Syura Ulama di peringkat tertinggi gabungan pembangkang, pemimpin-pemimpin Pas dan akhbar harakah perlu lebih berani dan mencontohi ketegasan Harun Taib dan Haron Din.

Pendirian sesetengah pemimpin dalam Pas yang memilih sikap membisu jelas memberi gambaran tentang situasi sebenar dalam Pas ketika ini yang berkecamuk ekoran dominasi golongan parasit dalam parti itu.

Monday, February 18, 2013

Gambaran Anwar lebih hebat hanya mainan persepsi Malaysiakini

Kehadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke rumah terbuka anjuran Dong Zong semalam telah dilaporkan oleh portal Malaysiakini.com mendapat sambutan yang lebih meriah dari penyokong pakatan rakyat berbanding dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 Namun kehadiran Anwar tidak sambut dengan tarian singa oleh tuan rumah berbanding yang telah diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Hanya laungan ‘Reformasi’dan tepukan dari penyokong mengiringi kehadiran Anwar.



 Niat portal Malaysiakini menggambarkan Anwar lebih hebat memang sudah dijangka kerana kehadiran Najib atas undangan Dong Song telah mencemaskan pakatan pembangkang yang gusar pengaruh mereka di kalangan kaum Cina mulai merosot.

 Umumnya tahu bahawa hanya Barisan Nasional (BN) telah terbukti membantu kaum Cina malah kerajaan tidak pernah meminggirkan pendidikan Cina di negara ini melalui peruntukan dan langkah kerajaan itu tidak terdapat di mana-mana negara di mana kaum Cina menjadi penduduk minoriti. Malah di Singapura yang majoritinya berbangsa Cina, pendidikan Cina turut dihadkan perkembangannya.

 Mengenai pendidikan Cina, apa yang ingin diperjuangkan oleh pembangkang tidak lebih daripada sandiwara politik. Malah sepanjang Anwar menjadi Menteri Pelajaran ketika berada dalam pemerintahan kerajaan BN dahulu beliau tidak meninggalkan apa-apa impak ke atas perkembangan pendidikan Cina di negara ini.


 Apa yang jelas pakatan pembangkang jelas menggunakan portal Malaysiakini untuk memulihkan pengaruh Anwar di samping untuk menjejaskan kredibiliti Perdana Menteri dan BN.

Tuesday, February 5, 2013

Ugutan Bakar Lynas gambarkan sikap radikal aktivis himpunan hijau.


Ancaman  untuk membakar loji nadir bumi kontroversi Lynas Corps telah dibuat oleh kumpulan aktivis alam sekitar Himpunan Hijau. Ia akan dibuat sekiranya kerajaan baru yang dipilih selepas pilihan raya umum yang ke 13 ini gagal menutup loji berkenaan.


gambar hiasan ;-)



Portal The Malaysian Insider  hari ini  menyiarkan kenyataan pengerusi Himpunan Hijau yang anti Lynas , Wong Tack  mengancam akan membakar loji pemprosesan tersebut dengan rasa “marah dan kecewa” jika kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) masih kekal berkuasa.
Namun jika Pakatan pembangkang berjaya menawan  Putrajaya  mereka akan turut menuntut janji untuk menutup Lynas dan akan memberontak serta membakar jika janji tidak ditunaikan.
Malah gerakan himpunan hijau turut mendesak agar perlombongan Emas Bukit Koman yang didakwa mengguna sianida turut ditutup.


Ancaman radikal seperti membakar loji Lynas  yang dikeluarkan oleh gerakan himpunan hijau ini dilihat amat keterlaluan. Mereka sebenarnya tahu bahawa ancaman  membakar mungkin jenayah dan menyalahi undang-undang, namun atas mencari populariti mereka membuat demikian.


Tindakan gerakan himpunan  hijau yang mendesak keterlaluan jelas menggambar sikap sebenar mereka yang begitu taksub  perjuangan mereka tanpa menghiraukan batasan undang-undang.


Bayangkan sesebuah negara tanpa undang-undang dan peraturan pasti akan porak peranda dan tiada kemajuan akan berlaku.


Malaysia tidak perlu golongan yang radikal seperti ini berada dalam negara. Pihak berkuasa perlu tegas menangani isu ancaman ini dari terus dikeluarkan sewenang-wenangnya.
Budaya yang dipelopori oleh barat ini bukan tidak  menguntungkan negara malah boleh menghancurkan kestabilan ekonomi negara.



Oleh yang demikian rakyat perlu sedar bahawa himpunan hijau ini tidak menggambarkan budaya nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.


Jelas sebenarnya mereka telah diracuni oleh budaya kuning yang  dibawa oleh pakatan pembangkang dan ia amat merbahaya kepada kemakmuran  negara Malaysia .