Friday, January 25, 2013

Sinar Harian cuba bantu pulihkan imej Anwar.



OLEH: Anis Sofea                                                        

KUALA LUMPUR (malaysiaaktif) . Akhbar Tabloid Sinar harian hari ini menyiarkan  wawancara ekslusif  bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gambar Anwar yang sinis dan tajuk “saya tidak mahu jawatan PM” dijadikan sandaran penuh akhbar itu untuk menarik jumlah pembaca yang ingin mengetahui inti pati wawancara berkenaan.


Namun jika diteliti dalam wawancara berkenaan jelas dimanfaatkan penuh oleh Anwar untuk menyampaikan mesej  yang menjejaskan kredibiliti  kerajaan.

Persoalan sekarang Anwar terpaksa menampilkan imej yang positif untuk tatapan umum. Ini berikutan beliau sedar bahawa penggunaan medium melalui media siber sahaja tidak mampu memulihkan imej beliau yang semakin terhakis dengan isu-isu sensitif dalam pakatan pembangkang termasuk isu penggunaan perkataan kalimah Allah yang dilihat tiada kesepakatan antara DAP dan Pas.


Wawancara yang disiarkan oleh Sinar Harian dalam siri pertama hari  ini jelas hanya mahu menonjolkan watak Anwar dari sudut positif. Sinar hanya menumpang populariti Anwar untuk menambahkan lagi jumlah jualan dan pembaca yang dilihat amat terdesak memandangkan media arus perdana semakin hebat  bersaing dengan media siber.


Persoalan sekarang adakah benar-benar Anwar akan menunaikan janji beliau seperti dalam wawancara iaitu tidak mahu jawatan Perdana Menteri jika gabungan rapuh pembangkang memang majoriti pilihan raya?


Pembangkang masih gagal dengan kabinet bayangkan seperti yang dicabarkan oleh pemimpin Barisan Nasional. Malah ura-ura yang mahukan presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri dalam muktamar Pas telah ditolak sekeras-keras oleh DAP.

DAP tetap bertegas mahukan Datuk Seri Anwar dipilih sebagai Perdana Menteri jika pembangkang berjaya dalam pilihan raya akan datang.

Sikap Anwar yang manis berbicara memang sudah dijangka dan kenyataan beliau yang tidak mahu menjadi Perdana Menteri hanyalah sandiwara yang mahu memulihkan imej beliau yang kononnya memperjuangkan hak dan perjuangan reformasi.

Umum tahu matlamat Datuk Seri Anwar hanyalah untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang menjadi idaman beliau sejak dari awal penglibatan beliau dalam politik.

Sama ada layak atau tidak Anwar menjadi Perdana Menteri terletak kepada keputusan pengundi  dalam pilihan raya akan datang .Walaupun demikian kuasa tuhan adalah mutlak sama ada akan mengizinkan beliau menjawat jawatan berkenaan atau sebaliknya.

No comments: