Maulana Arrif
29 Februari 2008
SEMAKIN hampir hari mengundi pada 8 Mac ini, semakin hangat perang mulut, media dan poster antara parti-parti yang bertanding.
Demi memastikan kemenangan, kewaspadaan begitu mudah ditolak ke tepi. Tuduh menuduh menjadi rencah kempen. Kata mengata dan mengumpat menjadi kebiasaan.
Sebilangan besar calon adalah orang Islam. Ternyata mereka ini juga terdedah kepada melakukan pelbagai perkara yang bukan sahaja melanggar tata-susila, adab dan undang-undang, malah mereka tidak lagi mempedulikan larangan Allah s.w.t yang ditegaskan dengan jelas dalam al-Quran.
Antara yang melakukan perkara ini ialah orang yang dianggap oleh para pengikut mereka sebagai ulama kerana memliki ijazah dalam pengajian agama, berjubah dan berserban yang menunjukkan bahawa diri mereka adalah ahli agama dan warak.
Seorang pemimpin parti politik yang menggunakan nama Islam dilaporkan telah membenarkan semua calon partinya mengumpat, membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan mereka.
Beliau memberikan alasan bahawa ada sebuah hadis Rasulullah s.a.w. berhubung soal mencari jodoh yang membenarkan keburukan seseorang itu didedahkan bagi mengelakkan berlakunya penganiayaan kepada pasangannya.
Maka dalam urusan memilih wakil rakyat, pemimpin parti itu berhujah bahawa keburukan lawan juga perlu didedah bavgi mengelakkan berlakuntya penganiayaan kepada pasangan.
Perlu ditanya taraf hadis berkenaan, adakah sahih atau daif?
Ditanya kerana dalam Quran terdapat banyak firman Allah yang melarang fitnah dan mengumpat (mencerca). Fitnah adalah sesuatu berita atau cerita yang tidak benar, manakalah mengumpat maksudnya menceritakan keburukan orang lain. Salah satu ayat yang dengan jelas melarang perbuatan mengumpat ialah:
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mencerca sebahagian yang lain. Sukakah kamu salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” 49:12
Peringatan Allah ini sangat relevan kerana kebanyakan cerita yang disebarkan terhadap lawan semasa kempen pilihan raya adalah berasaskan prasangka, bukannya fakta.
Satu contoh klasik ialah parti yang memerintah didakwa akan menaikkan lagi harga minyak sejurus selepas memenangi pilihan raya. Ini adalah dakwaan yang hanya berasaskan prasangka, bukannya fakta. Adakah pihak yang mendakwa mempunyai bukti?
Sebaliknya parti pembangkang mempunyai asas untuk mengatakan bahawa kerajaan telah mengurangkan subsidi minyak sehingga menyebabkan kenaikan harga barang. Ini adalah fakta yang boleh digunakan semasa kempen pilihan raya.
Bagaimanapun tidak banyak dakwaan yang dibuat berasaskan fakta. Yang lumrah adalah prasangka. Inilah yang dilemparkan dengan tujuan untuk memburuk-burukkan (mengumpat) lawan supaya para pengundi tidak akan menyokong mereka.
Allah melarang perbuatan bersangka buruk dan mengumpat dengan membandingkan perbuatan ini seperti orang yang memakan dagi saudaranya sendiri.
Pemimpin politik yang `menghalalkan’ kerja mengumpat dengan bersandarkan kepada hadis nabi seolah-olah mahu mengenepikan kewujudan ayat-ayat Allah yang melarang perbuatan tersebut. Apakah kedudukan hadis lebih kukuh sebagai nas daripada al-Quran?
Nampak jelas pemimpin politik itu telah melakukan sesuatu yang tercela. Sebagai orang yang berilmu, beliau sepatutnya lebih mengetahui tentang hukum Allah. Janganlah kerana mengejar kepentingan dunia, ditolak ke tepi kepentingan akhirat. Ini tidak beriman namanya. Tidak beriman kepada kitab Allah dan hari akhirat.
Jika beliau sebagai pemimpin boleh melakukan sesuatu yang tercela, bagaimana pula para pengikut yang tidak mempunyai ilmu yang tinggi sepertinya.
Sebagai pedoman, ayat 12 surah Al-Hujurat di atas jelas memberitahu kita bahawa firman Allah ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Dan orang yang beriman tidak semestinya tinggi ilmunya.
Pada zaman Rasulullah dulu sudah wujud orang-orang yang sangat berilmu. Mereka adalah pendita kitab Taurat. Mereka ini mengetahu tentang kedatangan nabi akhir zaman, iaitu Nabi Muhammad s.a.w, tetapi mereka enggan mengiktiraf baginda dan memeluk agama yang baginda bawa.
Mereka ini juga Allah gelar `ahli kitab’ dalam al-Quran. Mereka pakar dalam kitab-kitab dulu (Injil, Taurat dan Zabur), tapi hati mereka tertutup daripada beriman kepada Rasulullah s.a.w disebabkan keangkuhan diri mereka.
Inilah penyakit parah yang akan menimpa sesiapa sahaja yang berilmu, tetapi riak dan angkuh dengan keilmuan mereka. Akhirnya mereka tidak dapat membezakan apa itu iman dan apa itu ilmu. Akibatnya, jadilah mereka seperti keldai yang memikul kitab-kitab sebagaimana perumpaan Allah terhadap pendita kitab Taurat dalam Quran.
Hati mereka tertutup daripada melihat kebenaran, tapi mereka sendiri berasa merekalah yang betul. Samalah mereka ini dengan keldai. Inilah perumpamaan
Yang Allah gunakan dalam Surah al Jumaah ayat 5 yang bermaksud:
(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
- malaysiaaktif.com