Wednesday, September 24, 2008

Tanpa ISA Azahari sudah bom Malaysia

Goblok: jangan kita mudah buruk sangka fikir kesan dan akibatnya dulu.


TANYA mana-mana pegawai kanan Polis Cawangan Khas (Special Branch), apakah negara kita masih memerlukan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang lebih dikenali sebagai ISA? Jawapannya ialah sangat perlu.

Tanya lagi kenapa? Jawab mereka, ISA adalah undang-undang pencegahan yang membolehkan polis bertindak pantas untuk menghalang daripada berlaku insiden atau keadaan tidak aman yang lebih buruk dan mencemaskan negara. Jika sekadar menggunakan kuasa yang memerlukan proses perbicaraan yang panjang di mahkamah, ada kemungkinan keamanan tidak akan dapat dikawal sebagaimana yang dihasratkan.

Mereka juga menamakan Indonesia sebagai negara contoh yang paling dekat. Tidak seperti Malaysia dan Singapura yang mempunyai undang-undang penahanan tanpa perbicaraan, Indonesia dalam beberapa tahun kebelakangan telah menjadi sasaran insiden-insiden bom yang mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan negara itu dilabel kurang selamat oleh para pelabur asing dan pelancong

.

Agak menarik, pakar-pakar bom yang dikaitkan dengan insiden-insiden pengganas di Indonesia adalah rakyat Malaysia. Siapa tidak kenal Azahari Husin dan Noordin Mohammad Top yang dikatakan menjadi dalang pengeboman di Bali yang menggemparkan seluruh dunia. Mereka adalah anggota-anggota kanan Jemaah Islamiah (JI) yang mahu mewujudkan pemerintahan Islam di seluruh rantau Nusantara (Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina dan Singapura).

Pegawai-pegawai kanan Cawangan Khas berhujah, jika tidak disebabkan mempunyai ISA, sudah lama insiden-insiden pengeboman juga turut berlaku di Malaysia kerana pakar-pakar bom JI adalah rakyat Malaysia. Menurut statistik, sebilangan besar yang masih ditahan di bawah ISA adalah anggota JI. Mereka ditahan sebelum sempat melaksanakan operasi keganasan yang mereka rancang.

Singapura juga turut menangkap beberapa anggota JI dengan menggunakan undang-undang yang sama.

Tanya pula mana-mana anggota pembangkang, jawapannya mereka ialah mansuhkan ISA segera! Dan mereka sedang memperhebatkan kempen untuk menghapuskan ISA berikutan penangkapan tiga orang baru-baru ini. Mereka yang ditangkap ialah pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin; ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.

Teresa Kok dan Hoon Cheng telah dibebaskan, tapi Raja Petra terus ditahan selama dua tahun di Kamunting, Taiping. Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah undang-undang tanpa perbicaraan itu. Kali pertama pada 6 September 2002 bersama pemimpin-pemimpin parti Keadilan --
Dr Badrulamin Bahrom, Mohamed Ezam Mohamed Nor, Tian Chua, Sari Sungib and Lokman Noor Adam.

Oleh kerana lebih ramai pembangkang yang ditahan berbanding penyokong kerajaan, maka kita boleh menerima dengan mudah kenapa pembangkang yang paling mahukan ISA dihapuskan.

Bagaimanapun, ketika ISA diteropong dan dibincangkan semula dengan hangat sekarang, ada juga suara-suara dari kabinet kerajaan Barisan Nasional sendiri yang mempersoal kewibawaan undang-undang tersebut walaupun belum ada yang menyokong sepenuhnya tuntutan pembangkang supaya ia sama sekali dihapuskan.

Paling menonjol ialah Datuk Zaid Ibrahim yang telah meletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (menteri de facto undang-undang) kerana tidak bersetuju ISA digunakan terhadap ahli-ahli politik. Beliau berpendapat ISA digunakan terhadap anasir-anasir pengganas sahaja.

Seorang lagi menteri yang berpendidikan undang-undang, Datuk Rais Yatim (Menteri Luar) turut berpendapat bahawa ada ruang untuk mengkaji semula ISA.

Dalam masa yang sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Abdul Hamid Albar yang juga berkelulusan undang-undang mempertahankan kewajaran ISA. Suara Syed Hamid adalah pendirian rasmi kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga bekas Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

Maka ternyata kini ada tiga pendirian berhubung kontroversi ISA sekarang. Kerajaan mahu ISA dikekalkan; pembangkang dari Pakatan Rakyat (PKR, DAP dan Pas) mahu ia dihapuskan dan ada pula kalangan yang mahu ISA dikekalkan tapi dengan pindaan.

Rakyat biasa pada umumnya hanya menjadi pemerhati dan sedang melihat serta mendengar sahaja perbincangan isu ini. Sejauh mana ia boleh mempengaruhi sokongan politik mereka adalah bergantung kepada pihak mana mereka akan berikan undi jika pilihan raya diadakan.

Sebenarnya ISA bukanlah menjadi isu yang sangat mempengaruhi pengundi dalam pilihan-pilihan raya lalu, tidak seperti isu-isu periuk nasi terutama yang berkaitan harga minyak dan barang keperluan harian. Ini adalah kerana ISA belum pernah digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik dan tidak dilihat sebagai alat kezaliman untuk menyokong pemerintah. Jika ada dakwaan yang munuduh demikian, ia hanyalah dakwaan politik.

Bilangan yang ditangkap di bawah ISA hanya mencapai angka lebih kurang 100 orang sahaja dalam satu masa. Dengan mengambil kira rakyat Malaysia berjumlah lebih 27 juta, maka angka tersebut hanyalah setitik air dalam kolam yang besar. Jika jumlah yang ditahan mencapai lebih 1,000 orang, maka ia adalah satu fenomena yang memerlukan penjelasan pihak kerajaan melalui pembentangan kertas putih di Parlimen.

Malah jika kita meneliti senarai tahanan ISA yang diterbitkan oleh Aliran (lihat Aliran's ISA Watch), seramai 22 daripada 63 tahanan ISA di Kamunting sekarang adalah warga asing.

Pihak pembangkang hanya mengemukakan hujah bahawa sebarang penahanan tanpa perbicaraan adalah satu kezaliman. Suara mereka adalah selari dengan perjuangan menegakkan hak asasi manusia yang dipelopori oleh Amerika Syarikat dan Britain.

Realitinya sekarang, Amerika Syarikat melalui Patriot Act dan Britain melalui Terrorist Act juga menahan sesiapa sahaja tanpa perbicaraan jika disyakki menjadi anasir atau penyokong keganasan. Maka suara pembangkang di Malaysia boleh dilihat bukanlah lagi suara global.

Malahan suara pembangkang boleh diandaikan sebagai suara berkepentingan peribadi. Mereka mahu ISA dihapuskan supaya mereka boleh bercakap dengan penuh kebebasan mengenai apa sahaja untuk mendapatkan sokongan politik, sekalipun mengenai perkara-perkara yang boleh mencetuskan pergaduhan dan huru-hara seperti isu-isu perkauman dan agama.

Selain membanteras ancaman pengganas Parti Komunis Malaya (PKM), ISA juga telah digunakan terhadap anasir-anasir militan agama termasuk JI, Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Al-Arqam dan Al-Ma'unah; dan mencegah pergaduhan kaum -- peristiwa 13 Mei 1969, Ops Lalang 1987, Kampung Rawa 1998 dan Kampung Medan 2001.

ISA turut digunakan terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan senjata api, pemalsuan dokumen dan wang serta penyeludupan manusia.

Kalangan yang menyokong ISA berhujah, proses mewujudkan dan mempertahankan keamanan bukan mudah. Ia memakan masa yang panjang, menggugat ekonomi dan memerlukan perbelanjaan negara yang besar.Sebaliknya keamanan yang dibina selama berpuluh-puluh tahun boleh diranapkan dalam sekelip mata melalui huru-hara.

Maka mereka berpendapat, jika ISA sangat diperlukan untuk menjaga keselamatan majoriti rakyat, kenapa ia perlu dihapuskan semata-mata atas tuntutan sebilangan orang yang mendapati undang-undang tersebut telah menyekat kebebasan mereka untuk berpolitik dengan cara sewenang-wenang.

Kalangan ini juga berhujah, rekod menunjukkan bahawa bilangan kecil yang ditahan tidak membuktikan ada penganiayaan, malah ia telah terbukti dapat melindungi negara dan rakyat.

Sebaliknya kalangan yang menuntut ISA digunakan hanya untuk membanteras pengganas disyorkan supaya merujuk kepada Polis Diraja Malaysia bagi mendengar hujah dan statistik mengenai bahaya pergaduhan kaum dan agama di Malaysia. Jika hanya Akta Hasutan digunakan, maka proses turun naik mahkamah akan memungkinkan tindakan terlalu lewat sehingga `nasi sudah menjadi bubur.'

Kini ada ura-ura untuk membentuk undang-undang mengenai hubungan kaum bagi menangani secara berasingan isu ini daripada peruntukan yang diberikan oleh ISA. Sebarang perbincangan dan perancangan ke arahnya hendaklah dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati kerana memnyesal kemudian tidak berguna.

Rakyat sebagai pengundi yang akan menentukan siapa yang akan memerintah perlu memikirkan perkara ini dengan penuh kewarasan. Generasi muda yang tidak melalui zaman perang, komunis dan 13 Mei berkemungkinan mudah dipengaruhi untuk mempercayai bahawa ISA tidak sesuai lagi pada zaman demokrasi dan hak asasi.

Itulah juga yang disuarakan oleh pejuang-pejuang demokrasi dan hak asasi di Amerika dan Britain selama ini. Akhirnya mereka sendiri terpaksa menelan pahit realiti dan melakukan tindakan yang lebih kejam terhadap sesiapa yang mereka cap sebagai anasir pengganas tanpa memerlukan perbicaraan.

Pada hari ini semakin ramai yang mempercayai bahawa keamanan, kemajuan dan kemakmuran hanya boleh dicapai melalui pendidikan dan tindakan berdiplomasi yang menghormati demokrasi. Ini sebenarnya hanyalah slogan politik untuk mencapai kuasa melalui demokrasi. Ia disuarakan lantang oleh Amerika yang akhirnya menggunakan lebih banyak bom daripada Perang Dunia Kedua di Vietnam, Afghanistan dan Iraq untuk mempertahankan kuasa dunia mereka. - malaysiaaktif.com


Bashir Ahmad
24 September 2008

Monday, September 1, 2008

Anwar akan dipanggil bersumpah laknat

HARI ini bertarikh 1 September 2008. Semalam penulis bertemu seorang rakan lama yang juga pemerhati politik. Lalu ditanya, apakah perkembangan menarik sedang diperhatikannya sekarang.

Kata si rakan lama itu, kita tunggu 16 September ini.

Jika anda sentiasa mengikuti perkembangan politik negara, anda tentulah amat arif tentang signifikan tarikh 16 September itu. Pada hari itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyambut ulang tahunnya. Pada tarikh tersebut Malaysia telah dibentuk dengan penggabungan Semenanjung, Singapura, Sabah dan Sarawak, tapi Singapura tidak lama kemudian dikeluarkan dari Malaysia kerana Perdana Menterinya, Lee Kuan Yew mencetuskan banyak kekacauan.

Kalau penulis tidak silap, 16 September juga adalah ulang tahun hari jadi Kuan Yew.

Yang si rakan penulis itu maksudkan bukan Hari ATM atau hari pembentukan Malaysia atau hari jadi Kuan Yew. Ia adalah tarikh yang Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim uar-uarkan sebagai tarikh Pakatan Rakyat akan mengambil pentadbiran kerajaan pusat di Putrajaya dan beliau akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Si rakan itu menambah:`` Kalau tak jadi, seluruh rakyat Malaysia akan ketawa.''

Maka disebabkan tidak mahu diketawakan, Anwar sekarang sedang bekerja keras untuk memujuk dan merayu ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional di Sabah dan Sarawak supaya berpaling tadah ke Pakatan Rakyat bagi mencukupan kelayakan untuk menubuhkan kerajaan baru. Pakatan Rakyat memerlukan sekurang-kurangnya 30 orang ahli Parlimen BN berpaling tadah.

Kata Anwar, beliau tidak akan menawarkan `wang' kepada mereka. Jika anda mahu ketawa sebelum 16 September, ketawalah terhadap kebenaran cakap Anwar ini. Ini zaman politik wang. Siapa yang begitu bodoh mahu tolong Anwar tanpa meminta sesuatu. Anwar akan jadi Perdana Menteri kerana pertolongan mereka, tapi apa yang mereka dapat?

Tentulah kita boleh ketawa kerana Anwar bercakap sesuatu yang kurang logik. Apatah lagi jika yang dirayu supaya menyertai Pakatan Rakyat ialah ahli-ahli politik Sabah yang mempunyai rekod melompat parti paling hebat di Malaysia. Bolehkah Anwar memberikan jawatan penting dalam kerajaan kepada setiap ahli Parlimen Sabah yang melompat? Berapa banyak jawatan menteri, timbalan menteri dan lain-lain yang boleh diberikan? Kalau terlalu banyak orang Sabah yang dapat jawatan, apa pula kata Pas dan DAP jika mereka tidak mendapat jawatan-jawatan yang lebih baik?

Ketawalah jika anda merasakan anda sukar mempercayai bahawa Anwar tidak menawarkan sebarang habuan dalam bentuk wang. Ketawalah jika anda telah menyemak rekod politik Anwar dengan teliti dan mendapati bahawa beliau pernah tidak pernah bercakap benar.

Tapi janganlah anda ketawa jika anda yakin bahawa Anwar seorang ahli politik yang pintar dan licik. Tidakkah tarikh 16 September sebagai hari pembentukan Malaysia itu mempunyai tarikannya yang tersendiri? Anwar sebagai bakal Perdana Menteri boleh menjanjikan bulan dan bintang untuk Sabah dan Sarawak termasuk royalti minyak dan gas yang lebih tinggi daripada kadar yang kerajaan persekutuan BN bayar selama ini.

Barangkali, ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak diberitahu, ``marilah kita jadikan 16 September hari yang lebih bersejarah untuk Sabah dan Sarawak, bukan sekadar mengenangi kemasukan ke dalam Malaysia.''

Manalah tahu kalau-kalau tarikh 16 September juga akan dijadikan Hari Kebangsaan yang baru bagi menggantikan 31 Ogos.

Maka jika anda tidak mahu ketawa awal pun boleh kerana menyedari bahawa Anwar pintar dan licik. Beliau adalah pakar psikologi yang boleh memutar dan mempengaruhi hati nurani manusia dengan mudah. Lihatlah sajalah betapa isu sumpah laknat telah diputarkannya sehingga menjadi faktor untuk memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh. Banyak orang tersilap sangka bahawa isu sumpah itu akan menjatuhkannya. Rupa-rupanya apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Tapi penulis sendiri percaya bahawa isu sumpah laknat itu belum selesai. Jangan kita lupa bahawa ada satu lagi tarikh yang lebih signifikan bagi Anwar pada bulan September ini. Pada 10 September akan bermulalah prosiding terhadap Anwar di mahkamah berhubung kes aduan Mohd Saiful.

Dan khabarnya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga sedang mengatur sesuatu langkah perundangan berikutan laporan qazaf (memfitnah) yang Anwar buat terhadap Saiful. Menurut aduan Anwar, Saiful telah memfitnahnya dan Saiful mestilah membuktikan tuduhan liwat dengan menepati hukum syarak dengan menampilkan empat saksi dari kalangan orang-orang beriman (lihat bahan bacaan rujukan).

Difahamkan siasatan JAWI mendapati sukar untuk Saiful menampilkan empat saksi bagi memperkuatkan hujahnya terhadap Anwar. Dalam masa yang sama, adalah satu perkara yang tidak adil untuk memutuskan bahawa Saiful telah berbohong semata-mata kerana tidak dapat menampilkan empat saksi. Maka undang-undang syariah akan diketawakan jika tuduhan Saiful ditolak dengan begitu mudah sedangkan undang-undang jenayah sivil akan menjalankan prosiding terhadap Anwar sekalipun tanpa empat saksi.

Maka jalan yang terbaik yang dibenarkan oleh syariat ialah dengan mengadakan sumpah laknat oleh kedua-dua pihak. Sekalipun Saiful telah melakukan sumpah tersebut baru-baru ini, beliau akan dipanggil sekali lagi untuk berhadapan dengan Anwar yang juga dikehendakki melakukan sumpah yang sama.

Ertinya, JAWI akan menutup kes ini dengan menyerahkan kes ini kepada ketentuan Allah s.w.t melalui sumpah mubahalah kedua-dua pihak yang terlibat. Inilah langkah yang terbaik (lihat rujukan hukum-hakam). Soal sama ada kes mereka akan dibicarakan di mahkamah jenayah sivil adalah perkara yang sama sekali berasingan.

Nampaknya Anwar tidak mempunyai jalan untuk mengelakkan daripada bersumpah laknat (muhabalah). Dari sudut politik beliau telah berjaya mengelak, tapi dari sudut syariat beliau tidak mempunyai jalan lain. Apatah lagi yang telah membuat aduan qazaf itu ialah beliau sendiri, bukan orang lain. - malaysiaaktif.com

Bashir Ahmad
1 September 2008

Wednesday, August 20, 2008

Anwar tidak mengenang budi Pak Lah

PERMATANG PAUH – Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai orang yang tidak mengenang budi apabila beliau mendakwa Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi terlibat dalam konspirasi tuduhan Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadapnya.


Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Noor berkata, Anwar sepatutnya mengenang budi Abdullah yang telah menolongnya semasa dalam tahanan pada tahun 2004.

Bercakap pada ceramah pilihan raya kecil Pertamatang Pauh di Tanah Liat malam tadi, bekas orang kuat Anwar itu buat pertama kalinya mendedahkan bahawa beliau telah mengaturkan satu pertemuan antara isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan Abdullah pada tahun tersebut.

Dalam pertemuan yang Ezam turut hadiri itu, Wan Azizah telah meminta Abdullah mempertimbangkan tiga perkara:



i. Minta keluar dari penjara untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana sakit belakang.

ii. Memohon mendapatkan rawatan lanjut di luar negara.

iii. Sebagai Perdana Menteri, Abdullah tidak akan campur tangan dalam kes rayuan Anwar terhadap dua keputusan Mahkamah Tinggi – kes liwat dan kes rasuah.

Kata Ezam, permintaan pertama Anwar telah ditunaikan serta-merta dan beliau dibawa keluar dari penjara ke hospital pada malam berkenaan.

Bagi permintaan kedua, Abdullah berkata beliau akan berbincang dengan pihak-pihak berkenaan terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

Bagi permintaan ketiga, Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam apa jua urusan kehakiman berhubung rayuan Anwar.

Menurut Ezam, beliau masih ingat kata-kata Perdana Menteri:`` Azizah saya pemimpin Islam, saya tidak akan buat aniaya orang lain.’’

Dalam penghakimannya terhadap rayuan Anwar, Mahkamah Perekutuan telah membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri itu daripada tuduhan liwat tapi menolak rayuan terhadap keputusan kes rasuah.

Kata Ezam, mengenali Abdullah beliau percaya sampai sekarang pun Perdana Menteri tidak sekali-kali akan menganiaya Anwar dan tidak munasabah untuk menuduhnya terlibat dalam konspirasi kes aduan liwat terhadap Mohd Saiful.

Menurutnya, amat tidak wajar Anwar tiba-tiba menuduh Perdana Menteri pula terlibat dalam konspirasi aduan Saiful.

``Mula-mula dia (Anwar) tuduh Peguam Negara, Ketua Polis Negara…kemudian Timbalan Perdana Menteri dan tiba-tiba sekarang Perdana Menteri pula,’’ kata Ezam.

Beliau berpendapat Anwar menuduh `semua orang’ kerana terlalu terdesak dalam menangani kes aduan liwat terhadapnya pada ketika cita-citanya semakin memuncak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Berhubung pengakuan bersumpah Mohd Saiful, Ezam berpendapat hanya Allah, Anwar dan Saidul yang tahu apa yang sebenar.

Kata Ezam, mana-mana pihak tidak boleh membuat andaian kerana tiada siapa yang tahu apa yang berlaku, sama ada pengakuan itu benar atau sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin-pemimpin Pas tidak akan membuat sebarang kenyataan yang memihak kepada Anwar berhubung pengakuan bersumpah Saiful kerana mereka tidak tahu kedudukan sebenar.

Ezam menambah, beliau sendiri tidak membuat sebarang andaian kerana ``hanya Allah, Anwar dan Saiful yang tahu.’’ – malaysiaaktif.com

Bashir Ahmad
17 Ogos 2008

Friday, August 15, 2008

PKR di ambang perpecahan?

Goblok: betulke ni wak oii?


ANCAMAN Ahli Parlimen (AP) Kulim Bandar Bahru, Zulkifli Noordin, untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama-sama golongan sealiran dengannya, sudah pasti membimbangkan Anwar Ibrahim.

Zulkifli yang dilaporkan 'hilang' mendedahkan beliau dan ramai lagi AP Keadilan amat terkilan dengan sikap Datuk Seri Anwar yang semakin membelakangkan kepentingan Islam.

Krisis dalaman itu timbul sedang Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dilaporkan memberi amaran parti itu akan keluar daripada Pakatan Rakyat jika 'kerajaan baru' selepas 16 September ini tidak menjadikan Islam teras kepimpinan menerajui negara.

Beliau berkata demikian di depan 100 ahli ketika merasmikan Konvensyen Pas Negeri Selangor di Shah Alam, minggu lalu.

Betapa Anwar yang juga penasihat PKR semakin dingin dan tidak mempedulikan tuntutan Islam pula dinyatakan Zulkifli ketika berucap kepada jemaah di Surau Al-Ehsaniah, Ampang Jaya, lewat bulan Julai.

Zulkifli memberitahu setelah kira-kira 20 tahun beliau berjuang menegakkan prinsip Islam apa dilihatnya kini adalah PKR tidak begitu mempedulikan keperluan umat dan pengundi Islam.

Ini, katanya, jelas daripada dasar terbaru PKR khususnya berkaitan rancangan pembinaan rumah ibadat di setiap bandar dan taman perumahan baru di Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Kumpulan Ahli Parlimen beragama Islam, katanya, berasa amat tertekan dengan tindak-tanduk pucuk pimpinan PKR sehingga membuat mereka mahu 'memberontak' sebagai protes terhadap Anwar dan konco-konconya.

Malah, menurut Zulkifli, beliau tidak begitu hirau sangat dengan keputusan mahkamah mengenai kedudukannya dan sudah bersedia untuk keluar PKR bersama rakan-rakan AP yang lain.

Walaupun tidak memberitahu jumlah sebenar AP Islam dalam Keadilan yang akan meninggalkan parti itu, tindakan mereka sudah pasti mengejut dan menggagalkan rancangan Anwar untuk menubuhkan kerajaan baru didakwanya akan disertai 30 AP Barisan Nasional dari Sabah dan Sarawak. -malaysiaaktif.com

Nasir Sukiman
13 Ogos 2008

Monday, August 11, 2008

Kenapa tangkap hanya Penarik Beca

Kopitiam Talk
9 Ogos 2008


ROCKY'S Bru (Ahiruddin Attan) Presiden Penaja The National Alliance of Bloggers membela pemblog Penarik Beca (nama sebenar Abu Bakar Mohd Rashid) yang ditahan oleh polis untuk siasatan kerana menyiarkan logo PDRM yang diubahsuai dengan menukar gambar kepala harimau kepada gambar kepala anjing dan tanda $ dan C4 menggantikan nama Allah dan Muhammad dan juga bintang lambang negara Israel.

Dalam tulisannya, Rocky yang tidak memberikan fakta sepenuhnya perbuatan “menghina” polis itu telah menganggap penahanan Penarik Beca itu sebagai reaksi yang keterlaluan pihak polis kerana perbuatan pemblog itu, katanya “nothing” dibandingkan dengan kehilangan syabu RM1 juta dari balai polis di Johor Baharu.

Ternyata Rocky membela semata-mata kerana comradeship dan sentimen melulu apabila Penarik Beca yang dibebaskan dari tahanan selama lebih 40 jam telah mengakui kesilapannya sebagai bodoh dengan menyiarkan logo itu yang diambilnya dari blog seorang penjenayah siber.

Mungkin seperti kebanyakan pemblog bukan dari kalangan wartawan yang terlatih dengan etika kewartawanan, maka Penarik Beca tidak tahu sempadan, tetapi bagi bekas wartawan kanan seperti Rocky tidak mengenal batas tidak boleh dimaafkan.

Rocky melakukan pekara yang sama dengan menyiarkan bendera Malaysia terbalik dalam blognya yang diambil dari blog lain. Jika penyebaran gambar lucah ``haram” tidak bererti bahawa akhbar atau media yang memetik dan menyiarkan gambar yang sama ``tidak salah” apabila mengambil daripada terbitan lain untuk ditunjukan sebagai contoh. Penarik Beca mengakui ini sebagai kebodohannya, tetapi adakah Rocky berada pada taraf bodoh?

Polis tidak membela seekor dua kambing hitamnya yang terlibat dengan kehilangan syabu 1 juta ringgit, malah ada yang telah pun ditahan dan akan menghadapi tindakan tetapi Rocky mempertahankan penjeyanah siber, meminta pembebasan pemblog tanpa usul periksa dan cuba menutup dosanya sendiri setelah menyiarkan bendera Malaysia terbalik dengan menyatakan bahawa dia tidak bersetuju dengan perbuatan itu yang dilakukan oleh rakannya.

Anwar Ibrahim juga menganggap “nothing” bila dia memanggil Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor “anjing” ketika Rahim tiba untuk menyiasatnya dalam kes liwat yang pertama dahulu. Tetapi Rahim merasakan panggilan itu bukan sahaja penghinaan terhadap dirinya tetapi kepada ribuan anggota polis yang diketuainya. Seorang pemblog penyangak cuba mengelirukan menerusi blognya kononnya Anwar ditumbuk Rahim sebelum dia mengeluarkan perkataan itu.

Saya setuju jika sekiranya Rocky menuduh polis “penakut, tidak adil” dan bersikap membeza-beza antara Penarik Beca dengan `pemblog diraja' kerana umum mengetahui tindakan terhadap `raja' itu terlalu lewat sekalipun secara terus terang dia melakukan pelbagai pembohongan, fitnah dan cerita rekaan dalam blognya. Tetapi bagi Rocky dia adalah raja yang mesti disembah dan dia menjadikan raja ini sebagai contoh dalam perjuangan untuk membela kebebasan penulis blog.

Inilah contoh beberapa kerat Melayu yang menjadi The Great Imitators kepada kebebasan Amerika Syarikat yang berselindung di sebalik globalisasi

Kepada bukan Melayu yang memperjuangkan “Malaysian Malaysia”, mereka adalah wira tetapi kepada bangsa kita mereka adalah anjing upahan. Apalah bezanya antara Lim Kit Siang dengan Rocky?

MUNSYI ABDULLAH
petikan dari
www.malaysiaaktif.com

Goblok: fikir-fikirkanlah



Wednesday, August 6, 2008

Mubahalah: Jalan keluar tuduhan liwat

Nasir Sukiman
3 Ogos 2008


BAGI umat Islam di negara ini, isu qazaf dan hukuman Allah amat berkait rapat manakala daripada segi adat pula keyakinan mereka semakin kuat apabila disertakan sekali sumpah menggunakan Al-Quran sama ada memegang atau menjunjungnya.

Tetapi mengikut syarak, seseorang yang bersumpah dengan nama Allah tidak perlu memegang atau menjunjung Al-Quran malah ia cukup sekadar melafazkan sumpahnya dengan menyebut nama Allah dan berkaitan perkara dipertikaikan. Memegang dan menjunjung Al-Quran mungkin daripada segi adat dan tradisi saja.

Dalam kes dakwaan Saiful Bukhari Azlan dia diliwat oleh Anwar Ibrahim, jelas mantan Timbalan Perdana Menteri itu sudah pun mengorak langkah dianggapnya amat berani iaitu dengan membuat aduan dan laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Beliau berbuat demikian dengan alasan kononnya dinasihatkan oleh golongan ulama. Tetapi betulkah semua dakwaannya itu sedangkan hukum qazaf hanya berkaitan tuduhan zina.

Atau Anwar ke jabatan agama itu hanya sebagai satu lagi episod permainan sandiwara politiknya?

Persoalannya apa pula akan terjadi jika setiap perogol dan peliwat membuat aduan qazaf di pejabat agama bagi melepaskan dirinya.

Kumpulan yang memberikan nasihat kepada Anwar bagi mengeluarkan beliau daripada belitan tuduhan dilemparkan Saiful itu mahu undang-undang Islam dan istilah-istilah Islam digunakan bagi memulihkan imej pemimpin mereka yang semakin tercalar.

Anwar dan konco-konco serta penasihatnya tahu benar, Saiful tidak mungkin dapat membawa empat orang saksi lelaki (atau lapan mata) yang adil. Tambahan pula hukuman bagi qazaf adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar dan wajib dikenakan hukuman had qazaf iaitu sebatan sebanyak 80 kali terhadap penuduh.

Ini adalah selain tidak boleh diterima lagi penyaksiannya selama-lamanya kerana dia sudah termasuk dalam golongan yang fasik.

Di sini, penulis ingin menarik perhatian kepada kenyataan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin dalam ruangannya Pena Mufti di Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Beliau mengkritik kefahaman umum terhadap masalah qazaf. Dr Asri menekankan betapa wujud perbezaan di antara menuduh orang lain dan seseorang yang mendakwa dirinya telah menjadi mangsa rogol.

“Apakah jika seseorang wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah syariah akan menyatakan: Awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan? Adakah di dunia ini empat saksi yang soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?

`‘Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah. Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain.

`‘Sementara mendakwa diri menjadi mangsa adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri,'' jelasnya.

Pokoknya, kata Dr Asri bagaimana seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan.
Apakah akan terjadi apabila orang yang membuat tuduhan meliwat itu gagal membawa empat lelaki sebagai saksinya ?

Soalan ini amatlah berat dan boleh merungsingkan. Namun Islam tidaklah sejumud yang disangka dan boleh diputarbelitkan oleh sesiapa saja.

Dalam soal ini kita boleh gunapakai apa dipanggil sebagai “Istihadiah” iaitu penemuan-penemuan saintifik bagi menyelesaikan sesuatu kes yang dianggap rumit. Pencapaian dan kejayaan dalam membandingkan hasil DNA tetap diterima Islam dalam menyelesaikan sesuatu kekalutan.

Jelas bahawa orang yang membuat tuduhan tidak perlu khuatir dengan penggunaan hukum syarak dan sumpah dibuatnya.

Islam juga menganjurkan kaedah mubahalah sebagai penyelesaian bagi perbalahan yang tidak diuruskan secara baik dan mengikut peraturan. Mubahalah bermaksud mereka yang berbalah bertemu dan berdoa agar Allah menurunkan kelaknatan ke atas pendusta antara mereka.

Ramai ulama silam menyebut, biasanya Allah tidak akan menangguhkan hukuman melebihi setahun. Bahkan ramai dalam sejarah hanya beberapa bulan, atau hari. - malaysiaaktif.com

Monday, August 4, 2008

Permatang Pauh: Satu lagi langkah desperado Anwar

Goblok: Permatang Pauh,bermula di sini mungkin berakhir di sini... sama-sama kita nantikan...


KENAPA Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh yang secara tiba-tiba sahaja dikosongkan oleh isterinya Datin Seri Dr. Wan Azizah?

Pertama kita perlu menjawab kenapa Anwar mahu bertanding dan kedua, mengapa di Permatang Pauh? Oleh kerana Anwar tidak akan memberikan jawapan yang ada dalam hatinya, kita kenalah membuat andaian sendiri.

Andaian bagi soalan pertama ada kait mengait dengan kes tuduhan liwat Mohd Saiful yang dihadapinya sekarang. Jika kita menyorot kembali daripada awal sejak Saiful membuat laporan kepada polis, ada-ada sahaja tindakan yang Anwar lakukan untuk menyeret persepsi umum supaya mempercayai bahawa beliau adalah mangsa konspirasi.

Konspirasi siapa? Konspirasi mereka yang mahu menyekat kemaraan politiknya. Orang bodoh pun boleh membuat kesimpulan bahawa yang beliau sasarkan ialah UMNO dan Barisan Nasional, musuh politik Pakatan Rakyat pimpinannya.

Dalam usahanya untuk meyakinkan bahawa kes ini adalah satu konspirasi politik, Anwar turut menyeret nama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai orang-orang yang tidak boleh dipercayai kerana kononnya telah memutarbelitkan siasatan kes rasuah dan liwat terhadapnya pada 1998.

Anwar membuat aduan polis terhadap Gani dan Musa. Lalu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak membenarkan mereka campur tangan dalam kes terbaru ini walaupun mereka sepatutnya ambil tahu selaku ketua.

Tidak perlulah kita menyenaraikan semula satu persatu langkah-langkah seterusnya yang Anwar lakukan untuk memperkukuh hujahnya bahawa kes tuduhan liwat adalah konspirasi politik, tapi cukuplah untuk menyatakan bahawa beliau adalah pakar dalam strategi perang saraf dan muslihat untuk meyakinkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bahawa beliau adalah mangsa konspirasi politik.

Jadi apa kaitan dengan pengumuman beliau mahu bertanding pilihan raya kecil di Permatang Pauh? Pengumuman itu dibuat setelah tersebar luas spekulasi kononnya Anwar akan ditangkap dalam masa terdekat berhubung kes aduan Saiful. Semua orang tahu bahawa polis telah menyiapkan siasatan dan kertas siasatan berada di atas meja Peguam Cara Negara.

Pengumuman ini dibuat sebagai taktik untuk mengeruhkan lagi suasana ekoran kemungkinan beliau akan ditangkap. Apabila Wan Azizah mengumumkan beliau melepaskan kerusi Permatang Pauh dan Anwar akan bertanding, berita mengenainya segera disebar oleh media. Kini seluruh dunia tahu Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil. Bayangkan jika tiba-tiba Anwar ditangkap. Tentulah media antarabangsa akan menyebut bahawa ``Anwar ditangkap ketika beliau sedang bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh.'' Anwar mengharapkan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia akan bertambah.

Semua orang tahu bahawa Anwar berhasrat untuk menjadi ahli Parlimen untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ini beliau telah canangkan sejak lama dulu. Juga diumumkan bahawa salah seorang ahli Parlimen PKR akan mengosongkan kerusi untuk membolehkan beliau bertanding.

Antara kerusi yang menjadi sebutan kebelakangan ini ialah Bandar Tun Razak yang turut dipegang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Sebuah lagi kerusi ialah Kulim yang menghadapi satu kes petisyen pilihan raya.

Tapi Anwar memilih Permatang Pauh kerana beliau tidak yakin lagi akan menang di lain-lain kerusi Parlimen. Permatang Pauh adalah kubu kuatnya yang dipegang sejak beliau mula bertanding atas tiket BN dan kemudian dipegang secara proksi oleh Wan Azizah setelah Anwar dipenjara.

Anwar tidak yakin boleh menang kerana beliau mulai melihat bahawa rakyat Malaysia sedikit demi sedikit hilang kepercayaan terhadapnya. Para pemimpin Pas tidak lagi seakrab dulu dengannya. Kes tuduhan liwat Mohd Saiful yang dihadapinya benar-benar menjadi badi terhadap dirinya. Sebab itulah beliau memilih Permatang Pauh kerana inilah tempat yang dirasakannya paling selamat.

Beliau juga memilih untuk bertanding sekarang kerana ini adalah langkah politik yang beliau fikirkan paling sesuai ketika dia mempercayai polis akan menangkapnya pada bila-bila masa, Beliau tahu apa jua tindakan terhadap Anwar Ibrahim sekarang akan menjadi bahan berita hangat bukan sahaja dalam negeri, tapi juga di peringkat antarabangsa. Beliau mahu memperkuatkan teori konspirasi politik di sebalik kes tuduhan liwat terhadapnya.

Malah pada hari ini, Herald Tribune, akhbar antarabangsa milik syarikat AS telah melaporkan berita Anwar akan bertanding dengan menyebut bahawa BN akan menghadapi pertandingan yang sukar.

Akhbar itu juga memetik laporan Bernama yang menyebut Pak Lah berkata bahawa pihak berkuasa akan tetap mengambil tindakan terhadap Anwar jika ada kes terhadapnya.

Andainya Anwar ditangkap, kita sama-sama tunggu apa episod-episod seterusnya.

Secara kebetulan, agak menarik akhbar theSun pada 31 Julai 2008 telah menyiarkan satu interbiu dengan Faisal Tehrani, sasterawan muda Malaysia yang sedang mengukir nama. Faisal, 34, lulusan ijazah pengajian Islam antara lain ditanya dua soalan mengenai Anwar. Berikut disiarkan terjemahan bab interbiu mengenai Anwar:

Apa pandangan anda mengenai Anwar Ibrahim?

Saya pernah berjumpanya sekali selepas beliau dibebaskan dari penjara. Secara peribadi saya suka beliau. Kelihatan dia seorang yang baik. Tetapi A. Samad (Said) dan Shahnon Ahmad selalu memberitahu saya, ‘sebagai penulis, kita kena menganalisa orang lain... menganalisa isu ... jika anda mahu menulis mengenainya.’ Saya mulai menganalisa beliau dan saya dapati ada perkara-perkara yang bertentangan. Itu sahaja yang boleh saya cakap.

Ada orang berpendapat Anwar boleh menjadi perdana menteri yang hebat. Apa pendapat anda?

Ini perkara yang subjektif. Kenapa Anwar mesti jadi perdana menteri? Kenapa perlu beri tanggung jawab kepadanya sahaja? Adakah kita ketandusan pemimpin? Kenapa tidak beri jawatan perdana menteri kepada kalangan angkatan muda? Ada generasi muda dalam PKR, Pas, DAP dan UMNO, yang mempunyai idea-idea baru. Mereka patut diberi peluang.

Apa kata Nurul Izzah (anak Anwar)? Lebih segar. Tentu dia mempunyai idea-idea baru. PAS mempunyai tokoh-tokoh baru yang liberal dan sesuai dengan zaman. Lim Guan Eng dari DAP nampaknya bagus. Dia bergambar dengan Ning Baizura (penyanyi) dan naik kapal terbang kelas ekonomi.

Pemimpin-pemimpin lama ... mereka mempunyai episod-episod drama dalam kehidupan lalu yang boleh menjadi isu. Kita patut beri peluang kepada generasi baru.

Lihat presiden Rusia. Dia orang muda. (Dmitry Anatolyevich Medvedev. Umur: 43) Lihat di Amerika... mereka mungkin memilih (Barrack) Obama. Dia muda. (Umur: 47). Seluruh dunia sedang berubah mengikut perspektif orang muda dan idea baru. Saya fikir Malaysia juga patut mengikut jejak yang sama.

Cakap Faisal mungkin mewakili pandangan angkatan muda terutama orang Melayu. Mungkin juga kebanyakan orang Melayu dan sebilangan bukan Melayu yang lebih dewasa turut berkongsi pandangan ini. Malaysia sepatutnya sudah letih dengan kemelut Anwar yang tidak membawa negara ke mana-mana kecuali ke keadaan yang semakin tidak menentu.

Apakah Malaysia tidak boleh mara ke depan tanpa Anwar? Bangsat sangatkah Malaysia tanpa Anwar? Atau mungkin lebih baik tanpanya. - malaysiaaktif.com

Petikan www.malaysiaaktif.com

Bashir Ahmad
1 Ogos 2008