Wednesday, April 16, 2008

Muslihat Anwar Ibrahim?

Anwar ada bakat main poker

Bashir Ahmad
16 April 2008

ANWAR Ibrahim sedang bermain poker. Jika anda tidak tahu bermain poker, anda kurang memahami apa yang Anwar sedang lakukan sekarang.

Dalam permainan poker, salah seorang pemain boleh berlakon kononnya daun-daun terup di tangannya adalah hebat dan boleh memenangi wang pertaruhan di atas meja. Ini boleh dilakukan dengan menambah wang pertaruhan dan mencabar orang lain supaya turut berbuat demikian.

Taktik ini dipanggil `bluff’ atau temberang, Pemain ini barangkali tidak mempunyai adunan daun-daun terup yang kuat seperti `straight ace (semua daun sat)’ dan lain-lain. Dia hanya mengacah supaya orang lain tidak berani menambah wang pertaruhan. Jika tiada orang lain yang mencabar, maka pemain yang temberang itu akan menang.

Inilah yang Anwar lakukan sekarang. Dia berkali-kali menyatakan bahawa Pakatan Rakyat yang dipimpinnya sudah mempunyai cukup orang untuk mengambilalih pentadbiran kerajaan persekutuan daripada Barisan Nasional.

Kononnya bilangan ahli Parlimen BN yang mahu melompat ke Pakatan Rakyat sudah cukup untuk membolehkan pembangkang membentuk kerajaan.

BN memenangi 140 kerusi Dewan Rakyat sedangkan Pakatan Rakyat (gabungan PKR, DAP dan Pas) hanya memenangi 82 kerusi. Pakatan Rakyat memerlukan 30 kerusi sahaja lagi untuk menumbangkan kerajaan BN.

Dalam konteks inilah Anwar berulang kali memberitahu bahawa beberapa orang ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak telah menyatakan kesanggupan untuk berpaling tadah kepada Pakatan Rakyat.

Mengulangi perkara yang sama ketika berucap di Perhimpunan Black 14 di Kelab Sultan Sulaiman pada malam 14 April lalu, Anwar menambah bahawa beberapa orang ahli Parlimen UMNO telah memberitahunya:” Count me in (Saya akan turut serta).”

Benarkah Pakatan Rakyat sudah mempunyai cukup `ahli Parlimen katak’ yang akan melompat dari BN? Atau Anwar cuba bermain poker sahaja.

Penulis lebih cenderung untuk mempercayai bahawa Anwar cuba temberang macam orang bermain poker. Mungkin ada ahli Parlimen BN dari Sabah yang menyatakan kesediaan untuk melompat, tapi jumlah mereka masih jauh daripada mencukupi.

Anwar seakan-akan menyedari bahawa temberangnya tidak dipercayai oleh sebilangan orang. Lalu beliau memberitahu wartawan selepas berucap di Kelab Sultan Sulaiman bahawa Pakatan Rakyat tidak mahu sekadar majoriti tiga empat orang. Katanya, itu angka yang tidak selesa. Sebenarnya jumlah yang mahu berpaling tadah barangkali di bawah daripada 15 orang.

Apa yang Anwar cuba dapatkan daripada kenyataan temberang ini ialah untuk menarik lebih ramai ahli Parlimen BN supaya mempercayai bahawa Pakatan Rakyat benar-benar akan berkuasa. Mungkin ada yang termakan umpan, lalu hati mereka tidak tenteram dan melompat kerana mendapat tawaran.

Mungkin tawaran dalam bentuk wang atau kedudukan yang lebih baik Mungkin yang tidak mendapat tawaran juga akan mencari peluang jika mereka benar-benar yakin PR akan berkuasa. Dalam dunia politik memang terdapat ramai oportunis. Anwar tahu hakikat ini dan mengeksploitasinya.

Inilah muslihat Anwar. Dia mengambil kesempatan daripada keadaan yang tidak stabil dalam BN sekarang. Menangguk di air keruh.

Apapun, ternyata Anwar mempunyai bakat bermain poker. Sama ada taktiknya akan mendatangkan hasil atau tidak, Anwar telah mencuba. Daun-daun terup yang ada di tangannya tidak terlalu hebat, tapi tidak juga terlalu lemah. Bak kata orang putih, he has nothing to lose but a lot to gain (tidak akan rugi apa-apa tapi peluang untuk untung adalah besar).

Pandai-pandailah para pemimpin BN menjaga kesetiaan anak-anak buah mereka. Mungkin sekarang sudah ada bebudu di kalangan mereka yang hanya menunggu masa untuk membesar dan menjadi katak. – malaysiaaktif.com

Goblok:- mungkin ada kebenaran kata pak Bashir ni.. tapi kita semua pasti mampu menilai mana Intan dan mana kaca.. dan jangan porak-peranda negara yang aman

No comments: