Thursday, April 3, 2008

YB, elok punyai laman blog sendiri

Sofea Balkis
2 April 2008

DEWAN Rakyat dijangka bersidang pada akhir bulan ini. Sudah pasti menarik kerana bilangan ahli parlimen pembangkang bertambah daripada 21 ke 82 orang .

Dapat dibayangkan betapa hangatnya persidangan kelak. Menarik juga buat julung-julung kali ketua pembangkang adalah wanita, Datuk Seri Wan Azizah yang akan mengepalai barisan pembangkang atau kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat

Para wartawan pasti seronok jika diberikan tugas membuat liputan persidangan Dewan Rakyat. Pertikaman lidah pasti mewarnai sesi perbahasan. Apakah akan bertambah hamburan kata-kata kesat?

Akhbar pasti tidak cukup ruang untuk menyiarkan laporan, kecuali dengan menambah halaman daripada hanya semuka bagi akhbar berdada luas dan dua muka bagi akhbar tabloid.

Sudah pasti ramai ahli parlimen yang tidak mendapat publisiti yang sepatutnya. Namun bagi sebilangan yang mempunyai blog, liputan oleh akhbar boleh dianggap sekadar bonus. Mereka boleh sentiasa menggunakan laman blog mereka untuk mencatatkan apa yang media tidak laporkan.

Bagaimanapun, lebih ramai ahli parlimen pembangkang yang mengendalikan laman blog berbanding dengan YB-YB daripada Barisan Nasional.

Ini mudah difahami. Media arus perdana tidak menyediakan tempat bagi suara-suara pembangkang kecuali dalam hal yang sangat penting dan menarik. Maka terpaksalah mereka mengendalikan blog sendiri untuk menyiarkan apa jua pandangan mereka.

Sebaliknya penulisan blog masih belum popular di kalangan ahli-ahli parlimen BN. Barangkali mereka berasa keperluannya tidak mendesak kerana media arus perdana sering menyediakan ruang penyiaran untuk mereka.

Di kalangan menteri kabinet hanya empat orang menteri mempunyai laman blog sendiri - Datuk Shahrir Samad(http://shahrirsamad.blogspot.com/), Datuk Ong Tee Keat (http://www.ongteekeat.com/index1.htm ), Datuk Liow Tiong Low (http://www.liowtionglai.com/) dan Datuk Ng Yen Yen (http://www.drngyenyen.com/blog/ ) Mana yang lain?

Ketua Pembangkang Dewan Rakyat penggal PRU 2004, Lim Kit Siang mempunyai blog yang ramai pengikutnya. Begitu juga beberapa orang lagi ahli parlimen DAP.

Blog Kit Siang bloglimkitsiang.com. sentiasa dikemaskini dan meyediakan ruangan maklum balas kepada pembaca mereka.

Malah saudara Jeff Oii(http://www.jeffooi.com/) yang merupakan seorang penulis blog yang terkenal juga menyertai Pakatan Rakyat dan menang bagi kerusi parlimen dalam PRU 12 yang lalu. Ini nyata menunjukkan keberkesanan media siber mempengaruhi pengundi.

Hanya akhir-akhir ini mulai kelihatan ahli- ahli politik BN cuba-cuba menyertai dunia blog, termasuk mantan Presiden Gerakan Lim Keng Yeik, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Shahidan Kassim dan bekas MB Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo yang menulis blog drkhir.blogspot.com.

Laman-laman blog propembangkang juga terlalu banyak berbanding dengan yang pro-BN. Malah kini wujud kecenderungan di kalangan laman blog pro-BN yang lebih condong menyokong pemimpin terdahulu seperti laman maya http://www.beritakmu.net/ .Mereka juga mengkritik dan kurang memberi sokongan yang membina pada pimpinan semasa.

Berbeza dengan blog-blog pro-Pakatan Rakyat, yang kebanyakannya mendapat bantuan penulis-penulis blog yang mahir dalam bab teknikal dan penulisan.

Dalam satu artikel terkini berjudul “Nasi jangan menjadi bubur”, seorang bekas wartawan akhbar, Datuk Ibrahim Yahya dalam blognya duniatiger.blogspot.com membincangkan peranan blog sebagai media altenatif yang mampu memberi impak kepada negara.Beliau telah meramal kemampuan media siber untuk memberikan kesan yang hebat terhadap PRU 2008. Malah Ibrahim juga menyaran dengan lantangnya supaya UMNO membuat pendekatan yang lebih sistematik bagi menghadapi peperangan siber ini.

Ternyata bahawa ahli-ahli parlimen penggal PRU 2008 mempunyai tugas baru jika mereka mahu lebih efektif dalam tugas mereka. Selain menjaga kawasan, menemui rakyat dan memelihara integriti, elok juga mempunyai blog sendiri. Mungkin parti masing-masing boleh menyediakan kursus mengendalikan blog dengan berkesan. – malaysiaaktif.com

Goblok:..hmmm mahu kah para YB ni..jangan2.. org bawahan jer uruskan YB tak tahu apa...sedar2 laa wahai YB-YB BN...

No comments: