Monday, April 14, 2008

Pas terima orang Cina jadi PM

PADA minggu lalu, akhbar berbahasa Cina paling laris, Sin Chew menyiarkan di muka depan berita mengenai Pas tetap memperjuangkan hukum hudud dan negara Islam.
Berita yang memetik Timbalan Muryidul Am Pas, Datuk Harun Din itu dilihat sebagai peringatan kepada masyarakat Cina tentang Pas yang sebenar walaupun parti itu menjalin kerjasama dengan DAP dalam PRU 2008 dan bersama membentuk kerajaan di Perak dan Selangor bersama PKR.

Laporan itu disambut oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting untuk memperkukuh semula perasaan tidak percaya orang Cina terhadap Pas dan hukum hudud. Tembakan yang sebenar tentulah disasarkan kepada DAP yang diberikan undi besar oleh orang Cina dalam pilihan raya lalu sehingga mengakibatkan Pulau Pinang , Selangor dan Perak jatuh ke tangan pembangkang.
Bagaimanapun Sin Chew, atas apa jua niatnya kemudian menginterviu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz. Barangkali interviu itu dibuat sekadar untuk berlaku adil kepada Pas dan demi melariskan jualan surat khabarnya. Sin Chew menyiarkan interviu itu sepenuhnya dalam dua halaman pada hari ini.

Salah satu perkara menarik yang Nik Aziz tegaskan kepada Sin Chew ialah Pas bersedia menerima orang Cina menjadi Perdana Menteri dengan syarat dia mestilah beragama Islam dan benar-benar memahami dan mengamalkan ajaran Islam.
Walaupun tidak mungkin apa yang dilontarkan oleh Nik Aziz itu menjadi kenyataan dalam masa terdekat, dari segi politik ia adalah satu umpan yang menarik kepada kaum Cina. Apakah UMNO juga bersedia menerima seorang Cina menjadi Perdana Menteri? Tentulah pertanyaan ini akan muncul di fikiran orang Cina jika membaca interviu Nik Aziz itu.

Lebih menarik kenyataan Nik Aziz itu tampil ketika orang Melayu bermuhasabah diri selepas PRU 2008 dengan pertanyaan utama apakah ketuanan Melayu sudah terhakis?
Mingguan Malaysia, akhbar hujung minggu paling laris di Malaysia dan suara tidak rasmi UMNO telah melaporkan di muka depan ucapan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu dengan tajuk “Ketuanan Melayu tercabar.”
(Nota: Menjadi trend sekarang tokoh-tokoh istana diundang untuk memberi ucapan penting yang menyentuh dasar politik dan petadbiran negara. Tengku Muhammad adalah suara terbaru yang sedang diangkat ke depan.)

Secara jujur kita boleh mengandaikan bahawa UMNO tidak akan merelakan seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri kerana ia sama sekali bercanggah dengan dasar dan perjuangan `ketuanan Melayu.’
Dalam masa yang sama Pas pula menyatakan bahawa parti itu bersedia menerima seorang Perdana Menteri Cina dengan syarat dia mestilah beragama Islam dan memahami serta mematuhi ajaran Islam.

Antara dua pendirian ini, yang mana satu memikat hati orang Cina? Dan yang mana lebih dekat dengan hati orang Melayu?
Pokoknya Nik Aziz pandai bermain politik. Siapa kata tidak? Cakapnya tidak akan dimarahi orang Pas kerana perjuangan mereka adalah berasaskan Islam, bukannya ketuanan Melayu. Dan Nik Aziz juga tahu bahawa tidak mungkin seorang Cina boleh menjadi Perdana Menteri, tidak dalam masa terdekat. Lihatlah siapa yang menjadi Menteri Besar Perak walaupun DAP yang menang paling banyak kerusi di antara tiga parti Pakatan Rakyat di negeri itu.

Sama juga dengan `negara kebajikan’ yang Pas janjikan semasa kempen pilihan raya dulu. Konsep negara kebajikan yang Pas janjikan adalah kabur dan dilontarkan semata-mata sebagai janji untuk memikat hati pengundi.
Kini Nik Aziz dan Pas sekali lagi berjanji khusus untuk orang Cina yang sekian lama membenci Pas sebelum ini. Apa reaksi MCA terhadap kenyataan Nik Aziz itu? – malaysiaaktif.com

Bashir Ahmad
14 April 2008

goblok..tunggu..

No comments: