Wednesday, June 25, 2008

ANWAR HANYA TAHU MENANAM TEBU DI BIBIR

TIADA undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikemukakan di Dewan Rakyat semalam, sebaliknya Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abd Samad mengemukakan usul mengenai penstrukturan semula subsidi bahan api yang diluluskan dengan keputusan 129 menyokong dan 78 menentang.

Dua orang ahli parlimen SAPP yang kononnya diarahkan oleh presiden parti itu, Datuk Yong Teck Lee supaya menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah telah dipanggil pulang ke Kota Kinabalu dengan tergesa-gesa kerana kononnya menerima ancaman keselamatan. Benarkah atau satu lagi gimik politik?

Mesej daripada episod ini, belum nampak tanda ahli-ahli Parlimen BN berpaling tadah kecuali dua anggota SAPP itu.

Kini tugas kerajaan seterusnya ialah untuk menggembeleng jentera penerangan bagi menjelaskan kepada rakyat apa sebenarnya penstrukturan subsidi bahan api yang dibuat ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia ke paras melebihi AS$135 setong.
Dipercayai ramai yang belum faham apa yang sebenar berlaku. Ini satu tugas yang sukar kerana dirumitkan lagi oleh kempen politik pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerja memberikan penjelasan bukannya mudah kerana yang tidak faham termasuklah sebilangan ahli parlimen BN sendiri. Dalam sesi penerangan kepada ahli-ahli parlimen BN yang berlangsung sehari sebelum usul berkenaan dibentangkan, beberapa orang daripada mereka mengemukakan pertanyaan-pertanyaan yang menunjukkan ketidakfahaman mengenai apa yang berlaku.

Saudara Anwar yang sangat mengidam jawatan Perdana Menteri telah menangguk di air keruh dengan menuduh kerajaan tidak tahu menguruskan kewangan negara. Anwar melaung bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah dan beliau menjadi Perdana Menteri, ada caranya untuk tidak menaikkan harga minyak. Ini adalah satu tawaran politik yang sungguh lunak untuk meransang kebencian rakyat terhadap kerajaan pimpinan Abdullah.

Jika Anwar benar-benar jujur, sila bentangkan pelan tindakannya kepada rakyat dengan jelas. Bagi seorang yang cukup berpengalaman membentangkan bajet atau belanjawan negara, membentangkan pelan pengurusan kewangan untuk menangani krisis kenaikan harga minyak global tidaklah sukar. Tentu banyak pemimpin negara lain yang akan meminta bantuannya menyelesaikan kemelut di negara mereka.

Jika beliau tidak melakukannnya, itulah tanda bahawa Anwar seorang yang hanya pandai menanam tebu di bibir.

Adakah kita sudah lupa lupa bahawa semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dulu, Anwar telah bersetuju untuk menerima pakej bantuan IMF bagi menyelamatkan Malaysia daripada krisis mata wang? Antara syarat pakej IMF itu ialah kerajaan tidak akan memberikan subsidi. Tun Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri telah menolak pakej IMF dan melaksanakan langkah-langkah tersendiri.

Malangnya manusia mudah lupa. Anwar tahu bahawa rakyat Malaysia sudah lupa. Sebab itulah beliau sekarang bercakap tentang tidak perlu menstruktur semula subsidi minyak sedangkan subsidi beras dan pendidikan terus meningkat. Memang mudah itu bercakap jika anda bukan berada di pihak yang membuat keputusan dan melaksanakan tindakan.

Kasihan Pak Lah yang menghadapi serangan bertubu-tubi dari pelbagai penjuru. Ada orang berkata, kenapa Pak Lah menempah maut dengan menstruktur semula subsidi bahan api ketika kedudukan politiknya semakin goyah dan tidak menentu. Jawapan Pak Lah kepada soalan-soalan seumpama ialah beliau terpaksa melakukannya demi masa depan negara.

Sebagai pemimpin Pak Lah terpaksa memilih antara kedudukan politiknya atau kedudukan negara. Beliau memilih untuk menggadaikan nasib politiknya demi kepentingan negara.

Jika umum melihat Pak Lah sebagai seorang pemimpin yang kurang tegas dan terlalu mudah menerima pandangan orang lain, kali ini Pak Lah cukup tegas. Namun di khalayak umum beliau kelihatan kembali mudah senyum setelah agak lama sugul selepas PRU 2008.

Apa yang berlaku menunjukkan bahawa Pak Lah tidak melakukan sesuatu hanya untuk mencari populariti. Inilah satu perbezaan yang sangat ketara antara Pak Lah dan Saudara Anwar Ibrahim sekarang. Anwar hanya mahu mengaut sebanyak mungkin populariti untuk mempercepatkan agenda menjadi Perdana Menteri Malaysia. - malaysiaaktif.com

Goblok: anwar oo anwar...buktikan lah

No comments: