Goblok: ambil iktibarlah dengarlah Nasihat orang berpengalaman...ambil yang baik buang yang keruh...fikir-fikirkanlah... jangan nanti bila Pas Media ditarik balik asyik salahkan kerajaan...
Bashir Ahmad
25 Jun 2008
TIDAK sebagaimana biasa, berita utama dari Parlimen semalam bukan mengenai apa yang berlaku di dalam dewan persidangan, tapi di ruang lobi. Ceritanya mengenai wartawan dihalang daripada memasuki lobi utama. Larangan ini menyebabkan kira-kira 100 kakitangan media termasuk jurugambar memboikot semua sidang akhbar yang diadakan di luar dewan persidangan, termasuk oleh Perdana Menteri dan Timbalannya. Mereka hanya membuat liputan apa yang berlaku di dalam dewan persidangan.
Baru-baru ini kalangan media juga riuh rendah mengenai kuota lima wartawan sahaja dari setiap institusi dibenarkan membuat liputan di Parlimen. Hampir kesemua institusi media memprotes kononnya kerana bilangan tersebut tidak mencukupi untuk melaksanakan semakin banyak tugas di Parlimen.
Apakah protes media itu munasabah? Penulis juga pernah bekerja sebagai pemberita dan membuat liputan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 70-an. Ketika itu boleh dikatakan semua akhbar menghantar tiga atau empat orang sahaja, kecuali Bernama yang mempunyai pasukan lima orang. Malah ada ketikanya penulis hanya bertugas dengan seorang rakan untuk meliputi dua sidang yang berjalan serentak, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Di samping tugas biasa, kadang kala pengarang meminta kami menginterbiu menteri atau timbalan menteri apabila ada isu-isu yang berbangkit.
Pernah juga penulis ditugaskan berseorangan kerana ramai rakan sejawat yang bercuti. Biasanya apabila `tidak cukup tangan', penulis akan meminta bantuan daripada rakan-rakan daripada lain-lain institusi akhbar. Kami berkongsi laporan. Misalnya jika seorang meliputi sidang Dewan Negara, seorang lagi meliputi sidang Dewan Rakyat. Kami akan bertukar-tukar laporan yang dibuat. Dengan mengubah intro atau perenggan pertama, laporan berkenaan dihantar ke pejabat melalui mesin teleks tanpa sesiapa pun di pejabat yang mengetahui bahawa laporan itu sebenarnya dicedok.
Kaedah `work smart' ini juga membolehkan kami bekerja sambil bersantai. Ada beberapa orang rakan pemberita di Parlimen yang suka berjudi dengan membaling duit syiling ke tepi dinding. Siapa yang syilingnya paling dekat dengan dinding adalah pemenang dan akan mengaut siling-siling yang lain ke dalam poketnya. Moral cerita ini ialah tugas liputan di Parlimen ketika itu tidaklah memerlukan tenaga kerja yang besar, malah dengan jumlah yang kecil pun sebilangan kami masih boleh bersantai dengan kaedah work smart secara berkongsi tugas walaupun daripada institusi media yang berbeza. Hanya apabila menulis laporan yang istimewa berhubung isu-isu yang panas sahaja kami menulis secara bersendirian.
Tidak tahulah jika beban tugas media di Parlimen sekarang terlalu besar daripada zaman penulis dulu. Namun daripada apa yang disiarkan oleh akhbar sekarang, kelihatan jumlah laporan yang disiarkan dan halaman laporan dari Parlimen juga lebih kurang sama sahaja dengan zaman akhir 70-an dulu. Barangkali apa yang pengarang Malaysiakini, Steven Gan katakan kepada The Star dalam berita bertajuk "Chief editors back protest (Ketua pengarang sokong protes)'' menggambarkan suasana baru di Parlimen sekarang. Begitu pun Malaysiakini menugaskan tiga orang kakitangan sahaja setiap hari.
"Saya akan menghantar lebih ramai kakitangan jika mampu, tapi saya tidak mempunyai cukup pemberita. Parlimen sekarang adalah arina yang segar selepas tsunami politik 8 Mac dan memang perlu menghantar lebih ramai wartawan," kata Gan.
Sebenarnya tugas hakiki wartawan di Parlimen ialah untuk membuat liputan persidangan. Menginterbiu menteri dan ahli-ahli parlimen adalah tugas sampingan yang tidak dilakukan setiap hari. Namun disebabkan suasana politik yang baru selepas PRU 12, Parlimen menjadi `pasar berita' kerana semua Perdana Menteri, Timbalan Menteri dan hampir semua Menteri dan Timbalan Menteri berada di situ setiap hari.
Disebabkan jumlah penyokong kerajaan di Dewan Rakyat sekarang tidak sampai dua pertiga, maka setiap ahli parlimen BN tanpa mengira jawatan perlu setiap masa berada di sana. Apatah lagi undi tidak percaya kepada Perdana Menteri boleh diusulkan pada bila-bila masa. Dulu memadai Setiausaha Parlimen sahaja yang hadir untuk menjawab soalan-soalan mengenai kementerian masing-masing, tapi sekarang tugas berkenaan terpaksa dilaksanakan oleh Menteri atau Timbalan Menteri.
Ahli-ahli parlimen pembangkang juga mengambil kesempatan untuk mengadakan sidang akhbar di Parlimen, menyebabkan bilangan wartawan dan jurugambar semakin ramai sehingga melebihi 100 orang sehari. Penulis-penulis blog juga tumpang mencari bahan-bahan politik terkini. Ini semua menjadikan suasana lobi Parlimen cukup sibuk, tidak lagi seperti dulu.
Pernah pergaduhan kecil berlaku antara jurugambar akhbar apabila mereka berebut-rebut untuk mengejar sasaran sumber berita.
Tidak cukup dengan kesibukan wartawan berebut-rebut mengejar sasaran sumber berita, ahli-ahli parlimen pembangkang juga menambah kesibukan dengan mengatur acara-acara politik sampingan di lobi. Pernah acara menyambut hari jadi dianjurkan di lobi oleh ahli-ahli parlimen pembangkang untuk orang luar. Mereka juga mengundang kumpulan-kumpulan NGO untuk bersuara di lobi. Mereka tahu Parlimen adalah tempat terbaik untuk mendapatkan perhatian media
Semasa penulis bertugas pada 70-an, suasana seperti ini langsung tidak wujud. Para wartawan berkumpul dan menjalankan tugas di bilik media. Jika ada menteri yang mahu menyampaikan sesuatu, kami dipanggil ke bilik khas atau setiausaha akhbar mereka datang ke bilik media membawa kenyataan bertulis untuk kami buat berita. Amat jarang wartawan mundar-mandir di lobi. Jurugambar juga jarang ke Parlimen kecuali untuk meliputi majlis pembukaan sidang atau dipanggil untuk sidang akhbar khas mengenai sesuatu isu penting. Para pelawat yang berjadual dan mendapat hanya berada di galeri khas untuk menonton sesi persidangan.
Suasana baru yang agak kucar-kacir inilah, terutama selepas acara sambutan hari jadi menjadi polemik, menyebabkan pihak pentadbir Parlimen terpaksa mengenakan langkah kawalan di kawasan lobi. Ada kewajaran walaupun pihak media melihatnya sebagai tindakan yang menyekat kebebasan mereka. Media hendaklah bahawa mereka bertugas di sebuah bangunan yang mulia dan mempunyai martabat tersendiri, bukannya sebuah `pasar berita'.
Adakah patut jurugambar berlari dan berebut-rebut mengejar Perdana Menteri di lobi Parlimen? Sebilangan wartawan lepak di lobi sambil berborak menunggu menteri atau pemimpin pembangkang. Sebab itulah pembangkang turut membela media yang memprotes terhadap sekatan di lobi. Sekatan di lobi Parlimen sebenarnya tidak menyekat kebebasan media untuk mendapatkan berita, tapi lebih mengekang peluang pembangkang untuk menghampiri wartawan.
Tentu ada cara yang lebih teratur dan tertib untuk memberi dan mendapatkan bahan berita di Parlimen yang mulia. - malaysiaaktif.com
No comments:
Post a Comment