Goblok: apa yang baik datang dari Tuhan pencipta alam .. yang buruk dari...
Maulana Arrif
24 Jun 2008
MUFTI Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam ruangan tetapnya di Mingguan Malaysia 22 Jun 2008 mengesyorkan empat pemimpin - Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat - duduk semeja untuk masa depan umat Islam.
Maksud mufti itu, mereka hendaklah berbincang dan mencari titik pertemuan bagi merungkai pertelagahan politik antara mereka yang telah menyebabkan orang-orang Melayu yang menjadi tonggak kekuatan umat Islam di Malaysia sekarang tidak sepadu dan lemah.
Asri dalam membuat seruan tersebut memetik maksud ayat Quran 9-10 surah al-Hujurat:`` Dan jika dua pihak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara kedua-duanya; jika salah satu berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangi puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikan antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang uyang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.''
Ini adalah seruan susulan Asri selepas beliau mengemukakan syor yang sama pada minggu sebelumnya. Setakat ini hanya Nik Aziz yang menyatakan kepada media kesediaaannya untuk duduk semeja dengan tiga lagi pemimpin.
Kita belum mendengar reaksi daripada Tun Mahathir, Pak Lah dan Saudara Anwar. Barangkali tiada wartawan yang bertanya kepada mereka. Apakah tidak ditanya kerana wartawan sudah tahu jawapannya atau merasakan pertanyaan seumpama itu perkara remeh? Jika wartawan enggan bertanya, eloklah Mufti Perlis bertanya sendiri andainya beliau berpendapat pertemuan itu satu perkara yang sangat dituntut.
Bercakap perkara yang baik memang bagus, tapi lebih bagus kalau kita kotakan sendiri apa yang dikata. Sebagai mufti dan bukan orang politik, Asri berada di kedudukan yang paling sesuai untuk menjadi orang tengah. Sama ada berhasil atau tidak, serahkan kepada Allah s.w.t.
Sebenarnya usaha untuk mendamaikan antara dua pihak yang bertelagah ini pernah dilakukan. Ada sebuah persatuan dakwah yang telah menulis surat kepada Tun Mahathir dan Pak Lah supaya berdamai bagi kepentingan rakyat dan negara Malaysia, terutama demi kepentingan umat Islam. Namun tiada kesan kerana Mahathir terus menerus mendesak Pak Lah supaya berundur daripada jawatan Perdana Menteri. Apabila Pak Lah tidak berundur, akhirnya Mahathir pula yang berundur daripada UMNO.
Jika perdamaian antara Tun Mahathir dan Pak Lah begitu sukar untuk dicapai, mana mungkin Mahathir mahu duduk semeja dengan Anwar yang pernah dipecatnya. Ingin diketahui jawapan Tun Mahathir, antara Pak Lah dan Anwar siapakah yang lebih tidak disukainya?
Pada pandangan penulis, lebih mudah bagi Asri untuk melorongkan Pak Lah duduk semeja dengan Nik Aziz daripada mempertemukan mereka serentak dengan Mahathir dan Anwar. Untuk bertemu dan menyelesaikan pertelingkahan, mestilah ada tujuan dan syarat-syaratnya. Ketika ini pertelingkahan yang paling nyata adalah antara Pak Lah dengan Mahathir dan Anwar.
Nik Aziz berada dalam keadaan paling selesa untuk bertemu kerana buat pertama kali dalam sejarah partinya Pas berjaya mempunyai tiga Menteri Besar iaitu di Kedah, Perak dan Kelantan di mana kedudukan Tuan Guru itu sendiri semakin kukuh. Boleh dijangka apa prinsip Nik Aziz dalam pertemuan itu. Beliau akan berkata, jika hendak perkuatkan Islam, Pak Lah, Mahathir dan Anwar mestilah masuk Pas. Pendirian Nik Aziz ini sangat konsisten. Malah dalam kenyataan terbarunya Nik Aziz telah mengajak Asri masuk politik untuk menegakkan kerajaan Islam.
Amat menarik jika Mufti Perlis itu dapat menghubungi keempat-empat pemimpin Melayu itu dan mengajak mereka berdamai. Tentu umat Islam ingin tahu siapakah yang enggan dan apakah alasannya? Kita juga ingin tahu, antara keempat-empat pemimpin itu siapa yang melampau dan patut diperangi. Tapi ini hanya boleh diketahui setelah ada pihak yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah.
Mufti Perlis wajar menghubungi segera keempat-empat pemimpin itu. Jika mereka sah `orang yang beriman', tiada sebab mereka menolak untuk bertemu. Masalah yang dihadapi sekarang ialah sebilangan besar orang Melayu sudah berasa khuatir terhadap masa depan Islam dan umat Islam di Malaysia. Mereka melihat bahawa kedudukan Islam telah dicabar apabila suara-suara dari kalangan bukan Melayu semakin lantang mempertikai Ketuanan Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Bagi mereka yang khuatir ini, Ketuanan Melayu adallah juga Ketuanan Islam kerana orang-orang Melayu sebagai penduduk terbesar bumi Malaysia beragama Islam. Orang-orang Melayu bukan sahaja telah mendaulatkan Islam sebagai agama rasmi negara, malah Perlembagaan Persekutuan juga mentakrifkan orang Melayu mestilah beragama Islam. Sebab itulah apabila ada usaha untuk mengisytiharkan agama orang Melayu kepada bukan Islam, ia seolah-olah mencabar Ketuanan Islam di Malaysia.
Kini Ketuanan Melayu dicabar kuat oleh bukan Melayu kerana orang Melayu sendiri yang mengepalai gerakan menyerang Ketuanan Melayu. Saudara Anwar dengan lantang telah menyeru rakyat Malaysia supaya menolak gagasan Ketuanan Melayu dan menerima gagasan Ketuanan Rakyat. Anwar juga mahu menjatuhkan kerajaan Pak Lah dengan mengajak ahli-ahli parlimen Barisan Nasional menyertai Pakatan Rakyat. Setakat ini ajakan Anwar telah berjaya sekurang-kurangnya memikat Parti Maju Sabah (SAPP) yang didukung oleh bukan Melayu dan bukan Islam untuk meninggalkan BN dengan mencabar kepimpinan Pak Lah.
Apa kata Nik Aziz tentang perkembangan ini yang sedikit sebanyak berpunca daripada Anwar yang telah menghumbankan gagasan Ketuanan Melayu kerana sangat mengidam untuk menjadi Perdana Menteri. Siapa musuh yang lebih berbahaya?
Dan apa kata Nik Aziz kepada peringatan keras Lim Kit Siang kepada Pas supaya tidak menegakkan pemerintahan Islam sekalipun di Kelantan yang boleh dikatakan kini dikuasai sepenuhnya oleh Pas. Masihkah Nik Aziz mahu sekongkol dengan DAP dan Kit Siang yang kini kelihatan lebih akrab dengan Anwar daripada mana-mana pemimpin Pas.
Akhir kalam, silalah Mufti Perlis berusaha sedaya upaya untuk mempertemukan Mahathir, Pak Lah, Anwar dan Nik Aziz. Jangan cakap sahaja. Umat Islam di Malaysia patut tahu siapa `orang yang beriman' di antara mereka dan `siapa yang patut diperangi'? - malaysiaaktif.com
No comments:
Post a Comment