SEBELUM meninggalkan kebun pisang petang Ahad lalu (8 Jun 2008), saya bertanyakan diri sendiri: Siapakah yang menentukan harga minyak? Di mana peranan Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak (OPEC) yang suatu ketika dahulu sangat berkesan mempengaruhi harga minyak dunia?
Saya teringat kepada sebuah kisah klasik bagaimana Robinson Crusoe sibuk mencari kayu api setelah terdampar di pulau. Kayu-kayu dikumpulkan, dia mula melakukan aktiviti menghidupkan api melalui gesekan batu. Apabila kedua batu berlaga, percikan api terbit dan dibawahnya diletakkan beberapa helai daun kering. Daun kering itu menyala dan kemudiannya unggun api dihidupkan.
Makanan dimasak menggunakan kepanasan api itu. Setelah selesai, Robinson Crusoe menikmati makanannya dengan begitu berselera. Begitulah suasana itu berlaku selama dia berkelana di pulau tersebut. Kisah ini mengingatkan betapa pentingnya tenaga bagi mememuhi kehidupan seharian kita. Kini sumber tenaga yang berasaskan minyak dan gas dijadikan sebagai komoditi penting.
Tenaga diperoleh melalui penggunaan bahan bakar seperti kayu api, arang batu dan minyak secara tradisi. Perkembangan teknologi menyebabkan bentuk tenaga yang berasaskan minyak, gas, air, angin, sisa buangan, bijirin, suria, tumbuh-tumbuhan dimajukan untuk menghasilkan biomass, biofuel, biodiesel dan sebagainya. Bijirin digunakan untuk menghasilkan etanol manakala hasil bakaran buluh, sekam padi dapat menghasilkan hidrojen yang boleh digunakan untuk menggerakkan kincir atau menghidupkan enjin.
Penduduk India menggunakan tahi lembu sebagai bahan bakar untuk kegunaan rumah. Tahi lembu dikeringkan dan kemudiannya dibakar untuk membolehkan mereka memasak, mendapatkan cahaya dan sebagainya. Di Jepun terdapat sisa buangan dari dapur dikumpul dan diproses untuk mendapatkan sumber tenaga.
Namun yang lebih mudah dan praktikal buat masa ini ialah menggunakan minyak. Minyak telah menjadi komoditi penting bagi manusia selain barang makanan. Minyak menjadikan manusia mudah bergerak dari satu tempat ke satu tempat sama ada secara alaminya atau membolehkan barangan diangkut dengan cepat dan mudah.
Sejarah selepas tamatnya peperangan ideologi atau dikenali perang dingin memberikan kita peringatan yang jelas. Negara maju sanggup menggunakan pelbagai helah bagi menguasai bekalan minyak. Hatta negara-negara pengeluar minyak sendiri pun pernah berbalah berebut kawasan simpanan minyak .
Perang Iran-Iraq pada tahun 1991 sebagai bukti. Begitu juga dengan ketegasan Amerika Syarikat menyerang Iraq kerana ingin membolot telaga minyak. Dengan melabelkan Saddam Hussin sebagai pengganas yang membiayai dan menyokong pencerobohan ke atas World Trade Center pada 11 September 2001, Amerika Syarikat dan sekutu-kutunya menyerang Iraq. Berselindungkan adanya senjata pemusnah, Iraq dihancurkan oleh Amerika pada tahun 2004 dan masih bergolak sehingga kini.
Terbaru, Presiden George W. Bush pada awal Mei lalu mengunjungi negara-negara Arab untuk meningkatkan pengeluaran minyak bagi mengimbangi kenaikan harga minyak dunia. Pada tahun 2007, harga minyak melonjak ke para US $80 setong dan terus meningkat ke US$145 setong pada hujung minggu lepas.
Sejak awal Januari lalu beberapa negara mula mengurangkan subsidi ke atas bahan bakar bagi menjamin rakyat masing-masing mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. Ini kerana awal tahun ini juga menyaksikan kenaikan drastik harga bijirin yang dikatakan berpunca oleh perubahan iklim, peningkatan permintaan daripada China dan India, dan sekatan eksport negara-negara pengeluar.
Keadaan yang sama dilakukan ke atas minyak. Alasan Israel akan menyerang Iran kerana berdegil membangunkan reaktor nuklear, menjadikan lonjakan yang begitu ketara dalam masa tiga hari (naik sebanyak US$10 pada 6 Jun 2008 menjadikannya US$145 berbanding US$135 pada 4 Jun 2008).
Di samping ancaman menyerang Iran, pihak peniaga minyak menggunakan suasana geopolitik yang tidak menentu sebagai alasan yang menakutkan pihak pedagang. Dengan membesar-besarkannya, mereka membuat pembelian panic sehingga menggambarkan "jika kesempatan ini tidak diambil, semua kegiatan ekonomi dan politik menjadi huru hara."
Kesan yang dilakukan oleh spekulator itu menyebabkan banyak negara mula mengambil langkah mengimbanginya bagi mengelakkan berlakunya defisit perbelanjaan. Jika tidak dilaksanakan, negara akan membelanjakan lebih banyak wang untuk mengekalkan harga minyak. Indonesia, Taiwan, Sri Lanka dan Malaysia mengambil langkah mengurangkan pemberian subsidi ke atas bahan bakar itu.
Perdana Menteri mengumumkan struktur subsidi baru pada 4 Jun 2008 dengan menetapkan harga minyak petrol sebanyak RM 2.70, diesel RM 2.58 setiap liter. Walaupun harga tersebut ditetapkan pada paras tersebut, kerajaan masih memberikan subsidi sebanyak RM0.30 sen seliter. Selepas pengumuman tersebut, stesen minyak menjadi serbuan ramai sehingga lewat malam kerana selepas jam 12.00 minyak dijual dengan harga baru.
Kenaikan harga petrol sebanyak 40.65 peratus dan diesel lebih 60 peratus menyebabkan ramai khuatir akan menyebabkan kenaikan harga barang dan meningkatkan kadar inflasi. Maka ada beberapa pihak menganjurkan perjumpaan, demonstrasi membantah kenaikan tersebut malah membuat tuduhan kelemahan pemimpin mengurus ekonomi negara.
Pengusaha bas ekspres menaikkan tambang, persatuan lori menaikkan bayaran sewaannya hingga ke paras 60 peratus dan tidak terkecuali pekedai menjual makanan. Ini menyebabkan masyarakat menjadi resah dan gelisah tanpa memikirkan apakah kesannya kepada negara jika subsidi minyak semakin bertambah. Mungkin ubat di hospital akan mengalami kekurangan stok, subsidi keada para pelajar tidak dapat diberikan, pembangunan infrastruktur terencat, harga beras meningkat (tidak dapat dikawal kerana semua wang digunakan untuk subsidi minyak) dan sebagainya.
Kembali kepada pokok persoalan: Siapakah yang menjadi dalang kenaikan harga minyak dunia? Pada mulanya ramai pihak menyangka bahawa OPEC lah bersalah kerana enggan menambahkan pengeluaran bila Amerika Syarikat berunding supaya mempertingkatkan keluaran. OPEC dikatakan penyebab kerana enggan memenuhi lonjakan permintaan minyak yang naik mendadak kepada 87.3 juta tong sehari.
Tiga belas negara yang bergabung dengan OPEC hanya mengeluarkan minyak sebanyak 32.35 juta tong sehari. Untuk menampung keperluan tersebut, iaitu hampir 52 juta tong sehari atau 59.54 peratus negara-negara bukan OPEC seperti Rusia, Brazil, Bolivia dan sebagainya digantungkan harapan. Rusia dikatakan mempunyai bekalan minyak sebanyak 140 bilion tong.
Keengganan OPEC itu dituduh sebagai "sengaja untuk menaikkan harga minyak bagi memperoleh keuntungan besar." Presiden OPEC, Chakib Khelil membantah keras bahawa pengeluaran minyak bukanlah masalah yang besar."Masalahnya adalah berhubung rapat dengan aktiviti spekulasi," tambahnya ketika berada di Algeria pada 7 Jun 2008.
Tuduhan terhadap spekulator itu ada hubungkait dengan kegiatan pasaran hadapan. Minyak telah dijadikan sebagai komoditi dalam pasaran hadapan dan diniagakan di New York dan London. Menurut Commodities and Futures Trading Commision (CTFC) di New York, mereka menemui beberapa bukti ada hubungkait transaksi penjualan dan pembelian minyak secara banyaknya dilakukan oleh saudagar minyak.
Seperti kata Greg Priddy, penganalisis tenaga Eurasia Group di Washington bahawa adalah tidak wajar meletakkan tuduhan kepada negara-negara pengeluar minyak. "Mereka (Amerika) hanya mahu mencari seseorang untuk dituduh dan negara-negara Teluk tidakkah popular untuk memulakannya?" soal Piddy.
Menurut Dow Jones Newswire, setelah siasatan dijalankan oleh CFTC terhadap transaksi pembelian minyak berjangka membuktikan ada kecenderungan ke arah itu. Mereka turut menyiasat kegiatan pembelian minyak untuk industri, penggunaan pengangkutan, penyimpanan, perdagangan minyak mentah yang terlalu mendadak sejak awal Januari lalu. CFTC menemui adanya tindakan spekulator meminta lori-lori tangki dibenamkan ke laut atau mengarahkannya ke sesuatu destinasi lain, bukannya ke tempat penyimpanan minyak.
Itu menjadikan pembelian panaik di dalam pasaran sebagai petunjuk berlakunya kekurangan bekalan minyak dunia. Kekurangan tersebut mendorong kepada kenaikan harga. CFTC turut menemui aktiviti spekulator menyorok simpanan minyak di sesuatu tempat misalnya di Oklahoma. Tujuannya ialah untuk melonjakkan harga dan menimbulkan suasana panik dalam pasaran dengan berebut-rebut melakukan transaksi pembelian.
Ada beberapa pihak menganggap beberapa orang pemimpin kanan Amerika Syarikat yang merancang suasana panik dalam pasaran tersebut. Menurut mereka, Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush merupakan pelakon utamanya kerana berpengalaman sebagai "orang minyak". Pada tahun 1979, memulakan kerjayanya sebagai pedagang minyak dengan menubuhkan Arbusto Energy.
Pada tahun 1987, memegang jawatan sebagai pengarah di Harken Energy, yang dibantu oleh keluarga Raja Arab untuk mengembangkan operasi perdagangan minyak. Condoleezza Rice dan Dick Cheney pernah menerajui Haliburton. Haliburton juga merupakan syarikat yang menjadikan minyak sebagai komoditi utama perniagaannya.
Dengan merancang suasana panik itu syarikat-syarikat minyak membolot keuntungan besar. Namun bagi mengabui mata umum, pemimpin-pemimpin tersebut menunjukkan sikap "berunding" dengan negara OPEC supaya meningkatkan pengeluaran bagi menurunkan harga.
Menurut Senator California, Dianne Feinstein seperti dilaporkan oleh New York Times, "para eksekutif minyak itu sengaja menjadikan diri mereka korban kenaikan harga minyak." Sebenarnya yang dikorbankan oleh "para eksekutif " itu ialah rakyat Amerika Syarikat sendiri dan negara-negara pengimport minyak.
Banyak suara sinis kedengaran, untuk memulihkan ekonomi Amerika Syarikat, "lebih baik menunggu George W. Bush tamat tempoh dan digantikan oleh presiden baru." CTFC tidak perlu menunggu sehingga Bush tamat tempohnya sebagai presiden, melalui bekerjasama dengan pengurus kewangan Bursa Saham New York dan Intercontinental Exchange (Chicago) dalam perkongsian maklumat pasaran harian, ada menampakkan muslihat besar di sebalik dakwaan kekurangan bekalan telah berlaku.
Mereka sedang mengawasi kontrak minyak mentah yang didagangkan di Amerika Syarikat dan London. Ini kerana terdapat lonjakan mendadak mengenai pembelian minyak mentah sejak akhir-akhir ini bagi melobi menaikkan harga pasaran. Dengan adanya pengawasan itu, harga minyak mentah mulai turun kepada US$134 setong pada 10 Jun 2008. Ada tanggapan bahawa harga minyak dunia akan bertahan ke paras US$127 setong untuk beberapa ketika kerana spekulator mengambil sikap berhati-hati membuat transaksi pembelian apabila aktiviti mereka mula dikesan.
Mungkinkah kenaikan harga minyak ini merupakan senjata penting Bush untuk memulihkan imej setelah dikotori oleh langkah-langkah "gila perang" dan "kerakusan menguasai" geopolitik dunia? Ada pihak yang membuat andaian, setelah gagal "membenamkan Islam", mencetuskan krisis bekalan makanan, Bush beralih kepada minyak.
Sebagai "orang minyak" yang berpengalaman, Bush mungkin yakin bila berjaya menstabilkan harga minyak, imej penyudahnya akan bersinar. Calaran dan kerosakan semasa mentadbir Amerika Syarikat selama dua penggal akan terhapus. Orang akan mudah menyanjungi sesuatu langkah dan usaha terakhir menyelesaikan krisis kerana ia lebih dekat dan sesuai dalam perpsektif psikologi masa.
Saya teringat sebuah buku yang ditulis oleh Craig Unger, House of Bush, House of Saud: The Secret Relationship Between The World's Two Most Powerful Dynasties pada tahun 2004. Buku tersebut dicatatkan sebagai New York Times Bestseller buat beberapa minggu berjaya merungkaikan bagaimana hubungan sejak sekian lama antara keluarga Bush dengan keluarga Raja Saud, termasuk muslihat berperang dengan Iraq atas alasan memilik senjata pemusnah massa. Amat licik sekali Bush mencari helah untuk menguasai minyak Iraq setelah menguasai telaga-telaga minyak di lain-lain negara Arab.
Kelicikan Bush sebagai bekas "orang minyak" dijangka akan dilakukan dengan pelbagai cara sebagai senjata memulihkan imej dan reputasinya. Sokongan dan dokongan negara-negara Arab (termasuk sekutu Bush dalam perdagangan minyak di Amerika Syarikat) akan membantu beliau mencari imej yang baru, mungkin sebagai "penyelamat" malapetaka yang diakibatkan oleh kenaikan harga minyak. Inilah pada anggapan banyak pihak kenapa Bush berusaha untuk mendesak OPEC menambahkan pengeluaran bagi menstabilkan harga yang dicetuskan oleh para spekulator atau "orang minyak." - malaysiaaktif.com
Dr. Emkei Nizam
Kuala Lumpur.
(www.mindapetani.blogspot.com)
Goblok: baru dapat info ni...
No comments:
Post a Comment