Monday, June 9, 2008

Ramai kurang faham struktur subsidi minyak

Bashir Ahmad
9 Jun 2008

ADAKAH kerajaan benar-benar tidak dapat mengelakkan kenaikan harga minyak yang diumumkan pada Rabu 4 Jun 2008?

Sebagai pengguna saya juga bingung dengan kenaikan harga yang dikatakan paling tinggi dalam sejarah itu. Di tepi jalan sudah kelihatan pembidang yang mempamerkan harga petrol di Malaysia dengan harga di lain-lain negara pengeluar minyak. Ini pastinya kerja parti-parti pembangkang. Jika kita menerima bulat-bulat angka perbandingan itu, sesiapa sahaja akan berasa marah terhadap kerajaan Pak Lah kerana harga minyak di negara-negara seperti Brunei, Kuwait, Venezuela dan beberapa lagi jauh lebih murah.

Maka saya bertanya kepada rakan-rakan yang berkhidmat dalam kerajaan mengenai kedudukan sebenar.

Mereka berhujah bahawa sebenarnya ramai pengguna yang tidak memahami apa yang berlaku. Umum menerima harga baru petrol dan diesel itu sebagai kenaikan harga, walaupun kerajaan berkali-kali menegaskan ia adalah penstrukturan semula subsidi.

Berikut adalah kesimpulan daripada penjelasan mereka.

Bagi pengguna kereta 2000 cc ke bawah yang akan menerima rebat RM625 setahun. Jumlah rebat itu ditetapkan berdasarkan perkiraan bahawa purata setiap kereta menggunakan 60 liter petrol sebulan. Maka rebat itu adalah berdasarkan formula 60 x RM0.78 (kadar kenaikan seliter) x 12 bulan. Ertinya, jika seseorang mengggunakan 60 liter petrol sebulan, dia tidak membayar lebih daripada harga sebelum kenaikan.

Jika seseorang menggunakan lebih daripada 60 liter sebulan, maka barulah dia membayar dengan harga baru bagi setiap liter tambahan.

Bagi pengguna kereta 2001- 2500 cc, rebat RM200 setahun adalah sekadar saguhati.

Falsafah kerajaan dalam mekanisme penstrukturan semula subsidi ini ialah untuk memastikan subsidi benar-benar dinikmati oleh rakyat Malaysia daripada golongan rendah dan menengah yang menggunakan kereta 2000 cc ke bawah. Orang-orang kaya yang memiliki kereta besar melebihi 2500 cc tidak menerima sebarang subsidi. Mereka tidak patut merungut kerana mereka mampu. Jika benar-benar tidak mampu, sila beralih ke kereta yang lebih kecil enjinnya.

Oleh kerana bayaran rebat hanya diberikan kepada pengguna semasa pembaharuan cukai jalan, maka sesiapa yang memiliki kenderaan tanpa cukai jalan tidak akan menikmatinya. Mereka termasuklah orang-orang kampung dan peserta rancangan Felda yang menggunakan motosikal tanpa cukai jalan. Wajarkah mereka dikecualikan daripada faedah rebat ini?

Penstrukturan semula subsidi minyak itu juga menyekat rakyat Singapura dan Thailand daripada menikmati petrol dan diesel bersubsidi yang selama ini mereka pam dengan banyak dari stesen-stesen minyak di sempadan. Malah harga petrol baru sebanyak RM2.70 seliter masih menguntungkan mereka kerana pada hari pengstrukturan subsidi itu diumumkan, harga sebenar seliter ialah RM3.00. Bererti kerajaan masih membayar subsidi 30 sen bagi setiap liter.

Bayangkan jumlah subsidi yang penyeberang sempadan nikmati ketika harga sebenar petrol di pasaran meningkat kepada RM3.40 seliter pada hari ini. Dengan mengandaikan harga minyak mentah terus meningkat, entah berapa banyak subsidi yang kerajaan Malaysia terpaksa bayar kepada kereta-kereta asing jika penstrukturan subsidi itu tidak dibuat sekarang.

Saya bertanya lagi, wajarkah syarikat-syarikat bas dan lori menaikkan tambang sehingga 30 peratus? Kata mereka tidak wajar kerana syarikat-syarikat itu boleh menggunakan fleet-card untuk membeli diesel dengan harga yang masih disubsidi. Syarikat-syarikat itu cuba menangguk di air keruh untuk mencari keuntungan.

Saya bertanya lagi, tidakkah kerajaan mampu menanggung subsidi kerana jumlah eksport kita jauh lebih besar daripada penggunaan dalam negeri? Menurut angka yang bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad nyatakan dalam blognya chedet.blogspot.com, Malaysia mengeluarkan lebih kurang 650,000 tong sehari. Kita menggunakan kira-kira 400,000 dan bakinya 250,000 tong dieksport.

Pegawai-pegawai kerajaan itu meminta saya merujuk balik kepada kenyataan akhbar Naib Persiden Petronas, Tan Sri Hassan Merican baru-baru ini bahawa syarikat minyak negara itu sekarang memerlukan modal yang besar kerana operasi mencari gali telaga minyak baru memakan belanja yang lebih besar.

Oleh kerana telaga minyak di perairan cetek telah habis ditemui, pencarian baru tertumpu ke kawasan laut dalam yang memerlukan ongkos yang sangat besar termasuk di negara-negara asing seperti Sudan dan Chad. Jika Petronas tidak melibatkan dirinya dalam carigali di laut dalam, syarikat minyak negara ini berkemungkinan terus menutup operasinya selepas telaga minyak di perairan Malaysia kekeringan dalam masa hanya beberapa tahun lagi.

Saya kini lebih memahami isu sebenar selepas mendengar penjelasan pegawai-pegawai kerajaan itu. Malangnya isu ini akan terus dipolitikkan oleh mereka yang antikerajaan kerana apa jua yang menyentuh poket amat cepat menjolok perasaan. Barangkali maklumat yang kerajaan berikan tidak diuar-uarkan secara berkesan dan menyeluruh, sedangkan struktur baru subsidi diumumkan secara tiba-tiba.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad memberitahu media, kenaikan mungkin berlaku dalam bulan Ogos. Tiba-tiba Pak Lah mengumumkan lebih awal, malah terlalu awal daripada tarikh bayangan Shahrir.

Khabarnya keputusan melaksanakan struktur baru subsidi minyak itu diputuskan secara mengejut dalam mesyuarat kabinet Rabu lalu. Orang menyalahkan Pak Lah dengan tuduhan bahawa kerajaan telah berbohong. Sebenarnya Shahrir sendiri tidak mempunyai kuasa untuk memilih tarikh berkenaan. Beliau hanya boleh membuat anggaran, tapi keputusan bagi perkara yang begitu penting hanya boleh dibuat oleh kabinet.

Pengumuman sebarang perkara yang boleh mengguris hati nurani rakyat ini perlu dibuat dengan berhati-hati dan terancang. Rakyat perlu diberi penjelasan yang secukupnya untuk memahami hasrat kerajaan dan kebaikan yang diperoleh sebelum pengumuman. Kini Shahrir terpaksa melakukan banyak kerja mengawal kerosakan melalui media termasuk kerap muncul di TV. Nasib baik Shahrir agak tenang. Namun kewibawaannya sangat teruji.

MAKLUMAT TERBARU: Perdana Menteri dijangka mengumumkan hari ini langkah-langkah penjimatan di pihak kerajaan yang akan turut melibatkan kocek menteri dan timbalan menteri.

Difahamkan langkah-langkah penjimatan itu akan diambil sebagai `contoh' kepada rakyat supaya turut mengubah cara perbelanjaan ke arah berhemat bagi menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia.
- malaysiaaktif.com

Goblok: fikir-fikirkan

1 comment:

S.Amry said...

bagus gak u punya penerangan, lega skit hati membacanya. kalu tidak dok frust je la...

tapi saya rasa kita patut mencontohi kerajaan Thailand dimana diorang ni amat transparent tentang struktur harga minyak...tgk http://www.eppo.go.th/petro/price/index.html.

kalau kita ada ni, barulah rakyat malaysia paham termasuk laa saya.