Thursday, August 11, 2011

Pas Kelantan Lebih Utamakan Lebuh Raya dari Masalah Air Negeri

Kerajaan Pas Kelantan dilaporkan merancang membina lebuh raya empat lorong bertol berharga RM 1.9 bilion bagi menghubungkan bandar Kota Baharu dengan Kuala Krai .
Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini ,Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi , Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk membina lebuh raya berkenaan setelah permohonan mereka untuk mendapat peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) dan rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) tidak mendapat perhatian kerajaan persekutuan.
Menurut Husam ,projek itu akan dijalankan secara penswastaan.

Beliau mendakwa projek itu membantu anak Kelantan yang berada di luar negeri terutamanya yang pulang berhari raya mengelakkan kesesakan yang teruk dengan jangka masa yang singkat iaitu antara 30-40 minit sahaja. Projek lebuh raya ini akan diberi konsesi yang panjang kepada pemaju yang kononnya bagi mengurangkan kadar tol yang dikenakan kepada pengguna.

Namun bagi rakyat Kelantan projek yang berkos tinggi itu amat tidak wajar dilaksanakan buat masa ini kerana Kerajaan negeri Pas masih gagal menangani permasalahan tertunggak sekian lama iaitu masalah air yang bersih .
Kegagalan kerajaan negeri Pas menangani permasalahan air membuktikan mereka lebih mementingkan projek yang memberi manfaat kepada pihak tertentu sahaja bukan secara menyeluruh kepada semua warga Kelantan.

Dakwaan beliau kononnya memudahkan warga Kelantan yang tinggal di luar Kelantan pulang ke kampung jelas menunjukkan kenyataan untuk menarik sokongan daripada yang bekerja di luar negeri terutama menjelang raya dan meraih sokongan untuk pilihan raya umum akan datang.

Persoalan juga timbul bila Husam berkata pembiayaan itu dibuat sepenuhnya oleh pihak swasta. Kemungkinan konsesi itu diberikan kepada pihak-pihak yang tidak berpengalaman mungkin boleh menimbulkan masalah.

Memandangkan keperluan air bersih lebih mendesak kerajaan Pas Kelantan perlu memikirkan terlebih dahulu nasib hampir 1.34 juta penduduk Kelantan daripada memikirkan projek lebuh raya yang belum tentu menjanjikan apa-apa untuk rakyat Kelantan.

No comments: