Thursday, May 29, 2008

Akta kawal kebebasan bersuara terus kekal

Basir Ahmad
28 Mei 2008

BERDASARKAN ucapan Pak Lah yang dibacakan oleh Datuk Seri Mohd Najib ketika merasmikan Sidang Kemuncak Media Asia di ibu negara semalam, kelihatan beberapa undang-undang yang dikatakan menyekat kebebasan bersuara akan terus kekal. Setidak-tidaknya selama Pak Lah dan Najib menerajui kepimpinan negara.

Antara undang-undang yang dilabel menyekat kebebasan ialah Akta Hasutan, Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Pihak yang menentang undang-undang ini adalah parti-parti dalam kumpulan Pakatan Rakyat dan NGO-NGO yang berada di bawah pengaruhnya.

Ucapan Pak Lah mengenai kebebasan bersuara jelas mencerminkan pendirian tegas beliau.

``Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk merosakkan reputasi dan harga diri seseorang atau menghina agama lain termasuk agama Islam.

``Kebebasan bersuara sememangnya adalah hak asasi tetapi ia bukanlah sesuatu yang mutlak atau boleh dilakukan tanpa kawalan.

“Masyarakat yang sangat menyayangi kebebasan di dunia ini pun pasti tahu bahawa tidak ada satu bentuk kebebasan tanpa had termasuk juga kebebasan untuk bersuara.

``Setiap negara termasuk Malaysia memerlukan undang-undang untuk melindungi rakyatnya daripada sebarang dakwaan berunsur fitnah dan mempertahankan institusi terasnya daripada kenyataan berbentuk hasutan.

“Saya tidak melihat undang-undang seperti ini (bertujuan melindungi rakyat dan institusi teras) sebagai membendung kebebasan, malah penting bagi memastikan masyarakat kita bergerak sihat,” katanya.

Sebenarnya kalangan yang menuntut penghapusan undang-undang yang mengawal kebebasan bersuara ini hanyalah mahukan kebebasan sepenuhnya untuk mengkritik kerajaan dalam apa jua perkara sekalipun amat sensitif dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama. Niat mereka hanyalah untuk menjatuhkan kerajaan yang ada.

Hujah-hujah mereka mengenai kebebasan bersuara sangat memikat generasi baru yang membesar dalam suasana yang sangat berbeza daripada generasi ibu bapa mereka. Jika ibu bapa mereka pernah merasai kesengsaraan pada zaman ancaman komunis, mereka tidak. Jika ibu bapa mereka pernah merasai kepahitan di bawah penjajahan British dan Jepun, mereka tidak. Sebilangan besar mereka tidak tahu apa yang terjadi pada 13 Mei 1969, apatah lagi zaman Bintang Tiga berkuasa selepas pengunduran tentera Jepun.

Sebilangan generasi baru ini, termasuk para pelajar institut pengajian tinggi, tidak lagi membaca surat khabar. Media mereka adalah internet yang menjadi medan blogger untuk menghidangkan tulisan-tulisan bebas yang sama sekali berbeza dengan surat khabar tradisional di negara ini. Kebebasan dalam internet inilah yang menjadi acuan kebebasan bersuara mereka.

Kebebasan dalam internet ini jugalah yang digunakan sepenuhnya oleh parti-parti pembangkang untuk menghentam kerajaan yang akhirnya sedikit sebanyak turut menghasilkan keputusan Pilihan Raya Umum 2008.

Apabila dua orang penulis blog ditahan dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melanggari Akta Hasutan, kalangan antikerajaan mengambil kesempatan untuk mempertahankan mereka dan mengkritik undang-undang ini. Salah seorang, Raja Petra Kamaruddin kini diangkat sebagai wira kebebasan. Suara-suara yang mempertahankan Raja Petra begitu lantang seolah-olah beliau sudah didapati bersalah, sedangkan perbicaraan belum pun bermula.

Anehnya kalangan ini juga memperjuangkan kedaulatan undang-undang dan badan kehakiman. Dalam masa yang sama mereka mengadakan perbicaraan melalui media internet. Pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional dibicarakan melalui media internet dengan tuduhan-tuduhan yang amat berat. Ini tidak pernah berlaku dalam media tradisional.

Inilah bentuk kebebasan yang mereka suarakan, iaitu kebebasan yang memihak kepada diri mereka. Mereka mahukan kebebasan dan keadilan untuk bersuara tanpa memikirkan kebebasan dan keadilan kepada pihak-pihak lain yang menjadi sasaran suara mereka.

Pak Lah sendiri telah menjadi sasaran serangan paling berbisa dan mengaibkan dalam media internet. Mereka ini sepatutnya memberi tabik kepada Pak Lah kerana beliau tidak bertindak balas . Malah pada zaman Pak Lah rakyat boleh melihat betapa beberapa akhbar sudah berani menyentuh tentang agama dan kaum yang selama ini menjadi larangan.

Malah ramai juga yang berpendapat bahawa Pak Lah terlalu memberikan kebebasan untuk bersuara berbanding Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir. Beberapa akhbar berbahasa Inggeris semakin berani menyentuh dan membincangkan isu-isu yang selama ini dianggap sangat sensitif.

Kalangan yang menuntut kebebasan bersuara ini menjadikan Amerika Syarikat dan Britain model mereka. Mereka tidak menyedari bahawa demokrasi dan kebebasan yang dikembangkan oleh dua negara itu mempunyai agenda tersembunyi untuk kepentingan diri mereka. Malah dua negara itu juga telah mebelakangkan kebebasan dengan menggunakan kekuatan tentera untuk melanggar Afghanistan, Iraq serta menyokong rejim Israel untuk menguasai rantau Asia Barat yang kaya dengan hasil minyak.

Dua negara itu juga menjadikan Islam sebagai sasaran serangan ideologi, sebagaimana komunis menjadi musuh mereka satu masa dulu. Kebebasan yang Amerika dan Britain anjurkan inilah yang menjadi ikutan kalangan yang menuntut kebebasan bersuara di Malaysia sekarang. Antara yang menyokong kuat tuntutan ini ialah beberapa pemimpin Pas yang terikut-ikut dengan rentak Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka menghadapi krisis keyakinan diri dan merelakan Anwar mempengaruhi hala tuju politik mereka atas nama Pakatan Rakyat.

Sebenarnya soal kebebasan bersuara yang mutlak telah menjadi kritikan di forum-forum antarabangsa anjuran World Association of Newspapers (Persatuan Surat Khabar Dunia). Semakin ramai wartawan dunia Barat yang menyuarakan kebimbangan mereka tentang kebebasan akhbar yang keterlaluan sehingga melanggar kebebasan individu, masyarakat dan negara. - malaysiaaktif.com

Goblok: Bagus la sekurang-kurang adal sedikit kawalan ...

No comments: