Thursday, May 8, 2008

Peringatan Soi Lek kepada pejuang Ketuanan Melayu

MalaysiaAktif
7 Mei 2008


PARA pejuang Ketuanan Melayu, khususnya mereka yang telah bersidang di Johor Bahru, anda perlu mendengar apa pendapat Dr. Chua Soi Lek tentang Ketuanan Melayu.

Takdirnya anda tidak mengenali siapa Dr. Chua, beliau adalah mantan Menteri Kesihatan dan Naib Presiden MCA yang meletakkan jawatan kerana skandal video seks tidak lama dulu.



Chua yang khabarnya akan bertanding jawatan Presiden MCA dalam pemilihan parti itu akan datang, turut membuka blog
(http://drchua9.blogspot.com/2008/05/malay-supremacy-should-it-continue.html). Tulisan pertamanya pada 6 Mei 2008 berjudul The Malay Supremacy: Should It Continue? (Ketuanan Melayu: Patutkah diteruskan?)

Jika anda kurang memahami bahasa Inggeris, berikut adalah terjemahan tulisan Chua:

Kira-kira 200 NGO Melayu bertemu baru-baru ini bertujuan membincangkan status orang Melayu selepas pilihan raya. Daripada apa yang saya baca dalam Utusan Malaysia, saya cukup meluat dan kecewa kerana ternyata ramai ahli akademik yang terlibat dalam kongres itu hanya tinggal di menara gading, langsung terpisah daripada rakyat Malaysia.

Barangkali mereka terlalu lama berada di universiti dan mereka di sana bukan kerana kecemerlangan akademik mereka, tetapi kerana program tindakan afirmatif. Sebab itu keupayaan intelek mereka sangat cetek sehingga hanya mampu membuat syor-syor otak arnab sahaja. Ini sangat ketara kerana tahap mereka telah menurun, malangnya mereka memainkan peranan besar di kongres itu, membentangkan kertas kerja dan membimbing NGO-NGO Melayu itu.

Hari ini kita bercakap tentang globalisasi, daya saing, kesamarataan, keadilan, demokrasi dan terdapat di kalangan kita orang-orang yang merasai mereka patuh lebih istimewa daripada orang lain atas dasar keturunan, dan lantarannya ada sebilangan bumiputra yang berasa atau menuntut bahawa mereka lebih berhak atas dasar keturunan.

Menambah buruk keadaan, hal ini turut disokong oleh agensi-agensi kerajaan dan ini menyebabkan pertikaian dan ketidakpuasan di kalangan bukan Melayu terhadap orang Melayu.

Atas sebab ini saya sentiasa berpendirian bahawa keturunan dan agama akan terus mewarnai lanskap politik kita. Jika orang Melayu masih mahu berpegang kepada Ketuanan Melayu dan mereka lebih berkedudukan tinggi (supreme) di Negara ini, maka janganlah mereka risau dengan kemajuan bukan Melayu kerana mereka sentiasa menganggap diri mereka berkedudukan tinggi. Masalah timbul kerana disebabkan mahu mengekalkan kedudukan, mereka tidak mahu bukan Melayu maju. Mereka mahu makan dan simpan kek untuk mereka sahaja.

Perdana Menteri berkata beliau bukan pemimpin orang Melayu sahaja tapi pemimpin semua rakyat Malaysia. Jadi, kita harap beliau akan menunaikan apa yang dicakap dan tidak akan bergoyang pendiriannya oleh suara-suara 200 NGO Melayu yang penuh emosi dan bersifat perkauman di Johor Bahru hujung minggu lalu.

Sebahagian orang Melayu mestilah menerima realiti bahawa politik di Malaysia sekarang adalah berbeza daripada 51 tahun dulu ketika kita baru mencapai kemerdekaan. Jika orang-orang Melayu ini beranggapan kita masih seperti dulu, justeru hancurlah kita sebagai sebuah negara. Ternyata kita telah berubah dan akan terus berubah untuk menghadapi zaman yang turut berubah. Hanya orang-orang Melayu ini yang belum berubah, tidak mahu berubah atau tidak tahu untuk berubah sehingga mengakibatkan pertumbuhan Malaysia lembap dalam tempoh 15 tahun kebelakangan, sedangkan lain-lain negara dunia terus maju, tapi kita masih dibebani masalah perkauman dan agama dan siapakah yang berkedudukan lebih tinggi di bumi yang dimiliki semua kaum tanpa mengira keturunan dan agama.


Goblok: Fikir-fikirkan la...

No comments: