Wednesday, May 28, 2008

Apalah sangat kehilangan Pulau Batu Putih

NAMPAKNYA isu hak milik Pulau Batu Putih akan terus diperkatakan dalam tempoh masa lama. Siapa yang tidak sedih, kecuali mereka yang tidak patriotik sahaja.

Buat seketika ini ramai yang menyuarakan kebimbangan mereka tentang nasib yang sama akan berlaku ke atas pulau-pulau lain yang asalnya memang milik Malaysia, termasuk Pulau Pisang yang turut menempatkan satu lagi rumah api Singapura.

Diharapkan semua pihak tidak sekadar prihatin bermusim. Jangan seperti keluarnya berita ular sawa telan manusia di Johor suatu masa dulu, maka setiap hari akhbar menyiarkan begitu banyak ular yang muncul di sana sini. Sampai letih anggota-anggota bomba dan penyelamat menangkap ular sawa yang dilaporkan oleh orang ramai.

Pengajaran yang paling besar daripada keputusan ICJ itu ialah kita perlu berhati-hati dengan negara-negara jiran kita. Kita perlu menjalin hubungan baik, tetapi jangan sampai melakukan perkara-perkara yang akhirnya menyebabkan kita sesal kemudian tidak berguna.

Saya masih ingat ketika baru memegang jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ada berkata bahawa (lebih kurang ayatnya) bahawa ``lebih baik kita rapat dengan jiran yang dekat daripada sahabat karib yang jauh.''

Saya kira apa yang diucapkan itu menjadi salah satu prinsip hubungan luar Malaysia. Saya cuma ingin menokok sedikit kewaspadaan. Tengoklah juga siapa jiran kita. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Jika difikirkan secara mendalam, apalah sangat Pulau Batu Putih itu kerana Singapura itu sendiri suatu masa dulu adalah milik kesultanan Johor. Kemudian ia diserahkan kepada penjajah Inggeris. Selepas menyertai Malaysia, dikeluarkan pula untuk menjadi sebuah negara asing yang merdeka.

Kemudian tidak cukup dengan bekalan air yang dijual dengan harga murah di bawah perjanjian `selagi ada bumi dan matahari,' pasir di perairan Johor disedut untuk dieksport ke Singapura. Siapa yang mengizinkan pasir itu disedut ke Singapura? Oleh kerana pasir itu boleh dikategorikan sebagai tanah, maka tanah di Johor semakin berkurangan. Sebaliknya pasir itu digunakan untuk membesarkan tanah Singapura melalui penambakan.

Sekarang secara rasmi rasmi Johor tidak lagi membenarkan penjualan pasir kepada Singapura. Dan Indonesia juga melarang eksport pasir kepada negara republik itu. Khabarnya agen-agen pembeli pasir Singapura sedang menawarkan harga yang sangat lumayan kepada sesiapa yang boleh membekalkan pasir kepada negara itu. Secara rasmi tiada siapa yang akan menjual pasir kepada Singapura, tapi secara tersembunyi manalah kita tahu. Jika kerajaan Johor tidak berwaspada, pasti ada petualang yang sanggup menjual pasir kepada Singapura kerana dikelabui dengan duit. Lazimnya mereka yang melakukan ini adalah orang-orang yang sudah kaya raya. Bukan orang miskin seperti nelayan dan petani.

Disebabkan duitlah manusia sanggup menggadai maruah dan kedaulatan.

Cuba kita jawab pertanyaan ini. Berapa banyakkah hartanah di Johor, khususnya di Johor Bahru yang dimiliki oleh rakyat Singapura? Membeli rumah juga bererti membeli dengan tanahnya sekali. Kita tidak lagi melarang orang asing untuk membeli hartanah di Malaysia. Siapa ada duit boleh membeli, tidak kira orang asing. Suatu masa dulu ada sekatan, tapi sekatan itu telah dihapuskan oleh kerajaan beberapa tahun lalu.

Memang kita memerlukan kemasukan wang asing untuk memperkukuh ekonomi dan mengkayakan negara kita. Tapi kita perlu berwaspada dan mesti ada had dan kawalan.

Sebab itulah ada kebimbangan terhadap rancangan Iskandar Malaysia yang dulu dikenali dengan nama Wilayah Pembangunan Iskandar. Namanya mungkin terus kekal sebagai Islandar Malaysia, tapi apa gunanya jika majoriti hartanah terlepas kepada orang asing. Yang tinggal sebagai hak Malaysia hanyalah bangunan-bangunan dan tanah milik kerajaan, sama ada kerajaan negeri atau persekutuan.

Kita juga tidak boleh menyekat orang-orang asing daripada membeli saham syarikat yang diapungkan di Bursa Saham Malaysia. Tapi bolehkah kita membiarkan mereka membeli saham dan menguasai syarikat-syarikat yang strategik? Mungkin ini telah pun berlaku.

Suatu masa dulu kita terpaksa melakukan `pembelian saham waktu subuh di London' untuk mendapatkan balik syarikat perladangan British yang terbesar di Malaysia. Ladang adalah tanah. Jika orang asing memiliki sejumlah besar ladang kita, ertinya mereka juga memiliki tanah kita. Sekarang harga minyak sawit tengah melambung. Khabarnya banyak wang dari Singapura yang disediakan untuk membeli dan membuka ladang di Malaysia.

Moral kepada tulisan saya ini ialah kita kena berfikir secara strategik dalam menyekat kejatuhan tanah hak milik kita kepada orang asing, sekalipun kepada jiran. Kita mesti sangat cemburu mengenai apa jua pemilikan hartanah dan tanah di negara kita. Jangan hanya memikirkan keuntungan dalam jangka pendek atau sederhana, tapi anak cucu kita akan menanggung akibatnya dalam jangka panjang.

Modal boleh dipinjam. Teknologi boleh dipelajari. Tenaga buruh boleh diimport. Tapi jika tanah sudah tergadai dan terjual, amat sukar untuk direbut kembali.

Peristiwa seumpama Pulau Batu Putih mungkin tidak berlaku lagi, kecuali jika kita begitu bodoh untuk tidak mengambil apa-apa pengajaran daripadanya. Tapi ingatlah bahawa tanah boleh terlepas dengan pelbagai cara lain. Penjualan pasir, pemilikan hartanah yang tidak dikawal dan pemilikan syarikat perladangan.
(Dipetik dari www.malaysiaaktif.com/surat Pembaca)

Goblok: terfikir juga tapi apakan daya...

No comments: